Follow us

Mahathir Namakan Pilihannya Bagi Jawatan Ketua Polis Malaysia

Radzi Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-05-01
E-mel
Komen
Share
Abdul Hamid Bador, timbalan pengarah cawangan khas polis Malaysia semasa bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur pada 2015.
Abdul Hamid Bador, timbalan pengarah cawangan khas polis Malaysia semasa bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur pada 2015.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Rabu berkata beliau telah mengemukakan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan baginda mengenai pelantikan Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis DiRaja Malaysia [PDRM] ang baru untuk menggantikan Mohamad Fuzi Harun yang bersara pada 4 Mei.

Pada masa ini, Abdul Hamid menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara [TKPN]. Beliau dijangka menerajui perkhidmatan pasukan keselamatan negara itu selama tiga tahun.

“Ya, saya fikir Abdul Hamid adalah Ketua Polis Negara yang baru,” kata Mahathir semasa mengesahkan bahawa beliau telah mengemukakan nama pegawai kanan polis itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan baginda.

"Saya fikir Yang di-Pertuan Agong sudah menandatangani surat pelantikan itu," kata Perdana Menteri kepada pemberita semasa sambutan Hari Pekerja peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Semasa menjadi Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM pada 2015, Abdul Hamid menarik perhatian ramai apabila ditukarkan jawatan oleh kerajaan Barisan Nasional [BN] selepas bersuara mengenai skandal rasuah 1MDB, yang menyelubungi Perdana Menteri Najib Razak ketika itu.

Najib dan kerajaan BN ditumbangkan oleh Pakatan Harapan pada pilihan raya umum tahun lalu.

Selepas Yang di-Pertuan Agong menandatangani surat pelantikan itu, Abdul Hamid, yang bakal berusia 61 tahun, akan mengambil alih jawatan itu daripada Mohamad Fuzi sebagai Ketua Polis Negara [KPN]. Mohamad Fuzi akan bersara pada Sabtu ini, yang juga hari ulang tahun kelahiran ke-60 beliau. Usia persaraan mandatori bagi polis ialah 60 tahun.

Mahathir mengumumkan bahawa Abdul Hamid, yang sudah mencapai usia persaraan, akan dilantik secara kontrak untuk menyandang jawatan tertinggi polis itu. Jawatan KPN dianggap sebagai lantikan politik oleh perdana menteri atau pemimpin kerajaan dan memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Najib melantik Mohamad Fuzi sebagai KPN pada September 2017.

Mahathir mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mei 2018 selepas pakatan pembangkang yang diterajuinya menewaskan gabungan parti-parti BN pimpinan Najib, setelah berjanji mahu menangani rasuah dan membersihkan pentadbiran kerajaan.

Abdul Hamid kembali ke pasukan polis sebagai Ketua Cawangan Khas setelah ‘direhatkan’ daripada tugas itu, tanpa pengumuman rasmi tentangnya dibuat. Cawangan Khas adalah cabang risikan bagi PDRM.

Pada Mac lepas, Abdul Hamid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berikutan persaraan Nor Rashid Ibrahim.

Semasa mengetuai Cawangan Khas, beliau adalah sebahagian daripada pasukan petugas penyiasat yang menjalankan beberapa serbuan polis dan melakukan rampasan harta yang berkaitan dengan skandal dana pembangunan 1MDB termasuk sebuah kapal layar mewah yang dimiliki oleh pembiaya kewangan Malaysia yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Baru-baru ini, kerajaan Mahathir menjual kapal layar tersebut dan kini giat berusaha untuk menangkap serta mengekstradisi Low ke Malaysia bagi berdepan dengan pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat turut memfailkan pertuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB, yang disifatkannya sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk dalam sejarah ketika ini”, dengan mendakwa kira-kira AS$4.5 bilion [RM198.3 bilion] telah diseleweng daripada dana itu dan dimasukkan ke akaun Najib, rakan dan keluarganya di antara 2009 dan 2014.

Najib adalah bekas perdana menteri pertama dalam sejarah negara yang didakwa bagi 42 pertuduhan jenayah. Namun, beliau mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan memindahkan wang sebanyak RM42 juta (AS$10.3 juta) daripada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB, yang ditubuhkannya pada 2009.

Fuzi.jpeg

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mendengar pertanyaan pemberita semasa sidang media di Kuala Lumpur, 22 April 2018. [AFP]

Calon lain


Pada Rabu, Straits Times melaporkan bahawa terdapat perbincangan  berterusan mengenai siapa yang bakal mengantikan Mohamad Fuzi kerana Kementerian Dalam Negeri [KDN] dan PDRM masing-masing mempunyai calonnya sendiri.

KDN dikatakan mahu mencalonkan Ketua Agensi Anti-Dadah Kebangsaan Zulkifli Abdullah manakala PDRM menyokong Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Acryl Sani Abdullah Sani, kata sumber kepada akhbar yang berpejabat di Singapura itu. Kedua-dua pegawai itu berusia 58 tahun dan belum menghampiri usia persaraan mandatori.

Zulkifli, yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Ketenteraman Awam,  mengambil alih jawatan ketua agensi anti-dadah itu berikutan arahan Mahathir pada Ogos 2018.

Latar belakang Abdul Hamid


Dari 1998 hingga 2000, Abdul Hamid menjadi Ketua Penguasa dan Timbalan Ketua Polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Gombak.

Pada Februari dan Mac 2013, beliau pernah menjadi perunding bagi pasukan keselamatan Malaysia semasa cuba menamatkan krisis keselamatan dan pencerobohan selama beberapa minggu oleh kira-kira 200 pemberontak dari Sulu, Selatan Filipina di sebahagian besar pantai di Sabah. Pemberontak itu menuntut hak Kesultanan Sulu, yang mengikut sejarah pernah memerintah Sabah, serta mengisytiharkan diri mereka sebagai Tentera Diraja Sulu dan pengikut Sultan Sulu Jamalul Kiram III.

Pada 2015, semasa berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas, beliau menasihatkan kerajaan Najib supaya memberi penjelasan secara telus berhubung dakwaan 1MDB dan mendesak mereka yang terlibat supaya tampil ke depan.

Akibat lantang bersuara mengenai 1MDB, Abdul Hamid dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri yang di bawah pengawasan Najib pada September 2015 namun, beliau memilih untuk bersara awal. Beliau kembali bertugas dengan PDRM selepas Najib ditewaskan pada Mei tahun lepas.

Lihat Laman Penuh