Najib Razak Didakwa Dengan Tiga Lagi Pertuduhan Pengubahan Wang Haram

Noah Lee
2019.01.28
Kuala Lumpur, Malaysia
190128-MY-Najib-Court-1000.jpg Bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak bersalaman dengan penyokongnya semasa meninggalkan bangunan mahkamah di Kuala Lumpur, 12 Disember 2018.
AFP

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak pada Isnin dituduh dengan tiga lagi pertuduhan tambahan atas dakwaan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah 47 juta ringgit (AS$10.2 juta) sekaligus merupakan pendakwaan keenam di mahkamah dengan 42 tuduhan kesemuanya.

Najib, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau sebelum itu hadir di mahkamah untuk pengurusan kes pengubahan wang haram yang terdahulu terhadapnya.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu empat tahun lalu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau dituduh menerima wang daripada aktiviti haram melalui akaun bank peribadinya.

Najib juga mengaku tidak bersalah ke atas tiga pertuduhan pecah amanah yang melibatkan dana SRC International dan tiga lagi pertuduhan pindaan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama, selepas semua pertuduhan itu dibacakan semula terhadapnya.

Peguambelanya Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pasukan peguamnya  memerlukan masa untuk meneliti kes berkenaan, dan sama ada tiga pertuduhan terbaru itu boleh dibicarakan bersama atau tidak, dan jika perlu, menyerahkan bantahan terhadap perkara tersebut.

Selepas menimbang permintaan itu, Hakim Mohd Nazlan menetapkan 7 Feb depan untuk mendengar hujah pasukan peguambela.

"Saya akan dengar pada 7 (Feb) sama ada tiga pertuduhan tambahan akan disertai. Penyerahan dokumen adalah pada Khamis, "kata hakim itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izzat Fauzan memberitahu BeritaBenar bahawa dia tidak dapat memberi komen jika pertuduhan baru itu mempunyai kaitan dengan SRC International tetapi berkata keputusan untuk meminta dibicarakan bersama dibuat di bawah Seksyen 91 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan [AMLATFA]..

"Kami tidak menyebut dalam kertas pertuduhan yang ianya mempunyai kaitan dengan SRC kerana pendakwaan dibuat di bawah AMLATFA. Di bawah seksyen itu, seseorang yang dituduh di bawah akta berkenaan boleh didakwa dan dibicarakan dalam satu perbicaraan bagi  beberapa kesalahan yang telah dilakukan, " kata Mohd Izzat.

Anggota Parlimen Pekan itu telah didakwa dengan pelbagai pertuduhan rasuah, di atas penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang kebanyakannya dikaitkan dengan syarikat  dana negara yang kini tidak berfungsi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selepas  Barisan Nasional yang pernah dipimpin Najib kalah pada pilihan raya umum 9 Mei kepada Pakatan Harapan yang diketuai oleh Dr. Mahathir Mohamad.

Sejak Julai, Najib telah didakwa dalam beberapa pertuduhan termasuk terlibat dalam pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan skandal 1MDB.

Bekas perdana menteri itu didakwa dengan empat pertuduhan dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,

Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 membabitkan dana 1MDB berjumlah 2.28 bilion ringgit.

Beliau juga dituduh menyalahguna kedudukannya sebagai perdana menteri dengan mengarahkan pindaaan di dalam laporan akhir audit 1MDB yang sedang disediakan untuk dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) antara 22 dan 26 Februari 2016.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu.

Pada 2016, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan 12 saman bagi pelucutanhak dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion (RM3.9 bilion) aset yang didakwa dibayar dengan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Sumber yang terlibat dalam siasatan Amerika Syarikat telah mengenal pasti Najib sebagai "Pegawai Malaysia 1" yang digambarkan dengan jelas dalam dokumen mahkamah DOJ.

Pada tahun yang sama, pihak berkuasa di Singapura mengumumkan bahawa mereka telah merampas aset berjumlah $240 juta (AS$177 juta) - di mana $120 juta (AS$88.5 juta) adalah daripada sekutu Najib, ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho (juga dikenali sebagai Jho Low) dan keluarga terdekatnya.

Kerajaan baru yang dipimpin Mahathir telah membuka semula penyiasatan kes 1MDB selepas memenangi pilihan raya umum.

Setiausaha Perbendaharaan Negara di Kementerian Kewangan, Mohamad Irwan Serigar Abdullah, dan bekas ketua eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy turut didakwa berkaitan 1MDB dan mengaku tidak bersalah.

Malaysia pada Disember lepas telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan yang berpejabat di Amerika Syarikat, Goldman Sachs, dua bekas eksekutifnya, pembiaya kewangan yang dalam buruan Jho Low serta seorang peguam kerana didakwa menyeleweng wang melalui bon-bon yang dikaitkan dengan dana negara, 1MDB.

“Goldman Sachs perlu bertanggungjawab kerana ia mendapat manfaat daripada wang sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion) untuk menaja jamin dan mengatur pengeluaran siri bon itu,” kata Peguam Negara Malaysia, Tommy Thomas, ketika mengumumkan tindakan kerajaan Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.