Polis Siasat Nurul Izzah Di bawah Sosma

Staf BeritaBenar
2015.11.24
151124-MY-SULU620 Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dengan ibunya yang juga Ketua Pembangkang Malaysia Wan Azizah Wan Ismail serta adik-adiknya bergambar bersama sepanduk "Bebaskan Anwar Segera" di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur. 2 November 2015.
AFP

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi masa 'satu dua hari' kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk tampil memberi keterangan berhubung pertemuannya dengan Jacel H Kiram, anak perempuan kepada ketua pengganas Sulu dalam pencerobohan berdarah di Lahad Datu, Sabah pada 2013 lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohmad Salleh berkata, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mohmad berkata, kertas siasatan itu dibuka setelah polis menerima lebih daripada 90 laporan dari pelbagai pihak, kebanyakannya dari Sabah.

"Kita sudah berhubung dengan pihak Nurul Izzah dan memanggil beliau untuk dirakam kenyataannya. Tetapi setakat hari ini kita masih gagal lagi berjumpa beliau disebabkan komitmen beliau dengan tugas harian. Kita akan berhubung dengan dia lagi untuk dapatkan masa yang sesuai," kata Mohmad.

Menurut Mohmad, polis menerima lebih 90 laporan di seluruh negara berhubung pertemuan Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Jacel.

Ujarnya lagi, kebanyakan laporan itu diterima di Sabah, sejak Jacel memuat naik empat keping gambar dia dan Nurul Izzah dalam akaun Facebook milik anak perempuan pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III yang juga bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu itu pada 9 Nov lalu, sehingga mencetuskan kemarahan banyak pihak, khususnya penduduk Sabah.

Dalam gambar itu, Jacel dan Nurul Izzah dirakam masing-masing memegang poster "Release Anwar Immediately" (Bebaskan Anwar Segera)

Pada Februari 2013, kumpulan bersenjata Sulu dari selatan Filipina itu, telah menceroboh Lahad Datu di Sabah hingga menyebabkan lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati.

Nurul Izzah adalah anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri dan ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun setelah mahkamah mendapati Anwar bersalah atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

‘Mohon maaf’

Dalam reaksinya pada Isnin, Nurul Izzah berkata, beliau sedia maklum kegusaran yang timbul akibat gambarnya bersama Jacel Kiram dan sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatannya ke Manila.

"Tidak ada apa-apa yang hendak saya sembunyikan, dan saya bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjelaskan lawatan saya yang dianjurkan oleh Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina," ujarnya.

Menurutnya, Jacel Kiram merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program itu.

"Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.

Nurul Izzah adalah salah seorang dari delegasi pemimpin PKR yang mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak di Manila, yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Batu dari PKR, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua.

‘Tian Chua atur pertemuan’


Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin mendakwa Tian Chua adalah individu yang bertanggungjawab mengatur pertemuan di antara Nurul Izzah dan Jacel.

"Tian Chua merupakan individu yang mengaturkan pertemuan itu. Beliau bertanggungjawab berhubung dengan Sultan Sulu. Beliau kena berhati-hati dalam setiap tindakannya," menurut Ahmad Zahid, sambil meminta Tian Chua memberi kerjasama kepada polis untuk merekodkan kenyataannya berhubung isu berkenaan.

Tian Chua dalam reaksinya membidas Zahid dan mendakwa tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana mereka berdua tidak maklum bahawa Jacel akan turut serta dalam majlis tersebut.

Tian Chua mendakwa bahawa dia dan Nurul Izzah tidak dapat berbuat apa-apa berkenaan pertemuan tersebut kerana ia telah diaturkan oleh pihak penganjur di Filipina.

‘Larang masuk Sabah’

Seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) di Sabah Mohd Suhaili Said mencadangkan agar Nurul Izzah dilarang daripada memasuki Sabah berikutan tindakannya menemui Jacel.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Mohd Suhaili berkata perbuatan Nurul Izzah itu "amat tidak wajar kerana rakyat negara ini, khususnya di Sabah, begitu menderita dan marah dengan perbuatan kumpulan bersenjata Sulu menceroboh Tanduo, Lahad Datu, pada tahun 2013.

Cadangan Mohd Suhaili itu turut di sokong oleh wakil rakyat Sindumin, Ahmad Bujang yang meminta kerajaan agar tidak membenarkan sama sekali Nurul Izzah memasuki Sabah di atas tindakannya menemui Jacel.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.