Follow us

Peguam Malaysia Terima Dokumen Ekstradisi FBI Bagi Rakyat Korea Utara

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-12
E-mel
Komen
Share
Seorang lelaki berjalan berhampiran Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, 28 Mac, 2017.
Seorang lelaki berjalan berhampiran Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, 28 Mac, 2017.
[AP]

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah menyediakan dokumen menyokong permintaan Washington untuk mengekstradisi warga Korea Utara yang tinggal di Malaysia yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pihak berkuasa Malaysia pada 13 Mei lepas menahan Mun Chol Myong, seorang ahli perniagaan yang berurusan dengan China, atas alasan bahawa Amerika Syarikat telah membuat permohonan ekstradisi kerana mendakwa lelaki itu melanggar sekatan yang dikenakan terhadap Pyongyang. Beliau telah ditahan sejak itu dan menghadiri beberapa perbicaraan di mahkamah.

"Kami telah menerima dokumen-dokumen daripada FBI," kata Timbalan Pendakwa Raya Faizul Aswad Masri kepada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Faizul juga menyerahkan dokumen yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai yang mengesahkan bahawa kementerian itu telah menerima permintaan rasmi daripada Amerika Syarikat untuk mengekstradisi Mun.

Dokumen FBI itu menjelaskan enam pertuduhan terhadap Mun, termasuk instrumen konspirasi dan pengubahan wang haram yang melanggar Kod Amerika Syarikat, kata Faizul dalam prosiding mahkamah sebelum ini, menurut laporan Agence France-Press.

Berbekalkan pengesahan permohonan ekstradisi dan dokumen FBI yang diterima oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, kes itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa berhubung semua kesalahan kecuali yang membawa hukuman mati, kata Faizul pada Jumaat.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, yang memantau biro tersebut, pada Jumaat sekali lagi enggan mengulas mengenai kes Mun selepas BeritaBenar menghantar e-mel meminta sesalinan dokumen FBI itu.

Peguam Jagjit Singh memberitahu wartawan bahawa beliau akan mencabar permohonan ekstradisi itu pada prosiding berikutnya, yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.

"Perkara itu akan didengar di Mahkamah Sesyen, kita akan berhujah di sana," katanya.

Bulan lalu, sumber perisikan Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa Amerika Syarikat melihat pertuduhan terhadap Mun sebagai melanggar sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan untuk menghalang dana Korea Utara daripada disalurkan kepada program tenaga nuklear dan program senjata nuklear Pyongyang.

Mun, 54, dan keluarganya tinggal di sebuah pangsapuri di pinggir bandar Kuala Lumpur semasa beliau menjalankan perniagaan di China, kata sumber itu, sambil memberitahu bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak pasti jenis perniagaannya kerana beliau sering berulang-alik ke Beijing.

Faizul pada 4 Julai telah memberitahu agensi berita AFP bahawa Mun didakwa memperdagang "barangan terkawal" dengan Korea Utara antara 2014 dan 2017. Faizul bagaimapun tidak mengulas lanjut, tetapi laporan lain mengatakan lelaki Korea Utara itu telah menjual minuman keras dan barangan mewah semasa lawatannya ke Pyongyang.

Bulan lalu, Jagjit dan peguam Akberdin Abdul Kader meminta mahkamah membebaskan Mun dengan jaminan kerana beliau tidak sihat manakala isterinya menghidap kanser dan mereka juga mempunyai dua orang anak.

Bagaimanapun, Majistret Noorasyikin Sahat menolak permohonan itu dengan alasan ahli perniagaan Korea Utara tersebut mungkin melarikan diri.

Mun memakai baju biru gelap dan kelabu semasa prosiding pada Jumaat, yang berlangsung kira-kira 10 minit. Beliau tidak bercakap sepatah pun dan dibawa oleh pengiring keselamatannya melalui koridor bangunan yang dikhaskan untuk hakim dan defendan berprofil tinggi.

Lihat Laman Penuh