Malaysia Tumpas Sindiket Penipuan Ada Kaitan Ketua Kongsi Gelap Disenarai Hitam AS

Polis Malaysia sedang memburu ketua sindiket rakyat tempatan bergelar Dato Seri Nicky yang masih lagi bebas.
Nisha David & Muzliza Mustafa
2021.03.30
Kuala Lumpur
Malaysia Tumpas Sindiket Penipuan Ada Kaitan Ketua Kongsi Gelap Disenarai Hitam AS Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menunjukan sesuatu kepada Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) semasa sidang media di Ibupejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, 30 Mac, 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Polis Malaysia telah menumpaskan satu sindiket penipuan yang mempunyai kaitan dengan ketua kumpulan kongsi gelap 14K – yang disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS) Disember lalu - Wan Kouk Koi atau lebih dikenali sebagai ‘Broken Tooth’ yang dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah terancang, Macau Scam dan pengubahan wang haram peringkat antarabangsa.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Selasa memberitahu seramai 68 orang, lelaki dan wanita termasuk warga China dan Myanmar selain rakyat tempatan telah ditangkap dalam beberapa siri serbuan sejak 20 Mac, dengan seorang lelaki berstatus Dato Seri yang juga ketua kumpulan ‘Geng Nicky’ sedang diburu polis.

Katanya, seorang bekas timbalan pendakwa raya juga ditahan kerana dipercayai menjadi orang perantara sindiket serta bertanggungjawab membantu ketua ‘Geng Nicky’ yang dikenali sebagai Nicky Liow Soon Hee, 33, bergelar Dato Seri, untuk melarikan diri selepas membocorkan maklumat tentang operasi polis manakala 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasa negara itu sedang disiasat kerana melindungi kegiatan lelaki tersebut.

“Polis sedang memburu ketua Geng Nicky yang dikenali sebagai Nicky Liow Soon Hee, pengasas syarikat pelaburan ‘Winner Dynasty Group’ berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor, yang dipercayai masih berada dalam negara dan memiliki aset bernilai RM1billion (AS$241 juta).

“Hasil risikan pihak polis juga mendapati bahawa Winner Dynasty dan Dato Seri Nicky Liow Soon Hee disyaki mempunyai hubungan dengan Wan Kouk Koi atau Broken Tooth, ketua kongsi gelap dari China yang telah disenarai hitam oleh Amerika Syarikat pada 9 Disember 2020.

“Wan Kouk Koi dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah terancang antarabangsa dan pengubahan wang haram,” kata Abdul Hamid pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay di Bukit Aman.

Susulan operasi di beberapa buah negeri seramai lapan kenamaan termasuk individu bergelar Dato dan Dato Seri turut ditahan.

Senarai hitam oleh Amerika Syarikat

Amerika Syarikat sebelum ini telah menyenaraihitamkan Kuok Koi, dengan mendakwa lelaki itu mengetuai kumpulan kongsi gelap 14K dengan terlibat dalam pengedaran dadah, perjudian haram, pemerasan, pemerdagangan manusia serta kegiatan jenayah lain.

Lelaki itu dipercayai ketua kumpulan penjenayah dan seorang yang ganas dan terlibat dalam beberapa siri jenayah kekerasan di Macau, pernah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di negara berkenaan sebelum dibebaskan pada tahun 2012.

Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan oleh media tempatan sebagai berkata bahawa penjenayah dalam buruan berusia 65 tahun itu pernah berada di Malaysia sekitar 2019 dan 2020 atas urusan perniagaan dan dipercayai keluar dari negara itu untuk ke Hong Kong pada 18 Mac tahun lalu.

Beliau berkata selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya atas jenayah penipuan bernilai RM6 juta, Kuok Koi terus menghilangkan diri.

Dalam pada itu katanya, pihak polis sedang mengenalpasti tempoh pengenalan Nicky Liow dengan Kuok Koi kerana kedua-dua mereka mempunyai kaitan dalam skandal pelaburan saham melibatkan sebuah syarikat berpangkalan di Malaysia.

"Selain pembabitan dengan Nicky Liow, Broken Tooth [Kuok Koi] mempunyai kaitan dan skandal membabitkan pelaburan saham dalam 'Inix Technologies', dan siasatan juga mendapati lelaki itu mempunyi jaringan dengan rangkaian dadah antarabangsa 'Tse Chi Lop' yang ditangkap di Belanda pada 24 Januari lalu," tambah Abdul Hamid lagi.

‘Macau Scam’

Katanya, siasatan awal mendapati ‘Geng Nicky’ turut menyasarkan pelabur dari China untuk melabur dalam hartanah dan produk kesihatan dengan menjanjikan pulangan keuntungan berlipat kali ganda, manakala pelaburan mata wang asing (forex) dan kripto melalui Wincoin dan Winbitex menjalankan pelaburan melalui aplikasi WeChat dan menggunakan WeChat pay.

“Wang tersebut seterusnya akan dilaburkan dalam matawang kripto dan juga judi dalam tarian dan bagi mengeluarkan wang berkenaan, mereka menggunakan perkhidmatan money changer (pengurup wang) dan ‘Casino Junket Agent’ untuk mengaburi pihak berkuasa,” tambah Abdul Hamid.

Ketua Polis Negara itu juga mendedahkan yang beberapa unit kondominum di Setiawalk telah digunakan oleh Geng Nicky sebagai pusat panggilan (call center) Macau Scam yang sebahagiannya dimiliki atau disewa oleh Winner Dynasty Group.

“Jabatan Imigresen Malaysia pada Januari 2020 telah berjaya menahan 87 warga China yang terlibat dalam aktiviti Macau Scam dalam satu serbuan di kondominum-kondomimum yang dimiliki atau disewa syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata daripada 68 orang yang ditangkap itu, 42 adalah lelaki - 27 lelaki dan tiga wanita tempatan bersama 15 lelaki dan tiga wanita warga China ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membolehkan seseorang itu ditahan reman selama 28 hari sebelum didakwa di mahkamah.

Menurut Ketua Polis itu, penangkapan kesemua 48 mereka di bawah SOSMA adalah yang pertama kalinya bagi kes komersil disiasat menggunakan prosedur tersebut dan turut disiasat di bawah jenayah terancang Kanun Keseksaan.

Beliau juga memberitahu selain 48 yang ditahan itu 12 lagi juga ditangkap terdiri daripada 10 lelaki warga China dan masing-masing seorang wanita dari Myanmar dan China dibawah Akta Imigresen manakala lapan lagi rakyat tempatan berhubung nakortik.

Katanya, dua adik lelaki Nicky Liow adalah antara yang telah ditahan polis setakat ini.

"Seramai 118 individu diperiksa menerusi 70 serbuan dalam Ops Pelican 3 di sekitar Lembah Klang bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan Geng Nicky sejak 20 sehingga 28 Mac.

Ditahan bawah SOSMA

“Siri serbuan terhadap sindiket tersebut menyaksikan polis merampas pelbagai mata wang berjumlah RM773,145 (AS$186,682) serta 16 kenderaan mewah bernilai RM6.67 juta (AS$1.6 juta).

“Selain itu, sebanyak 41 akaun bank berjumlah lebih RM4 juta (AS$965,834) yang dipercayai mempunyai hubungan dengan 21 orang dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia, telah dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001,” tambah Abdul Hamid.

Katanya operasi khas itu dijalankan susulan daripada maklumat risikan yang diperolehi pada pertengahan Januari lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Menurutnya, Nicky Liow memiliki 12 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan, manakala adik lelakinya mempunyai rekod kesalahan dadah.

Pada sidang media khas tersebut, Ketua Polis Negara itu juga melahirkan rasa kesal dengan penglibatan pegawai dan anggota polis serta imigresen yang korup dan bersekongkol dengan ketua ‘Geng Nicky’ sehingga lelaki tersebut berjaya melarikan diri.

"Susulan dari kebocoran maklumat itu, Nicky sempat membawa lapan beg besar mengandungi wang tunai dianggarkan jutaan ringgit.

"Saya kesal dan kecewa dengan tindakan duri dalam daging yang ada dalam pasukan Polis Diraja Malaysia yang membocorkan maklumat sehingga membolehkan dia (Nicky) mengetahui serbuan yang bakal dilakukan dan melarikan diri pada hari yang sama melalui jalan tikus di dalam kawasan itu," kata Abdul Hamid.

Beliau berkata polis telah mengenalpasti sejumlah pegawai dan anggota beberapa agensi kerajaan yang disyaki terlibat, dan menjanjikan tindakan tegas terhadap mereka yang bersekongkol dengan sindiket.

"Betapa 'slacknya' pegawai ini walhal begitu ramai mangsa tertipu dengan kes ini. Kita akan tangkap pegawai polis ini. Mereka ini degil, masih lagi hidup dengan khayalan. Mereka ini (anggota penguatkuasa) bergaul, menjadi ahli, membantu dan menerima suapan daripada sindiket berkenaan.

"Saya akan memperhalusi siasatan terhadap akaun bank bagi mengenaipasti kaedah pembayaran dibuat dan lain-lain perkara lain bagi mengambil tindakan mengikut undang-undang. Saya akan ambil tindakan kerana tiada isu mahu cover (lindung) dan tiada apa mahu dimalukan. Inilah hakikatnya.

"Betapa teruknya keadaan ini. Sampai bila? Perbuatan itu sungguh jijik dan saya lebih cenderung untuk mengambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan dan pengubahan wang haram," kata penuh kesal.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.