Kapal Malaysia Bawa Bantuan Tiba Di Myanmar

Khas Untuk BeritaBenar
2017.02.09
170209-MY-protest-1000.jpg Penunjuk perasaan berhimpun di luar pelabuhan Thilawa di Yangon membantah berlabuhnya kapal Malaysia yang membawa bantuan kemanusiaan bagi minoriti Islam Rohingya, 9 Feb, 2017.
AFP

Misi kemanusiaan Malaysia yang membawa kira-kira 500 tan bantuan bagi warga Islam Rohingya yang terlibat dengan keganasan di Myanmar berlabuh di sebuah pelabuhan berhampiran ibu negara itu, Yangon, pada Khamis.

"Ia bukan satu tugas yang mudah untuk sampai di Yangon, dan Alhamdulillah fasa pertama penghantaran bantuan telah dapat dilakukan," kata ketua misi pelayaran itu, Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu BeritaBenar. "Kami meminta kerajaan Myanmar untuk memberi kebenaran kepada sukarelawan kami, supaya dapat hadir semasa pengagihan bantuan di Rakhine."

Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar kawasan pelabuhan sebagai tanda protes terhadap misi menyampaikan beras, mi segera, air dan peralatan kebersihan kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Win Myat Aye pada Khamis.

"Kapal itu tiba di Yangon atas alasan untuk membantu pelarian," kata sami Buddha Ven Thuseitta daripada Patriotic Myanmar Monks Union, Yangon.

"Kami boleh menerima bantuan ikhlas untuk pelarian, tetapi tidak dengan dieksploitasi oleh politik dan menggunakan perkataan Rohingya." Kami tidak pernah mempunyai Rohingya di negara kami, dan kami tidak mahu mendengar kehadiran mereka itu dengan alasan mahu membantu golongan yang tidak wujud . "

Penduduk majoriti Buddha di negara itu memandang Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menafikan bahawa mereka merupakan kumpulan etnik Myanmar yang sah.

Tetapi Kementerian Hal Ehwal Luar Myanmar pada Khamis berkata, kerajaan negara itu akan menjalankan siasatan terhadap krisis yang berlaku di negeri Rakhine berikutan dakwaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB] bahawa pasukan keselamatan negara itu telah melakukan pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap umat Islam Rohingya di sana.

30 berlabuh

Kapal Nautical Aliya, membawa 2,200 tan bekalan makanan dan perubatan, belayar dari Port Klang pada 3 Februari lalu dan Perdana Menteri Najib Razak serta orang kenamaan lain telah melepaskan secara rasmi pelayaran itu.

Kapal itu membawa serami 230 sukarelawan termasuk doktor, dari Turki, Indonesia, China, Amerika Syarikat, Perancis, Thailand dan wilayah Palestin. Tetapi hanya 30 orang daripada mereka dibenarkan turun dari kapal di Pelabuhan Yangon untuk majlis penyerahan bantuan pada Khamis.

 

 

Para pegawai dari Malaysia menyerahkan bantuan kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Win Myat Aye (paling kiri) di Pelabuhan Yangon pada 9 Feb, 2017. Turut kelihatan (dari kanan) Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Mohd Azmi Abdul Hamid, Ketua misi Flotila Abdul Azeez Abdul Rahim dan Timbalan Menteri Luar Malaysia Reezal Merican Naina Merican. [Ihsan Flotila Bantuan Kemanusiaan ke Myanmar]

Negara majoriti Islam Malaysia dan Indonesia telah mengkritik kerajaan Myanmar berikutan  krisis di Rakhine dan juga layanan terhadap warga Rohingya, yang dinafikan kerakyatan dan tidak mendapat perkhidmatan asas walaupun ramai yang telah meninggalkan negara itu sejak  beberapa generasi lalu.

Indonesia telah menghantar sepuluh kontena makanan, bekalan bayi, dan pakaian bagi warga Rohingya yang terlibat dengan keganasan di Myanmar.

Kerajaan Myanmar pada mulanya membantah "flotilla makanan" dari Malaysia, yang didakwa tidak mendapat kebenaran rasmi untuk memasuki perairannya dan penghantaran bantuan tersebut.

Tetapi Win Myat Aye, Menteri yang bertanggungjawab terhadap sosial kebajikan, bantuan, dan penempatan semula Myanmar memanggil penghantaran berkenaan sebagai “perjanjian rasmi di kalangan negara-negara ASEAN [Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara]."

"Malaysia telah menghubungi kami secara rasmi untuk menghantar bantuan kemanusiaan ini, dan kami akan mengagihkan semua bantuan itu secara saksama kepada kedua-dua komuniti melalui kerajaan negeri Rakhine," katanya.

Kerajaan Myanmar telah berkata bahawa bantuan itu perlu diagihkan kepada etnik Rohingya dan penduduk di Rakhine.

Sebahagian daripada makanan dan barang-barang lain akan dibawa ke ibunegeri Rakhine, iaitu Sittwe dan bahagian utara negeri berkenaan, manakala selebihnya akan pergi ke selatan Bangladesh untuk diagihkan kepada puluhan ribu pelarian Rohingya yang tinggal di kem-kem di Teknaf, Kutupalong dan Nayapara, kata Rahim.

Kapal Nautical Aliya sepatutnya dijadualkan berlepas dari Myanmar awal Jumaat dan sampai ke pelabuhan Chittagong, Bangladesh sebelum 14 Feb ini, kata pegawai. Pada asalnya destinasi pertama kapal berkenaan ialah di Teknaf, sebuah bandar yang terletak berhampiran dengan kem-kem pelarian, tetapi pihak berkuasa Bangladesh berkata pelabuhan di kawasan itu terlalu cetek bagi kapal berkenaan untuk berlabuh.

Lembaga siasatan tentera

Kira-kira 66,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak empat bulan lepas di tengah-tengah tindakan keras tentera di barat negeri Rakhine berikutan pembunuhan sembilan anggota polis oleh militan pada Oktober lepas.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh PBB 3 Feb lepas, yang berdasarkan kepada temubual dengan lebih daripada 200 pelarian Rohingya di Bangladesh menyebut, tindakan tentera Myanmar "kemungkinan besar melibatkan pembersihan etnik."

Kerajaan dan tentera Myanmar berkali-kali menolak dakwaan penderaan terhadap minoriti Muslim negara berkenaan.

Tetapi pada Khamis, satu kenyataan kerajaan mengumumkan bahawa lembaga siasatan yang terdiri daripada lima pegawai kanan tentera akan cuba menentukan sama ada tentera menggunakan kekerasan yang berlebihan dan melakukan pelanggaran hak asasi manusia di daerah Maungdaw, Rakhine.

"Kami perlu mencari kebenaran terhadap dakwaan berkenaan," kata Ketua Pengarah Kementerian Luar Aye Aye Soe kepada stesen Radio Free Asia, sebuah entiti BeritaBenar.

Sebuah suruhanjaya yang diketuai oleh Naib Presiden Myint Swe telah menyiasat laporan pembunuhan, penyeksaan, kebakaran, dan rogol di utara negeri Rakhine sejak Disember.

Dalam laporan interim yang dikeluarkan pada Januari lalu, suruhanjaya itu berkata, ia telah mendapati tiada kes pembunuhan beramai-ramai atau penganiayaan agama terhadap Islam Rohingya yang tinggal di wilayah berkenaan. Ia juga menyatakan bahawa temubual dengan  penduduk tempatan serta wanita mengenai dakwaan rogol membawa kepada bukti yang tidak mencukupi.

"Suruhanjaya negeri Rakhine yang menjalankan siasatan itu, masih tidak mengeluarkan laporan akhirnya itu," kata Aye Aye Soe. "Bagaimana kami boleh mengulas dakwaan itu?" katanya mengenai laporan penemuan PBB tersebut.


Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.