Drama di pendengaran rayuan terakhir Najib apabila peguambela utama mohon tarik diri

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan itu.
Muzliza Mustafa & Iman Muttaqin Yusof
2022.08.18
Putrajaya
Drama di pendengaran rayuan terakhir Najib apabila peguambela utama mohon tarik diri Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bercakap kepada media dengan anak-anaknya berdiri disisi beliau di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, 18 Ogos 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Panel Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Khamis tidak membenarkan peguam utama yang mewakili Najib Razak menarik diri daripada mengendalikan rayuan kes berkaitan skandal 1MDB yang baru bermula di mana bekas Perdana Menteri itu membuat cubaan terakhir untuk membatalkan sabitan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun terhadapnya.

Hisyam Teh Poh Teik, yang dilantik mengetuai pasukan pembelaan Najib pada hujung bulan lepas, memulakan prosiding pendengaran rayuan pada Khamis dengan meminta panel terbabit membenarkan beliau menarik diri atas alasan tidak diberikan masa untuk membuat persediaan sewajarnya.

"Saya mahu memulakan dengan memohon maaf seikhlas hati bahawa saya tidak dapat meneruskan rayuan ini. Ia adalah kesilapan pertimbangan di pihak saya kerana menerima tugas ini," kata Hisyam kepada panel itu. "Bagaimanapun, semasa saya menerima lantikan (untuk mewakili Najib), saya menjangkakan bahawa mahkamah akan memberikan satu penangguhan memandangkan skop dan saiz rayuan ini."

Panel hakim yang mendengar permohonan itu kelihatan tidak gembira. Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel itu, mengingatkan Hisyam Teh bahawa mahkamah telah menolak permohonannya untuk menangguhkan pendengaran rayuan kes SRC antara tiga hingga empat bulan pada Selas.

"Kami ulang di sini bahawa kami telah memberikan alasan penghakiman. Adakah kamu sedar bahawa sebagai mahkamah tertinggi, kami mempunyai bidang kuasa untuk memberikan keadilan dan ia juga bidang kuasa kami untuk memastikan mahkamah ini berfungsi?" soal Tengku Maimun. "Jika kamu menarik diri, kamu akan membiarkan anak guam kamu tidak diwakili peguam. Adakah kamu boleh menerima perkara ini?"

Hisyam bagaimanapun tidak berganjak daripada keputusannya dan berkata sekiranya panel itu "tidak mahu memberikan saya masa, saya merayu supaya dibenarkan menarik diri. Ini adalah satu permohonan yang menyedihkan buat diri saya."

Panel itu mengambil masa lebih sejam untuk mempertimbang permohonan Hisyam Teh sebelum membuat keputusan sebulat suara untuk menolaknya.

"Mahkamah ini mempunyai kuasa budi bicara untuk melepaskan wakil guaman daripada kes. Bagaimanapun, kami berpandangan bahawa peguam tidak menunjukkan sebab yang kukuh untuk menarik diri," kata Ketua Hakim Negara itu.

"Dalam rekod, beliau masih peguam utama," kata Tengku Maimun sebelum meminta pihak pendakwaan memulakan prosiding bagi membolehkan pasukan pembelaan Najib mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persediaan.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V. Sithambaram memulakan hujah beliau dengan mengingatkan mahkamah bahawa Najib merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika melakukan jenayah seperti yang didakwa. "Beliau menjawat dua jawatan eksekutif ketika itu," katanya.

Hisyam Teh tidak menyuarakan sebarang bantahan ketika pihak pendakwaan mengemukakan hujah mereka. Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding pendengaran rayuan terakhir kes itu pada kira-kira 4 petang dan Sithambaram akan meneruskan hujahan beliau pada Jumaat.

Reaksi Najib dan Hisyam Teh

Selesai prosiding mahkamah pada Khamis, Najib memaklumkan pemberita bahawa perkara itu adalah sesuatu "yang tidak pernah berlaku" iaitu pembelaan dibiarkan tanpa wakil dalam kes jenayah berprofil tinggi dan kompleks seperti ini.

"Saya ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap prosiding rayuan hari ini. Di mana hak saya terhadap kehidupan dan kebebasan serta hak saya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil telah diletakkan dalam risiko," katanya.

"Seperti yang kamu tahu, peguam saya telah memberikan indikasi bahawa mereka tidak mahu meneruskan kes kerana mereka mempunyai masa yang terhad untuk bersedia. Malangnya, mahkamah tidak membenarkan mereka untuk menarik diri... Ini adalah sesuatu yang serius, dan saya berharap mahkamah akan mengambil kira perkara ini dan memberikan langkah pemulihan nanti," kata beliau.

Najib, yang berada di dalam mahkamah ketika pendengaran rayuan kes itu, berkata beliau berdoa dan berharap untuk mendapatkan "perbicaraan yang adil dan supaya keadilan akan ditegakkan."

Hisyam Teh juga mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak berada dalam posisi yang sesuai untuk meneruskan tugas sebagai peguam utama selepas mahkamah menolak permohonannya untuk mendapatkan lanjutan masa selama tiga bulan bagi meneliti semua dokumen kes.

"Dalam keadaan ini, pasukan saya tidak dapat terus membela beliau (Najib) dengan efektik. Tadi, saya telah meminta untuk menarik diri sebagai peguam utama tetapi mahkamah menolak permohonan saya," katanya sambil menambah pasukan pembelaan "langsung tidak bersedia untuk berhujah dalam kes tersebut" dan oleh itu, mereka tidak dapat mewakili Najib dengan berkesan.

Beliau turut mendakwa mereka telah dinafikan daripada mendapat pendengaran yang adil dan berkata "jadi pada asasnya, Datuk Seri [Najib] tidak mempunyai wakil guaman. Itu secara dasarnya."

220818-Najib-Sokong.jpeg

Hajah Radiah Rasyid, 64, (kiri) dan rakan-rakannya melaungkan sokongan untuk bekas Perdana Menteri Najib Razak di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, Malaysia, 18 Ogos 2022. [Iman Muttaqin Yusof/BenarNews]

Sentiasa diwakili

Seorang peguam jenayah veteran berkata pada kebiasaannya, perayu akan diberi peluang memulakan hujahan pada pendengaran rayuan kes mereka.

"Bagaimanapun, dalam kes Najib, walaupun pasukan pendakwaan adalah responden, mereka telah diminta untuk berhujah dahulu," kata Jahaberdeen Mohamed Yunoos kepada BenarNews.

Diminta memberikan komen mengenai permohonan Hisyam Teh untuk menarik diri, beliau berkata mahkamah tidak akan sesekali membenarkan seorang tertuduh dibiarkan tanpa diwakili peguam. "Dalam sesetengah kes, mahkamah bahkan mengarahkan peguam supaya mewakili tertuduh yang tidak mampu mengupah peguam sendiri. Oleh itu, ia bukanlah mengenai isu peguam utama tetapi lebih kepada isu mengenai adanya wakil guaman untuk mewakil tertuduh," tambah Jahaberdeen.

Najib dan peguamnya dilihat cuba melengahkan pendengaran rayuan terakhir beliau sejak beberapa bulan lepas.

Pada Selasa, Mahkamah Persektuuan menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perbicaraan semula. Permohonan tersebut dibuat atas alasan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengadili perbicaraan kes SRC dan menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas Perdana Menteri itu mempunyai konflik kepentingan.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu dana pelaburan negara yang ditubuhkan sendiri oleh Najib pada 2009. Panel hakim Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa tiada kaitan yang boleh menyebabkan berlakunya "bahaya penghakiman berat sebelah" dalam kes Najib dan memutuskan bahawa "tidak ada salah laku keadilan" telah berlaku.

Najib dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada Julai 2018. Selepas dua tahun perbicaraan, beliau telah disabitkan dengan tujuh kesalahan jenayah termasuk salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta (AS$9.4 juta) dana milik SRC International yang dimasukkan ke akaun miliknya. Selain hukuman penjara 12 tahun, Najib didenda RM210 juta (AS$47 juta).

Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas ahli politik itu serta menyifatkan kes SRC sebagai satu keaiban untuk negara.

Ahli Parlimen Pekan itu bagaimanapun tetap menafikan semua pertuduhan terhadapnya. Beliau kini bebas dengan jaminan sebanyak RM2 juta (AS$448,500) dan belum menjalani hukuman penjara walaupun sehari.

Sekiranya mahkamah tertinggi negara itu mengekalkan sabitan terhadap Najib, beliau akan menjadi bekas Perdana Menteri yang pertama dimasukkan ke penjara dalam sejarah Malaysia.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.