WSJ: Najib Dapat Nasihat Luar

Oleh Hata Wahari
2015.08.06
150806-MY-NAJIBSAMAN620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada persidangan media di Kuala Lumpur. 6 Ogos 2015
AFP

Perdana Menteri, Najib Razak telah mengarahkan para peguamnya untuk mendapatkan nasihat pakar undang-undang dari luar negara dalam usaha mengambil tindakan terhadap Dow Jones, penerbit akhbar kewangan Amerika Syarikat (AS), The Wall Street Journal (WSJ), berhubung laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 2 Julai lepas, WSJ menyiarkan laporan berdasarkan penyiasatan, yang mendakwa hampir RM2.64 bilion (AS$700juta) telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib melalui agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara 1MDB, yang dibebani hutang lebih RM41.5 bilion (AS$11 bilion).

Najib menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata, dakwaan itu adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.

Sebulan selepas laporan itu diterbitkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berhubung hasil siasatan agensi itu pada 3 Ogos lalu berkata, wang beratus-ratus juta yang dikatakan telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib, merupakan sumbangan daripada para penderma dan bukannya 1MDB.

Suruhanjaya itu pada Rabu turut berkata, agensi itu telah mendapat penjelasan daripada penderma yang berasal dari Timur Tengah dan pihak berkenaan telah mengesahkan mengenai sumbangan derma itu, tetapi tidak mendedahkan identiti penderma tersebut.

Peguam Najib, Mohd Hafarizam Wan Harun yang telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri telah dimaklumkan supaya mendapat pandangan kedua daripada pakar undang-undang, mungkin di kalangan Peguam Diraja Britain atau peguam terkemuka di Amerika Syarikat kerana isu berkenaan berkait dengan perundangan antarabangsa.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan saman terhadap Dow Jones dalam masa terdekat.

"Susulan pendedahan SPRM bahawa wang (RM2.6 bilion dilaporkan telah dimasukkan ke dalam akaun Najib) bukan dari 1MDB dan surat WSJ bertarikh 23 Julai yang mengelak menjelaskan pendirian berhubung artikel pada 2 dan 6 Julai lepas, anak guam saya telah mengarahkan saya untuk mendapatkan pandangan kedua dari segi undang-undang sama ada di dalam atau dari luar negara," katanya pada Khamis.

Belum putus di mana

Pejabat Perdana Menteri yang memberi maklum balas berhubung perkara itu berkata, laporan berkenaan adalah sabotaj politik, manakala 1MDB pula menegaskan tiada dana yang dipindahkan ke akaun Najib.

Mohd Hafarizam berkata, firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak telah mengirim surat untuk mendapatkan penjelasan WSJ berhubung dua laporan yang disiarkan itu, bagaimanapun pada 23 Julai lepas, penerbit akhbar itu mempertahankannya dengan memaklumkan intipati artikel tersebut sudah menjelaskan segalanya serta menyatakan mereka tidak perlu memperjelaskan pendirian mereka berhubung dua laporan tersebut.

Beliau berkata, anak guamnnya [Najib] mempunyai tempoh enam tahun untuk memfailkan kes sivil terhadap The WSJ Malaysia tetapi juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil beberapa tindakan guaman lain.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut serta tempoh untuk berbuat demikian.

Mengenai bidang kuasa berhubung saman itu, Mohd Hafarizam berkata, ia mungkin difailkan di Kuala Lumpur atau New York.

"Kita mempunyai kes di mana bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew memfailkan saman terhadap WSJ di Singapura pada 1998 dan ahli perniagaan Mokhzani Mahathir, yang juga anak bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, memfailkan saman terhadap WSJ dari Kuala Lumpur pada lewat 1990-an," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Polis Malaysia berkata usaha untuk mengekstradisi pengasas dan pengarang The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown ke Malaysia akan dibawa ke mahkamah United Kingdom.

The Sarawak Report merupakan portal berita kendalian Brown yang pertama mendedahkan beberapa siri laporan berita yang mendakwa hampir RM2.64bilion telah dipindahkan ke akaun Najib.

Pada Selasa lalu, Polis memperoleh waran tangkap terhadap Brown, yang berpangkalan di London dari Mahkamah Kuala Lumpur.

“Kami akan meneruskan permohonan untuk menyenaraikannya di dalam senarai penjenayah yang dikehendaki Aseanpol dan Notis Merah Interpol," kata Pengarah Jabatan Siasatan Polis Diraja Malaysia Mohamad Salleh dalam satu kenyataan ringkas.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim pada Khamis berkata proses untuk mengektradisi Brown perlu terlebih dahulu melalui beberapa prosedur perundangan di negara berkenaan.

"Ada proses yang perlu dilalui dan kita akan bentangkan fakta kes kita di mahkamah mereka. Sekiranya pihak mahkamah di UK berpuas hati dengan hujah kita, maka Brown boleh diekstradisi. Bagaimanapun jika kes ditolak mahkamah, kita akan menghormati keputusan mereka," katanya.

Pada 20 Julai lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menyekat laman web Sarawak Report kerana dikatakan mampu mengganggu-gugat kestabilan negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia SKMM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 19 Julai berkata, tindakan itu diambil berikutan aduan daripada orang ramai yang laman web itu telah memaparkan kandungan yang belum disahkan dan masih di dalam siasatan.

Sementara itu Brown semasa menjawab soalan BeritaBenar selepas waran tangkap itu dikeluarkan ke atas beliau berkata, langkah pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan waran tangkap terhadapnya merupakan tindakan yang tidak akan memberi sebarang manfaat kepada sebuah kerajaan yang cuba menyakinkan dunia bahawa ia sedang melaksanakan demokrasi.

“Saya telah menerbitkan maklumat yang tidak disukai oleh pihak berkuasa. Namun, 'jenayah' yang mereka tuduh terhadap saya adalah ‘satu tindakan yang memudaratkan demokrasi’, merekalah yang sebenarnya menjejaskan demokrasi dengan menyekat kebebasan bersuara dan menahan orang untuk disoal siasat, ” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.