Malaysia: Najib Tarik Balik Permohonan Untuk Tanah, Rumah

Ahli Parlimen pembangkang mempertikai kelulusan kerajaan memandangkan Najib telah disabitkan dengan kesalahan rasuah.
Iskandar Zulkarnain & Muzliza Mustafa
2021.11.19
Kuala Lumpur
Malaysia: Najib Tarik Balik Permohonan Untuk Tanah, Rumah Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (tengah) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan perbicaraan kes rasuah pertamanya yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB, 28 Julai 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Najib Razak telah menarik balik permohonannya untuk diberikan tanah dan wang untuk membina rumah pada Jumaat tetapi hanya berbuat demikian selepas pengkritik mempertikai tindakan Ahli Parlimen Malaysia meluluskan peruntukan sebanyak AS$24 juta kepada bekas Perdana Menteri itu yang disabitkan dengan kesalahan rasuah dikaitkan dengan skandal kewangan.

Najib membuat pengumuman itu pada hari sebelum Pilihan Raya Negeri Melaka berlangsung di mana beliau berkempen untuk calon Barisan Nasional dan partinya iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang kembali berkuasa dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia.

"Saya telah membuat keputusan untuk menolak tawaran itu walaupun secara prinsipnya, permohonan itu dibuat berdasarkan kelayakan saya sebagai seorang bekas Perdana Menteri,” kata Najib kepada pemberita di Melaka. “Saya menyedari dan memahami ketika rakyat berdepan dengan saat sukar seperti sekarang ini, keutamaan negara adalah kepada rakyat.”

Beliau turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen telah meluluskan permohonan itu dan menegaskan bahawa beliau tidak meminta kerajaan memperuntuk sejumlah RM100 juta (AS$23.9 juta) sebagai hadiah kepadanya.

“Kerajaan minta saya pilih (hartanah berdasarkan tiga bidang tanah) maka saya pilih lokasi yang saya rasa paling sesuai untuk saya,” katanya.

“Saya tidak tahu berapa nilainya. Saya hanya tahu selepas ia mendapat publisiti meluas kerana saya tidak terlibat dalam penilaian itu,” kata Najib sambil menambah bahawa beliau telah membuat permohonan itu pada 2018 selepas tersingkir sebagai Perdana Menteri.

Blok Barisan Nasional yang diterajui UMNO kehilangan kuasa susulan gelombang kritikan popular berkaitan pendedahan mengenai skandal itu yang menyaksikan berbilion dolar telah didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana kekayaan negara yang diwujudkan Najib semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Mengikut Akta Kerajaan yang digubal pada Mei 2003 semasa Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, semua bekas penyandang jawatan itu berhak menerima anugerah rumah kerajaan selepas mereka bersara. Lima bulan selepas itu, Mahathir meletak jawatan dan beliau diganti oleh Abdullah Badawi.

Najib menggantikan Abdullah pada 2009 dan menerajui kerajaan selama sembilan tahun sebelum gabungan parti politik yang dipimpinnya ditewaskan secara mengejut pada pilihan raya umum 2018 oleh pakatan yang diterajui oleh Mahathir dan Anwar Ibrahim. Kedua-duanya membantah tawaran yang diberikan kepada Najib itu.

Bercakap kepada pemberita pada Jumaat, Najib telah meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengkaji semula tawaran serupa yang diberikan kepada pendahulunya, jika perlu.

Tidak lama selepas itu, dalam satu hantaran di laman Facebook, Najib berkata beliau bingung dengan kemarahan yang dicetuskan susulan perkara itu.

“Sekarang saya telah membuat keputusan untuk menarik balik permohonan saya untuk diberikan kediaman tersebut kerana saya tidak mahu isu ini digunakan sebagai modal dalam kempen Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya.

Jawatankuasa khas

Bagaimanapun, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar adalah bercanggah dengan dakwaan Najib bahawa kerajaan tidak meluluskan permohonan beliau untuk diberikan tanah dan dana bagi membina kediaman.

“Secara prinsipnya, Kabinet telah bersetuju meluluskan permohonan bekas Perdana Menteri itu atas alasan itu adalah haknya di bawah undang-undang. Bagaimanapun, saya perlu tegaskan bahawa keputusan ini belum muktamad dan tertakluk kepada pertimbangan lanjut serta kelulusan akhir kerajaan,” katanya.

Pada Jumaat, Wan Junaidi berkata Kabinet telah memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti permohonan Najib.

“Peranan jawatankuasa itu adalah untuk meneliti garis panduan yang dicadangkan untuk memenuhi permohonan tersebut termasuk kadar, syarat dan had maksimum … bagi penyediaan tanah dan rumah di bawah Jadual Persaraan Bekas Perdana Menteri untuk dilaksanakan pada masa akan datang,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Fahmi Fadzil, pengarah komunikasi bagi blok pembangkang Pakatan Harapan, berkata ketelusan amat diperlukan dalam perkara ini.

“Jika isu ini tidak didedahkan atau dibangkitkan dalam Parlimen, jika rakyat tidak marah, adakah Najib masih mahu menerimanya,” kata Fahmi dalam mesej di laman Twitter yang turut diiringi oleh tangkap layar laporan berita mengenai kenyataan Wan Junaidi dan Najib.

Ahli Parlimen pembangkang bersuara

Hadiah itu telah menyebabkan kekecohan pada sesi Dewan Rakyat pada Khamis apabila Mahathir, bekas mentor yang kemudian menjadi musuh Najib, meminta Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, yang sedang membincangkan Bajet 2022, menjelaskan perkara itu.

“Menteri Kewangan sepatutnya menjelaskan perkara ini dalam belanjawan dan terdapat satu butiran khusus yang tidak disebut dalam belanjawan. Ini adalah mengenai hadiah kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak,” kata Mahathir. “Beliau akan dianugerah sebidang tanah dan rumah bernilai RM100 juta kononnya atas sumbangan beliau kepada negara.

“Apa yang kita tahu ialah beliau adalah seorang banduan, telah didapati bersalah dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM200 juta – beliau sepatutnya membayar denda itu tetapi belum berbuat demikian. Adakah ini sumbangan beliau yang kerajaan ingin berikan hadiah kepadanya?” kata Mahathir.

Najib telah disabitkan dengan tujuh kesalahan termasuk pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan SRC International, anak syarikat 1MDB. Beliau juga sedang dibicarakan bagi 25 pertuduhan termasuk salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitka dengan sejumlah RM2.3 bilion (AS$550 juta) yang hilang daripada 1MDB.

Pendedahan Mahathir telah menyaksikan Ahli Parlimen pembangkang meminta penjelasan segera daripada kerajaan.

Tengku Zafrul menjawab permohonan itu dibuat selepas Bajet 2022 dibentang untuk dibahaskan jadi ia tidak dimasukkan dalam dokumen belanjawan. Katanya soalan itu hendaklah dirujuk kepada Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim melahirkan rasa terkejut kerana Kabinte telah meluluskan permohonan Najib.

“Perkara ini tidak pernah dibincangkan atau dimaklumkan kepada kami semasa pertemuan kami dengan pihak kerajaan,” menurutnya dalam kenyataan. “Pada ketika rakyat sedang menderita… Kabinet bertindak ‘menghadiahkan’ tanah dan rumah kepada orang yang telah disabitkan oleh mahkamah dan ini jelas adalah keputusan paling tidak bermoral dan tidak munasabah.”

Singapura pulangkan dana 1MDB

Dalam perkembangan lain berkaitan 1MDB, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengumumkan bahawa pihak berkuasa Singapura minggu lepas telah memulangkan RM3.6 juta (US$865,000) yang diperoleh daripada Nik Faisal Ariff Kamil, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, anak syarikat 1MDB. Suruhanjaya itu berkata sebelum ini, Singapura telah memulangkan aset bernilai RM64.4 juta (AS$15.4 juta) daripada Cutting Edge Industries Ltd.

Setakat ini, Malaysia dengan bantuan agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa telah berjaya mendapatkan semula kira-kira RM20.5 bilion (AS$4.9 bilion) aset 1MDB, menurut suruhanjaya itu yang menambah bahawa usaha untuk mendapatkan semula aset dari Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong sedang diteruskan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.