Follow us

Peguam: FBI Tidak Kongsi Dokumen Rakyat Korea Utara Hadapi Ekstradisi

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-05
E-mel
Komen
Share
Orang awam berjalan melepasi ibu pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Washington, 22 Mac, 2019.
Orang awam berjalan melepasi ibu pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Washington, 22 Mac, 2019.
[Reuters]

Pihak peguam bela masih menunggu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk berkongsi dokumen mengenai kes seorang lelaki Korea Utara yang tinggal di Malaysia dan berkemungkinan diekstradisi ke Amerika Syarikat kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram, seorang peguam memberitahu mahkamah di Kuala Lumpur.

Dalam prosiding pada Khamis, peguam bela Jagjit Singh berkata anak guamnya yang juga ahli perniagaan, Mun Chol Myong, 54, telah ditangkap pada 13 Mei dan ditahan selama 51 hari.

Amerika Syarikat memohon supaya Mun, yang telah tinggal di Malaysia sejak sedekad lalu dan terlibat dalam urusan perniagaan di China, diekstradisi atas dakwaan dia melanggar sekatan yang dikenakan oleh Washington terhadap Pyongyang, kata pegawai dan sumber Malaysia.

"Apakah kita dipermainkan oleh orang Amerika? Badan kehakiman kita adalah sebuah institusi yang menjadi kebanggaan, kita tidak harus dipermainkan," hujah Jagjit kepada mahkamah, dan mendakwa anak guamnya kehilangan berat badan sebanyak 10 kilogram (22 paun) semasa dalam tahanan.

Menurutnya beliau telah menghantar surat kepada peguam negara dan jabatan kehakiman Malaysia namun, belum menerima apa-apa jawapan.

"Adakah ini 'Malaysia Baru'?" kata Jagjit sambil memberitahu FBI tidak sepatutnya menangguhkan sekian lama untuk menyerahkan dokumen mengenai pertuduhan terhadap Mun.

Jurucakap Jabatan Keadilan AS, yang memantau biro itu, pada Jumaat enggan memberi sebarang reaksi kepada soalan BeritaBenar melalui e-mel.

Pertuduhan terhadap Mun adalah berkaitan dengan pengubahan wang haram yang melanggar sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang bertujuan untuk menghalang dana Korea Utara daripada dapat disalurkan kepada program tenaga nuklear dan program senjata nuklear Pyongyang, kata sumber perisikan Malaysia kepada BeritaBenar bulan lepas.

Mun dan keluarganya tinggal di sebuah pangsapuri di pinggir bandar Kuala Lumpur semasa dia menjalankan perniagaan di China, kata sumber itu, sambil memberitahu bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak pasti jenis urusan perniagaannya semasa dia sering berulang alik ke Beijing.

Mun, yang menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat, berniaga minuman keras dan barangan mewah dengan Korea Utara, lapor Agence France-Presse pada Khamis.

AFP memetik pendakwa raya Faizul Aswad Masri sebagai berkata bahawa kesalahan itu didakwa berlaku antara 2014 dan 2017 dan melibatkan "barangan terkawal yang tidak boleh dieksport ke Korea Utara." Faizul tidak mengulas lanjut.

Bulan lalu, Jagjit dan peguam bela Akberdin Abdul Kader meminta mahkamah membenarkan Mun dibebaskan dengan ikat jamin memandangkan keadaan dirinya yang tidak sihat manakala isterinya menghidapi kanser selain mereka juga mempunyai dua anak.

Tetapi, Majistret Noorasyikin Sahat menolak petisyen itu dengan menyatakan bahawa ahli perniagaan Korea Utara itu berkemungkinan besar melarikan diri.

Pada Khamis, Jagjit berhujah lagi bahawa Mun harus diberi kebebasan sementara dan menekankan bahawa pertuduhan terhadap anak guamnya tidak berkaitan dengan keganasan.

Beliau juga mengemukakan apa yang dikatakannya sebagai surat daripada Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, yang menjamin kehadiran Mun di mahkamah jika dia dituduh di Malaysia.

"Mahkamah perlu tahu bahawa suspek tidak pernah ke Amerika, dan tidak mempunyai urusan pun dengan Amerika," katanya. "Semua pertuduhan itu adalah di luar negara."

Akberdin pula menekankan bahawa Mun tidak mungkin melarikan diri kerana anak lelakinya bersekolah di Malaysia.

Beliau juga memberitahu bahawa sekiranya Mun ada melakukan jenayah, dia sepatutnya dibicarakan di Malaysia dan bukannya di Amerika Syarikat.

Namun, majistret tetap menolak permohonan itu dan menetapkan prosiding seterusnya pada 12 Julai.

"Perkara yang sama telah diputuskan sebelum ini," kata Noorasyikin. "Isu ikat jaminan ini sudah pun selesai."

Lihat Laman Penuh