Follow us

Malaysia Lantik Anggota Parlimen Wanita Pertama Sebagai Pengerusi PAC Baharu

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-04-11
E-mel
Komen
Share
Pengerusi Anggota Parlimen Wanita Negara Komanwel (CWP) Ke-62 Noraini Ahmad [bertudung coklat], yang juga Anggota Parlimen Parit Sulong sedang berbual dengan beberapa lagi anggota Parlimen Malaysia dan Komanwel semasa sambutan Hari Komanwel di perkarangan Bagunan Parlimen Malaysia, di Kuala Lumpur, 4 April 2019.
Pengerusi Anggota Parlimen Wanita Negara Komanwel (CWP) Ke-62 Noraini Ahmad [bertudung coklat], yang juga Anggota Parlimen Parit Sulong sedang berbual dengan beberapa lagi anggota Parlimen Malaysia dan Komanwel semasa sambutan Hari Komanwel di perkarangan Bagunan Parlimen Malaysia, di Kuala Lumpur, 4 April 2019.
[Ihsan Noraini Ahmad]

Kemelut jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Negara [PAC] berakhir apabila Dewan Rakyat meluluskan pelantikan Ketua Wanita UMNO, Noraini Ahmad sebagai pengerusinya bagi sidang Parlimen Ke-14, sekaligus menyaksikan perlantikan dari kalangan pemimpin parti pembangkang seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan [PH].

Pemilihan Noraini yang juga Anggota Parlimen Parti Sulong, diluluskan sidang dewan tanpa sebarang pembahasan yang sekaligus merupakan Anggota Parlimen wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Perlantikan Noraini hadir selepas anggota jawatankuasa itu di kalangan pemimpin pembangkang meletakkan jawatan secara beramai-ramai sebagai tanda protes mereka apabila Perdana Menteri Mahathir Mohamad masih mahu mengekalkan pengerusi terdahulu Ronald Kiandee ke jawatan itu.

Kiandee, Anggota Parlimen Beluran telah dilantik sebagai Pengerusi PAC ketika menjadi anggota parlimen UMNO, pada Ogos tahun lepas tetapi pada 15 Mac lalu, beliau telah diterima menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia [Bersatu], parti komponen PH.

"Bahawa Datuk Dr Noraini Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong dipilih menggantikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beluran sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi Parlimen Ke-14,” usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, dan disokong oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah semasa sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Noraini juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang dilantik sebagai Pengerusi Anggota Parlimen Wanita Negara Komanwel (CWP) ke-62 bagi tempoh 3 tahun selepas sesi pengundian di London, United Kingdom pada Disember 2016. Beliau mengantikan Speaker Parlimen Uganda, Rebecca Kadaga.

PAC adalah sebuah jawatankuasa parlimen yang dibentuk untuk memeriksa laporan dari Ketua Audit Negara (A-G) dan meneliti kewangan dan wang kerajaan yang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.

Teruskan prosiding

“Pelantikan sebagai Pengerusi PAC adalah satu tanggungjawab serta amanah yang amat berat memandangkan fungsi Jawatankuasa Tetap ini begitu besar dalam memastikan perbelanjaan kerajaan dilakukan secara berhemah mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan,” kata Noraini kepada BeritaBenar semasa dihubungi dari Washington.

Beliau turut berjanji untuk meneruskan prosiding semasa di bawah bekas pengerusi terdahulu, yang sedang berlangsung di sidang dewan berkenaan.

“Pada 23 April ini, PAC akan meneruskan prosiding siasatan jualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] bersetuju untuk tampil memberi keterangan” katanya semasa diminta mengulas mengenai prosiding seterusnya oleh jawatankuasa tersebut.

“Saya juga mengharapkan kerjasama penuh daripada 13 ahli PAC bagi memastikan jawatankuasa ini terus dapat menjalankan tanggungjawab seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat 77 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” tambah wanita berusia 51 tahun itu.

Sebelum pelantikan Noraini ke jawatan itu, kepimpinan PH menerima kritikan keras daripada orang awam dan juga anggota parlimen, termasuk dalam pakatan itu sendiri, ekoran keengganan Mahathir untuk menukar pengerusi PAC selepas Kiandee bertukar parti.

Protes terhadap tindakan itu menyaksikan Anggota Parlimen Permatang Pauh dari Parti Keadilan Rakyat [PKR], Nurul Izzah Anwar, yang juga anak kepada pemimpin utama PH Anwar Ibrahim, mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai anggota PAC pada 22 Mac lepas.

Beberapa Anggota Parlimen pembangkang lain dari PAC termasuk Noraini turut mengumumkan perletakan jawatan mereka sehingga tindakan itu dilihat boleh menjejaskan kredibiliti jawatankuasa berkenaan kerana tidak mempunyai keanggotaan yang seimbang, walaupun secara teknikalnya masih berfungsi.

PH dalam Janji Ke-16 manifestonya semasa Pilihan Raya Umum tahun lalu menyatakan bahawa untuk mengembalikan kewibawaan institusi parlimen, jawatan pengerusi PAC perlu dikhaskan kepada anggota parlimen dari pembangkang.

Walaubagaimanapun, Nurul Izzah menyatakan persetujuannya untuk menyertai semula PAC sejurus selepas Mahathir mengumumkan perlantikan Noraini menerajui jawatankuasa itu pada 4 April lepas.

PAC mempunyai 13 anggota terdiri daripada anggota parlimen Pakatan Harapan, BN dan PAS, tidak termasuk pengerusi dan naib pengerusinya.

 

Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh