Najib Razak mohon semak titah tambahan benarkan tahanan rumah
2024.04.03
Kuala Lumpur
Bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan Najib Razak memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk memaksa kerajaan melaksanakan satu "titah adendum" yang dikatakan telah dibuat bekas Yang di-Pertuan Agong supaya beliau dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah perintah tahanan rumah.
Lembaga Pengampunan Malaysia pada 2 Februari lepas telah mengurangkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah atas kesalahan rasuah berkait dengan kes syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Keputusan mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun selain menurunkan kadar denda ke atas Najib telah dibuat dalam satu mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, dua hari sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan lima tahun seperti termaktub dalam sistem penggiliran beraja yang diamalkan di Malaysia.
Menurut permohonan yang difailkan Najib melalui peguamnya pada Isnin, titah adendum atau perintah tambahan itu dikeluarkan Sultan Abdullah pada hari yang sama keputusan pengurangan hukuman dibuat, namun ia tidak didedahkan kepada umum.
"Pada 12 Februari 2024, pemohon (Najib) telah menerima satu maklumat yang sahih bahawa sebagai tambahan kepada titah utama yang bertarikh 29 Januari 2024, Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 juga telah mengeluarkan satu 'titah adendum' yang menyatakan bahawa pemohon dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan kepada "tahanan rumah" dan bukannya di Penjara Kajang," menurut dokumen difailkan Najib yang dilihat BenarNews.
Bekas perdana menteri itu mendakwa peguamnya kemudian telah membuat permohonan kepada Peguam Negara, Menteri Dalam Negeri serta pihak Penjara Kajang untuk mengesahkan mengenai kewujudan titah berkenaan, namun tidak menerima sebarang jawapan sehingga hari permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Justeru itu, Najib berkata, beliau memohon kepada mahkamah supaya dibenarkan untuk memulakan semakan kehakiman mengenai perkara itu dan memaksa pihak berkuasa supaya mengesahkan dan menjalankan titah perintah yang dikeluarkan oleh Sultan Abdullah sebelum ini.
"Pemohon (Najib) memohon supaya satu perintah mandamus di mana jika titah adendum wujud, semua responden ataupun salah seorang responden diarahkan untuk melaksanakan titah Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 dan serta-merta memindahkan pemohon dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur di mana pemohon akan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah," kata dokumen itu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menamakan tujuh responden dalam permohonan semakan kehakimannya termasuk Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara dan Lembaga Pengampunan.
Menurut laporan media tempatan, permohonan Najib itu telah ditetapkan untuk pendengaran di mahkamah pada Khamis ini.
Pada 2 Februari lepas, Lembaga Pengampunan mengumumkan tempoh hukuman penjara Najib bagi kes SRC International dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, lebih awal berbanding tarikh asal iaitu pada penghujung 2034.
Lembaga itu turut mengurangkan jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah iaitu daripada RM210 juta (AS$44 juta) kepada RM50 juta (AS$10.5 juta).
Najib perlu membayar denda itu sebelum selesai menjalani hukuman penjaranya atau berdepan tambahan tempoh pemenjaraan selama setahun.
Penjelasan kerajaan
Pada 7 Mac, bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai kewujudan satu permohonan oleh Najib untuk ditukarkan tempat tahanan kepada tahanan rumah.
Dalam soalannya di Dewan Rakyat, Ismail Sabri yang juga bekas Naib Presiden UMNO, parti yang pernah dipimpin Najib berkata, beliau difahamkan permohonan tersebut turut dilampirkan dalam petisyen permohonan Najib kepada Lembaga Pengampunan.
"Jadi soalan saya, apakah ini benar atau tidak? Kalau benar, adakah ia dibincangkan semasa pembentangan rayuan dan apakah keputusannya?" kata Ismail Sabri.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Kajian Strategik Nusantara berkata pendedahan mengenai titah adendum itu berpotensi mencetuskan kerumitan politik terhadap gabungan yang membentuk kerajaan perpaduan ketika ini.
Menurutnya ahli-ahli UMNO yang menyokong Najib akan berasa marah dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim kerana tidak melaksanakan titah diraja supaya memindahkan bekas perdana menteri itu keluar dari penjara untuk menjalani tahanan di rumah.
Azmi mengandaikan titah tambahan itu melibatkan dua senario iaitu mungkin Yang di-Pertuan Agong memutuskan supaya Najib dikenakan tahanan rumah tetapi kemudiannya undian dibuat dalam Lembaga Pengampunan dan baginda menerima keputusan undian itu.
"Atau senario kedua, undian dibuat dahulu sebelum baginda memutuskan tahanan rumah untuk Najib. Dalam kedua-dua senario pun, Yang di-Pertuan Agong telah membuat keputusan supaya Najib dikenakan tahanan rumah.
“Oleh itu, terdapat kesan politik yang besar sekiranya terbukti (wujud titah adendum) kerana Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membuat keputusan," kata beliau kepada BenarNews.
Tambah Azmi, Najib masih mempunyai sokongan yang kuat dan berpengaruh dalam UMNO dan beliau percaya mungkin ada pihak dalam parti itu yang akan memulakan langkah memaksa Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi supaya parti itu keluar dari kerajaan sebagai tanda protes.
James Chin dari Pengajian Asia, Universiti Tasmania pula berkata pihaknya melihat tidak mungkin kerajaan mempunyai peluang menyembunyikan bahagian kedua titah diraja itu.
"Terlalu ramai orang tahu tentang perkara ini kerana ia diadakan di istana, jadi saya rasa kerajaan tidak mampu menyembunyikan perkara ini," ujarnya kepada BenarNews.
Sebaliknya beliau berkata kemungkinan pasukan pembelaan Najib sedang memancing agar sebahagian daripada perbincangan di dalam Lembaga Pengampunan didedahkan.
"Saya rasa tidak mungkin kerajaan menyembunyikan perkara seperti ini (perintah tambahan) kerana ia terlalu besar untuk disembunyikan kerana terlalu ramai orang akan mengetahuinya. Jadi Shafee (peguam Najib) mungkin sedang memancing," ujarnya.
Katanya sistem pengampunan terhadap banduan memberikan harapan kepada Malaysia untuk meneliti tentang ketelusan keseluruhan proses tersebut.
"Kontroversi pengampunan Najib membawa hasil positif kerana lambat laun mereka (kerajaan) mungkin memperbaharui proses itu dengan Majlis Peguam juga memfailkan semakan kehakiman terhadap kerajaan berhubung isu ini," kata James.
Malah katanya orang ramai mesti tertanya-tanya perkara ini timbul ketika pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu bakal diadakan selain kontroversi penjualan stoking berkalimah Allah.
Pada Mac lalu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah kepada banduan tiada kena mengena dengan usaha untuk membebaskan Najib.
Sebaliknya beliau berkata, cadangan itu merupakan inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di 43 penjara seluruh negara.
"Saya hendak sanggah naratif nakal yang dimainkan segelintir media kononnya hendak meletakkan Najib di bawah tahanan di rumah.
"Punyalah nakal sampai tidak boleh tengok perspektif kurangkan kesesakan penjara khususnya untuk untuk kategori tertentu.
"Kalau dikenakan penjara sehingga 20 tahun, penjenayah tegar takkan senang-senang diberi 'tahanan rumah', itu akan mengancam masyarakat," katanya pada sidang akhbar di Perak.