Tentang Ancaman Keganasan Perlukan Usaha Perangi Ideologi

Fadzil Aziz
2017.06.05
Putrajaya
170605-my-najibterrorism-620.jpg Perdana Menteri Najib Razak dalam ucapannya semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, Putrajaya, 5 Jun, 2017.
[Ihsan Jabatan Perdana Menteri]

Kerajaan Malaysia memperketatkan keselamatan sempadannya dengan menyatakan bahawa ancaman keganasan tidak boleh ditentang hanya dengan tindakan pihak berkuasa atau keupayaan peralatan semata-mata, menurut pegawai tertinggi kerajaan negara itu pada Isnin.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam satu ucapan berkata memerangi ideologi keganasan juga amat penting terutamanya selepas serangan keganasan yang makin kerap berlaku.

"Kita hendak memerangi ancaman ini bukanlah dengan alat, bala tentera, polis atau kuasa penangkapan sahaja, tapi lebih kepada memenangi perang ideologi.

"Ini untuk mereka memahami apakah Islam itu sebenarnya dan apakah tuntutan Islam kepada kita (masyarakat Islam)," katanya dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, Putrajaya pada Isnin.

Najib juga merujuk kepada serangan keganasan yang berlaku di Kabul, Aghanistan; London dan Manchester di United Kingdom; Marawi, Filipina dan Jakarta, Indonesia, dimana beliau berkata, ia tidak boleh dipandang remeh.

Tambahnya, usaha perlu diteruskan untuk menerapkan pemahaman mengenai ajaran Islam yang sebenar kepada masyarakat supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan kegiatan keganasan.

Pusat Keamanan

Dalam ucapannya juga, Najib turut menyentuh mengenai penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang disifatkan satu kejayaan buat negara.

“Penubuhan pusat itu di Malaysia bertujuan untuk menjadi pemangkin bagi mempromosikan keamanan sejagat di peringkat global di samping mempelopori pendekatan Wasatiyyah dalam menangani keganasan secara holistik termasuk menangani pelbagai ideologi songsang,” katanya.

KSCIP ialah sebuah institusi anti-keganasan yang menggunakan pendekatan akademik  dan telah mula beroperasi sejak Mei 30 di sebuah pejabat sementara di Kuala Lumpur.

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, KSCIP akan beroperasi hampir sama dengan Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis (GCCEI) di Mu'tamarat, Nasiriyah, Riyadh, Arab Saudi.

Pusat itu akan menggembleng dan menggerakkan kerjasama strategik antara negara-negara serantau dan antarabangsa dalam usaha mempromosikan idea keamanan sejagat berteraskan konsep kesederhanaan dan wasatiyyah.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas hadir buat pertama kali ke perhimpunan bulanan JPM itu sejak pelantikannya pada April lalu.

Hishamuddin juga telah menghadiri Forum Keselamatan, Dialog Shangri-La di Singapura selama tiga hari pada Jumaat lepas, dan telah menjelaskan mengenai usaha Malaysia dalam menentang segala bentuk ancaman ekstremisme.

Menurut beliau, ancaman bukannya dikhususkan kepada militan Daesh namun ia boleh muncul dalam setiap agama, etnik dan di seluruh dunia. Daesh adalah nama lain bagi IS [Negara Islam].

“Apa yang amat penting apabila menghadapi ancaman seperti ekstremis keagamaan ialah tiada negara boleh menghadapinya secara bersendirian.

“Amat penting bagi kita untuk bersatu, membina pakatan dan gerakan kesederhanaan de¬ngan negara-negara yang sehaluan dengan isu ini untuk menjadi suara bagi menentang keganasan dan ekstremisme,” kata Hishammuddin dalam sesi itu pada Ahad.

Beliau juga memberikan penerangan mengenai penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman yang bertujuan menangkis pengaruh ekstremis dan membetulkan persepsi masyarakat dunia terhadap Islam ketika sesi plenari itu.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin, Hishammuddin berkata pihak berkuasa Malaysia akan bekerjasama dengan pihak tentera dari tiga negara bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di negara masing-masing.

“Serentak itu, saya telah mengarahkan ATM meningkatkan kawalan sempadan di seluruh negara. Ini kerana, kesemua insiden tersebut berlaku di tiga buah negara yang berjiran dengan Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, pihak berkuasa Malaysia tidak akan tunduk kepada pihak yang cuba mengganggu kedaulatan negara itu dan akan sentiasa mencari jalan terbaik dari masa ke semasa untuk menangani anacaman keganasan.

Naik taraf

Sementara itu, Malaysia kini dalam usaha menaik taraf unit Counter Terrorism Polis DiRaja Malaysia [PDRM] kepada bahagian Counter Terrorism sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan Malaysia menolak keganasan, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita merasakan seorang pegawai paling kanan mesti ditempatkan (di bahagian tersebut) untuk melihat bukan sahaja pendekatan secara holistik bagi menangani pencegahan kejadian keganasan tetapi kita harus melakukan lebih daripada itu termasuk mendapatkan kerjasama seluruh masyarakat,” katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia lewat Ahad.

Pada Jun 2016 Malaysia menjadi sasaran serangan pengganas apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang.

Dua lelaki tempatan mengaku bersalah melakukan serangan berhampiran Kuala Lumpur itu, dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun setiap seorang.

Muhammad Wanndy Bin Mohamed Jedi, perekrut prolifik bagi IS di Malaysia, yang berpangkalan di Syria, sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria bulan lepas, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Sejak tahun 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 306 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, yang mana 66 daripada mereka  telah pun dibebaskan, menurut angka terbaru daripada kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.