'Kumpulan Pembebasan Selatan Dakwa Ada Roket Dalam Gudang Senjata'

Nasueroh & Uayporn Satitpanyapan
2016.02.09
160209-my-th-nampra620 Sebuah bom tertera tanda Tentera Nampra dan bendera kumpulan pemberontak PULO ditemui di daerah Nong Chik, wilayah Pattani, 30 Jan., 2016.
BeritaBenar

Penemuan roket propel buatan kasar di wilayah bergolak Selatan Thailand memberi isyarat bahawa kumpulan pembebasan lebih kecil di sana sedang mengubah taktik pertempuran dan mungkin cuba untuk mempengaruhi rundingan damai yang bakal diadakan, kata pakar.

"Mereka mungkin mahu menunjuk-nunjuk bahawa mereka mempunyai bom dalam usaha meningkatkan lagi kuasa rundingan," kata seorang pegawai anti keganasan Thailand yang enggan dikenali kepada BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO),  satu daripada kumpulan pembebasan yang  berjuang dalam pemberontakan pemisah di wilayah sempadan selatan Thailand, yang majority penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu, sejak lebih satu dekad lalu.

Tahun lepas, PULO menyertai MARA Patani, sebuah badan induk yang mewakili pelbagai kumpulan pembebasan Selatan Thailand dalam mesyuarat tertutup dengan perunding Thailand di  Malaysia,  dengan matlamat meneruskan rundingan damai rasmi dengan Thailand buat kali pertama sejak Disember 2013.

Ini nampaknya signifikan kerana PULO mendakwa menerusi media sosial bahawa ia telah melancarkan roket buatan sendiri ke zon konflik, kata Zachary Abuza,  pakar mengenai Selatan Thailand yag juga seorang profesor di Kolej Perang Nasional di Washington DC

"Jelas sekali mereka cuba melaksanakan peranan yang lebih besar untuk diri  sendiri dalam MARA Patani dan  dalam proses damai," kata Abuza kepada BeritaBenar.

"Satu-satunya cara yang boleh mereka lakukan ialah dengan melancarkan serangan, tetapi mereka kekurangan  ahli militan berbanding BRN. Jadi, mereka perlu kreatif dalam menimbulkan  kekecohan, "katanya.

BRN, atau Barisan Revolusi Nasional, adalah yang kumpulan terbesar dan paling lengkap bersenjata dalam kalangan  kumpulan pembebasan Selatan Thailand.

Kemunculan senjata jenis roket


Pada 5 Februari, polis di wilayah Narathiwat menemui dan melupuskan sebuah roket kecil yang serupa dengan roket (digambarkan di atas dan di bawah)  bulan lalu di wilayah Pattani.

Kolonel Polis Patta Madawa berkata alat paling baru itu, yang menyerupai bom paip dengan sirip, jatuh ke dalam ruang tamu sebuah rumah dan telah dimatikan oleh pakar-pakar pemusnah, menurut Associated Press.

"PULO cuba membangunkan sejenis bom tangan berkuasa roket atau roket untuk serangan jarak jauh, tetapi kita tidak mempunyai apa-apa bukti lagi sama ada ia berfungsi," kata pegawai anti pengganas yang enggan dikenali itu.

"Kami berminat untuk tahu di mana ia dibuat. Pelancarnya  mempunyai muncung condong diperbuat daripada tiub bergerigi, dipotong dan dikimpal untuk menjadi muncung kukuh, "katanya.

Walaupun pakar balistik  tidak pasti dengan bahan rejang yang digunakan, bom itu digambarkan sebagai alat letupan yang mengandungi ammonium nitrat dan bahan api minyak.

"Peledaknya dipasang dengan menggunakan asas senapang dan pin menembak. Ia mempunyai beberapa kelemahan dan tidak menyala," kata pegawai itu.

Pada 30 Jan, pegawai-pegawai di daerah Nong Chik di wilayah Pattani menemui dua bom seperti roket yang tidak meletup dan diberitahu bahawa tiga yang lain telah dilancarkan. Bom-bom dalam dua insiden itu dilancarkan dengan bendera PULO.

Bekas ahli PULO, Ma-ae Sa-a, mengaitkan bom itu dengan bekas kumpulannya.

"Saya memberitahu pihak berkuasa bahawa nama Tentera Nampra dengan bendera PULO itu adalah benar," katanya sambil menambah bahawa PULO  lebih cenderung untuk menanam bom daripada melancarkannya sebagai peluru.

Tentera Nampra, satu puak dalam PULO, telah mengeluarkan kenyataan amaran kepada mereka yang tinggal berhampiran kem tentera di Pattani dan Narathiwat supaya berpindah kerana ia merancang untuk menyerang kem berkenaan dengan roket tahun ini, lapor  hamptani.com .

Menurut Leftenan Jeneral Nanthadej Meksawat, seorang pegawai perisikan bersara yang ditugaskan ke Selatan Thailand, pelancaran roket itu menunjukkan bahawa PULO sedang mengubah taktiknya berikutan peningkatan kelemahannya.

"Keupayaan militan yang boleh ditugaskan semakin lemah," kata Nanthadej kepada BeritaBenar.

"Dalam beberapa bulan lalu, mereka cuba mengelakkan konfrontasi langsung dengan pasukan keselamatan. Tahun lalu, kami menyaksikan serangan bom diikuti oleh serangan senjata. Kami melihat serangan senjata dan tembak-menembak. Tahun ini, kami tidak nampak pun tindakan ini, "katanya.

'Takut'

Meskipun begitu, penemuan senjata baru itu telah mencemaskan para penduduk tempatan di Selatan Thailand, yang telah menyaksikan lebih daripada 6,000 orang mati akibat keganasan yang berkaitan dengan pemberontakan sejak 2004.

Nimu Magaje, bekas Pengerusi Jawatankuasa Islam di wilayah Yala, berkata,  pihak berkuasa sepatutnya menghalang para pejuang pembebasan itu daripada menggunakan senjata jenis roket dalam  serangan mereka.

"Orang ramai takut dan masyarakat bercakap mengenainya. Ia adalah misi pihak berkuasa untuk mengelakkan keganasan, " kata Magaje kepada pemberita pada  Isnin.

"Saya rasa pihak berkuasa perlu memeriksa bahan letupan itu dan meneliti sejarah tentang senjata yang hilang, jika ada," katanya. "Pihak berkuasa perlu mengambil kira di mana bahan letupan jenis ini pernah digunakan sebelum ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.