1MDB: Mahkamah Malaysia Tolak Permohonan Najib Tangguh Saman Sivil RM4 bilion

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beri pasukan guaman Najib 40 hari untuk bersedia.
Suganya Lingan & Noah Lee
2022.02.22
Kuala Lumpur
1MDB: Mahkamah Malaysia Tolak Permohonan Najib Tangguh Saman Sivil RM4 bilion Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memakai topeng muka kelihatan memasuki perkarangan mahkamah bagi mendengar sesi penghujahan lisan pihak pembelaan pada perbicaraan SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 3 Jun 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sebuah mahkamah Malaysia pada Selasa menolak permohonan yang dibuat bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes saman sivil berjumlah AS$1.18 bilion terhadapnya oleh sebuah unit di bawah dana pelaburan negara 1MDB.

Bekas Perdana Menteri itu, yang sebelum ini telah disabitkan bersalah atas dakwaan jenayah berkaitan kes yang sama, telah memohon supaya perbicaraan saman tersebut ditangguhkan buat sementara sehingga rayuannya terhadap sabitan jenayah itu diselesaikan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Fairuz Zainol Abidin ketika membacakan keputusan beliau berkata bahawa sebarang penghakiman yang dibuat dalam kes rayuan Najib tidak akan menghalang beliau daripada membuat perubahan kepada perakuannya, selagi mana ia dibuat mengikut proses permohonan yang diperlukan.

Tambah hakim, perbicaraan kes sivil itu perlu diteruskan kerana ia tidak bersifat prejudis terhadap Najib. Bekas perdana menteri itu diberikan 40 hari untuk membuat persiapan.

"Pendedahan pembelaan tidak akan memprejudis defendan disebabkan sebahagian besar pembelaan itu telah dikeluarkan dalam perbicaraan jenayah.

"Ini adalah menurut prinsip undang-undang secara halus dan berdasarkan latarbelakang kes saman ini, penangguhan adalah tidak dibenarkan," kata Hakim Ahmad Fairuz dalam sesi mahkamah yang diadakan secara maya dan dihadiri oleh pasukan peguambela dan SRC.

Najib kini sedang berdepan dengan beberapa perbicaraan kes jenayah, termasuk rayuan peringkat terakhir di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan bersalah yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Nazlan Ghazali pada 2020.

Mohamad Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (AS$50.2 juta) selepas mendapati Najib bersalah di atas kesemua tujuh pertuduhan salahguna kuasa, pecah amanah serta pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM42 juta (AS$10 juta) dana syarikat SRC International.

Wang tersebut adalah sebahagian daripada RM4 bilion yang dipinjamkan kepada SRC.

Peguam yang mewakili Najib, Harvinder Singh memberitahu BenarNews bahawa pasukan guaman bekas perdana menteri itu sedang menunggu arahan sama ada untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Ahmad Fairuz.

"Hakim tidak membenarkan permohonan Najib Razak untuk menangguhkan prosiding sehingga selesai perbicaraan kes jenayah berkait SRC.

"Hakim juga mengarahkan supaya pembelaan difailkan sebelum 31 Mac, 2022. Hakim bagaimanapun memutuskan bahawa pihak-pihak boleh membuat permohonan interlokutori jika dan bila keadaan memerlukan," tambahnya.

Tarikh tersebut ditetapkan selepas Harvinder memberitahu hakim bahawa beliau dan ketua pasukan pembelaan Shafee Abdullah akan ke UK bagi memberikan penerangan kepada Queen's Counsel (peguam kanan di UK) berkenaan rayuan terakhir Najib, dan hanya akan kembali ke Malaysia pada 8 Mac depan. Hakim juga menetapkan 1 April sebagai tarikh prosiding yang seterusnya.

Fail saman tahun lepas

Pada 7 Nov tahun lepas, SRC memfailkan saman terhadap Najib dan bekas-bekas pengarah syarikat itu Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Ismee Ismail. Nama enam daripada mereka kemudiannya telah digugurkan daripada saman tersebut, kecuali Najib yang kini satu-satunya defendan dalam saman itu.

SRC mendakwa bahawa Najib dalam kapasiti beliau sebagai Penasihat Emeritus telah menyalahgunakan kuasa dan mendapat faedah peribadi daripada dana SRC International dan telah menyalahgunakan duit tersebut.

Dalam pernyataan tuntutan yang mencecah 80 mukasurat, SRC pada bulan Nov 2021 mendakwa bahawa setelah Najib jatuh daripada tampuk kuasa, siasatan menyeluruh telah dibuat terhadap semua transaksi, dan mendapati bahawa dokumen-dokumen penting berkaitan dengan penipuan yang dilakukan terhadap syarikat itu telah dimusnahkan.

Pada Januari 2019, syarikat tersebut telah diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kewangan, di mana banyak transaksi pemindahan wang secara salah dan penggelapan wang telah dibongkar.

Ia menuntut gantirugi am, pengajaran, gantirugi tambahan serta faedah dan kos, di samping gantirugi lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Ia juga memohon arahan daripada mahkamah supaya Najib membayar amaun AS$1.8 bilion yang telah hilang serta kerosakan dialami disebabkan pecah amanah.

Perbicaraan Roger Ng

Sementara itu di New York, bekas rakan kongsi Goldman Sachs yang mengaku bersalah terhadap pengubahan wang haram dan rasuah berkaitan 1MDB, Tim Leissner memberi keterangan di mahkamah minggu lalu dalam perbicaraan rakan sekerjanya dari Malaysia Roger Ng, lapor agensi berita antarbangsa.

Leissner yang merupakan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Scahs memberitahu mahkamah persekutuan bahawa beliau dan Ng,  bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia menjadi "wira" bagi bank itu kerana membawa masuk berbilion dolar perniagaan daripada 1MDB, lapor agensi berita Reuters.

Leissner menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah membabitkan Ng, mengakui ‘ketamakan dan cita-cita besar’ adalah motif terbabit dalam skandal rasuah yang merompak berbilion dolar melalui 1MDB.

Pihak pendakwa raya AS menuduh Ng, 49 menerima sogokan berjuta-juta dollar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

Tetapi peguam bela Ng berkata anak guamannya tidak mempunyai peranan dalam skim yang didakwa dilakukan oleh Leissner dan seorang pembiaya kewangan Malaysia yang dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Pendakwa raya Malaysia dan AS berkata sejumlah AS$4.5 bilion (RM12.55 bilion) telah dicuri daripada 1MDB antara 2009 dan 2014 dalam skandal kewangan yang membabitkan institusi kewangan asing dan tempatan serta pegawai berpangkat tinggi, termasuk Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.