Mahkamah Persekutuan putuskan Najib, anak lelaki perlu bayar cukai tertunggak
2023.10.16
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 10 malam waktu tempatan ETS - 2023-10-16
Mahkamah Persekutuan pada Isnin memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak dan anak lelakinya Mohd Nazifuddin masing-masing perlu membayar cukai tertunggak berjumlah RM1.69 bilion (AS$356 juta) dan RM37.6 juta (AS$7.9 juta) kepada kerajaan, seperti yang diarahkan oleh sebuah mahkamah lebih rendah sebelum ini.
Keputusan dibuat selepas panel lima hakim mahkamah tertinggi negara itu mendapati bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenakan cukai ke atas Najib dan anaknya dengan cara yang sama dibuat keatas semua rakyat Malaysia tanpa sebarang diskriminasi.
Ia sekaligus menolak rayuan dua beranak berkenaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan mereka membayar tunggakan cukai tersebut.
Lima hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Nallini Pathmanathan, Abang Iskandar Abang Hashim, Mohamad Zabidin Mohd Diah, Mary Lim Thian Suan dan Abu Bakar Jais telah membuat keputusan sebulat suara terhadap rayuan itu yang kini membolehkan LHDN memulakan tindakan pungutan cukai berkuatkuasa pada hari yang sama.
“Rayuan dua perayu ditolak dengan tiada perintah terhadap kos,” kata Hakim Nallini semasa membaca keputusan tersebut.
“Lembaga Hasil Dalam Negeri mengenakan cukai terhadap perayu sama seperti yang dilakukan untuk semua warganegara Malaysia.
“Kedua-dua perayu tidak didiskriminasi dan menerima layanan seperti yang termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan (ACP).
“Tidak ada bukti dalam rekod untuk menyokong dakwaan tersebut, oleh itu tidak ada asas untuk pertikaian terdapat pelanggaran Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan (seperti yang didakwa pasukan pembelaan Najib),” tambahnya lagi.
Menurut beliau, prinsip "bayar dahulu, pertikai kemudian" di bawah ACP memperuntukkan bahawa cukai yang ditaksirkan untuk sesuatu tahun itu mesti dijelaskan pada atau sebelum tarikh akhir yang ditetapkan tidak kira sama ada seseorang itu mahu merayu terhadap taksiran berkenaan atau tidak.
“Peruntukan tersebut adalah untuk tujuan mengumpul atau mendapatkan semula hasil cukai bagi kepentingan negara dan rakyat. Jumlah itu merupakan hutang berkanun dan perlu dibayar.
“Jumlah tunggakan yang perlu dibayar oleh pembayar cukai tidak muktamad dimana terdapat Sekyen 99 (1) ACP yang membolehkan pembayar cukai mengemukakan rayuannya kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan,” katanya di dalam kertas Keputusan Rayuan yang dilihat BenarNews.
Kata Hakim Nallini lagi, kuasa kajian semula perlembagaan seperti yang terkandung dalam Artikel 4(1) Perlembagaan Persekutuan adalah instrumen yang berkuasa dan Badan Kehakiman perlu waspada dalam menggunakannya.
“Jika digunakan secara sembarangan atau jika tiada asas substantif, keputusan (yang terhasil) boleh menyebabkan masalah yang agak besar.
“Dalam kes melibatkan rayuan segera, ia boleh memusnahkan sistem kutipan cukai negara yang sah, dan menjejaskan fungsi Kerajaan dan rakyat,” kata Hakim itu lagi.
Najib dan Nafizuddin dalam rayuan mereka mendakwa hak mereka telah dinafikan untuk mendapat layanan yang adil sepertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Tidak masuk akal
Peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dan Nazifuddin manakala LHDN diwakili oleh Ketua Peguam Cara Hasil Hazlina Hussain.
Shafee ketika ditemui pemberita memberitahu apa yang diperkatakan oleh Mahkamah Persekutuan dianggap tidak masuk akal sepenuhnya sekiranya LHDN ingin mengenakan tindakan bankrap ke atas anak guamnya tanpa memberikannya hak mendapatkan perbicaraan penuh.
"Tujuan utama kewujudan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, sebagaimana diperakui oleh mahkamah ini sendiri, adalah untuk menyediakan perbicaraan penuh dan juga keputusannya.
"Jika LHDN ingin memufliskan beliau (Najib) tanpa memberikannya hak sepenuhnya maka apa yang diperkatakan oleh Mahkamah Persekutuan menjadi sesuatu yang sangat tidak masuk akal. Oleh sebab itu, kami ingin melihat keputusan penuh yang dibuat,” katanya.
Pada April 2021, BenarNews melaporkan bahawa Najib telah menerima notis kebankrapan daripada LHDN setelah didakwa gagal melunaskan bayaran cukai pendapatan peribadi dari 2011 hingga 2017.
Najib yang juga bekas presiden UMNO telah mendakwa bahawa notis kebankrapan itu mempunyai kaitan dengan keputusan UMNO yang pada masa itu tidak bersekutu dengan gabungan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada pilihan raya umum yang akan datang.
Beberapa minggu kemudian, anaknya Nazifuddin pula menerima notis yang sama setelah gagal melunaskan bayaran cukai seperti diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020.
Menurut media tempatan, pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion (AS$356 juta) daripada Najib dan RM37.6 juta (AS$7.9 juta) daripada Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.
Turut dilaporkan bahawa pada tahun yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Zaidi Ibrahim yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan Nazifuddin untuk membayar jumlah tunggakan tersebut.
Pada 9 September 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan Najib dan anaknya untuk mengenepikan penghakiman terus oleh LHDN itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.