Follow us

ATM, PDRM Teruskan Langkah Keselamatan Menjelang Sukan SEA

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2017-08-14
E-mel
Komen
Share
Sebahagian daripada warga asing yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia di sekitar Pusat Borong Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan, 13 Ogos, 2017
Sebahagian daripada warga asing yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia di sekitar Pusat Borong Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan, 13 Ogos, 2017
[N. Nantha/BeritaBenar]

Angkatan Tentera Malaysia [ATM] dan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] menjalinkan kerjasama dalam usaha meneruskan langkah keselamatan menjelang temasya Sukan SEA, menurut seorang pegawai pasukan siap sedia.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, kerjasama penugasan pasukan siap sedia itu meliputi operasi kawal dan pasukan siap sedia anti-keganasan dengan memberi tumpuan kepada kawalan dan rondaan di 38 lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

“Lokasi yang dipilih adalah KLCC, Bukit Bintang, KL Sentral, Terminal Bersepadu Selatan, Stadium Shah Alam, Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Bangunan Putrajaya dan lain-lain lokasi yang dirasakan perlu untuk dipantau serta dikawal,” kata Menteri itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, bagi pasukan anti-keganasan, anggota ATM akan diletakkan dalam keadaan bersiap siaga di beberapa kem ATM sekitar Kuala Lumpur iaitu Kem Perdana Sungai Besi, Kem Wardieburn dan Kem Batu Kentomen.

“Mereka akan diaturgerak ke lokasi-lokasi tertentu pada bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya sambil menambah lebih 2,000 anggota ATM turut akan terlibat dalam upacara pembukaan dan penutupan rasmi temasya sukan tersebut.

Sementara itu, pasukan Anti-Keganasan PDRM menahan dua lelaki tempatan dan tiga lagi rakyat Pakistan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-langkah khas] Malaysia [SOSMA] bersama 62 lagi semasa operasi yang diadakan disekitar Pusat Perdagangan Nilai, di Negeri Sembilan, dalam satu operasi bersepadu yang diadakan pada Ahad.

Menurut pegawai polis anti-keganasan tertinggi negara itu, Ayob Khan Mydin Pitchay, dalam serbuan, sebanyak 742 buah kedai dan 276 premis perniagaan diperiksa dan 429 orang telah ditahan untuk pemeriksaan.

“Pihak keselamatan memberikan tumpuan khusus kepada kawasan perdagangan tersebut memandangkan bilangan pekerja asing yang ramai dari Afghanistan dan Pakistan yang mungkin terlibat dengan kumpulan Negara Islam (IS) – Khorasan,” katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.

Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Sepang untuk menjalani proses saringan berdasarkan data daripada Interpol Foreign Terrorist Fighters (FTF), senarai anti-keganasan cawangan khas, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Siasatan Jenayah polis.

“Lima lagi suspek ditahan untuk disiasat dibawah kesalahan dibawah Akta Jabatan Pendaftaran Negara, kerana memiliki kad pengenalan yang dipercayai diperolehi melalui cara yang salah, serta 57 orang lain, dibawah kesalahan imigresen,” tambah Ayob.

Katanya, operasi pada Ahad itu adalah susulan daripada operasi yang diadakan di Masjid India, Kuala Lumpur, minggu lalu, kerana pihak berkuasa mengesyaki warga asing yang bertapak di kawasan berkenaan berpindah dan bersembunyi bersama warga asing lain di kawasan berkenaan.

"Kita mengesyaki mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS Wilayah Khorasan yang berpangkalan di sempadan Pakistan-Afghanistan. Kemungkinan besar mereka terbabit dalam kumpulan itu,” tambah beliau.

Dalam serbuan itu juga, pihaknya turut merampas empat bilah pedang dan satu tukul besi.

Kumpulan pengganas Khorasan ialah serpihan kumpulan IS dari Syria dan Iraq yang menduduki wilayah timur laut negara Iran dan nama tersebut diambil daripada nama lama wilayah yang merangkumi Afghanistan, Pakistan, dan sebahagian India dan beberapa negara lain.

Dibawah tahanan SOSMA, dua suspek berasal dari Malaysia dan tiga dari Pakistan manakala bagi kesalahan JPN dan Imigresen, suspek merupakan warga Malaysia, Pakistan, Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Mesir.

“Lima suspek dipercayai memiliki kad pengenalan palsu. Kesemua disiasat dibawah kesalahan keselamatan kerana memiliki beberapa pasport asing dalam simpanan,serta memiliki parang,” katanya lagi.

Operasi Nilai adalah operasi yang ketiga oleh pasukan bersepadu keselamatan Malaysia selepas operasi di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Isnin lepas dan Cyberjaya pada Rabu lalu bagi menjejaki warga asing yang disyaki ada kaitan dengan kegiatan keganasan.

Pihak berkuasa Malaysia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan pelbagai usaha dijalankan untuk meningkatkan keselamatan bagi menyambut temasya Sukan SEA ke-29, di mana Malaysia adalah tuan rumah kepada acara sukan terbesar di Asia Tenggara itu.

Pelbagai acara sukan melibatkan 11 buah negara dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos ini.

N.Nantha dan Hata Wahari turut membantu dalam laporan ini.



Lihat Laman Penuh