Follow us

Malaysia Lantik Pakar Bioterrorism Wanita Sebagai Ketua Unit Anti-Keganasan Baharu

Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-02-14
E-mel
Komen
Share
Normah Ishak, wanita pertama yang diberi kepercayaan oleh Polis DiRaja Malaysia untuk menerajui Unit Anti-Keganasan Malaysia, semasa satu majlis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, Malaysia, Mei 2017.
Normah Ishak, wanita pertama yang diberi kepercayaan oleh Polis DiRaja Malaysia untuk menerajui Unit Anti-Keganasan Malaysia, semasa satu majlis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, Malaysia, Mei 2017.
(Ihsan Polis Diraja Malaysia)

Pakar bioterrorism adalah wanita pertama Malaysia yang dilantik mengetuai Unit Anti-Keganasan PDRM untuk menerajui agensi penguatkuasan anti-keganasan bagi negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, dengan bertanggungjawab memerangi ancaman militan Negara Islam, Al-Qaeda serta kumpulan pengganas lain.

Perlantikan itu disahkan oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Jumaat yang turut menyifatkan Normah Ishak sebagai seorang yang “sangat berkelayakan, berpengalaman, seorang yang profesional, punya integriti yang tinggi dan juga komander yang cemerlang.”

Abdul Hamid memberitahu BeritaBenar bahawa Normah yang merupakan seorang pakar bioterrorism telah mewakili Cawangan Khas dalam banyak persidangan antarabangsa.

“Saya tidak meragui kemampuan beliau. Beliau telah mewakili SB dalam banyak mesyuarat berprofil tinggi, konvensyen, symposium dan merupakan seorang pegawai yang berani dan saya yakin beliau akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin. Lagipun dalam divisyen itu ada ramai anggota dan pegawai yang sangat berpengalaman dan punya azam yang tinggi,” tambah Abdul Hamid lagi.

Menurut sumber dalaman, proses penyerahan tugas antara penyandang jawatan berkenaan Ayob Khan Mydin Pitchay dan Normah telah dibuat pada kira-kira jam 11 pagi Jumaat, dengan perlantikan tersebut berkuasa serta merta.

Abdul Hamid berkata, antara tugasan pertama Normah ialah mengendalikan kepulangan 56 warga Malaysia yang terkandas di Syria.

“Itu adalah tugasan beliau yang pertama,” kata Abdul Hamid tanpa mengulas lanjut.

Bulan lepas Ayob memberitahu media di Pahang bahawa seramai 56 warga Malaysia itu adalah 19 lelaki, 12 wanita, 17 kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan yang tinggal di kem Syria dan masih bebas.

Sejak 2014, seramai 120 rakyat Malaysia telah berhijrah ke Syria untuk menyertai militan Negara Islam.

Normah yang menyertai pasukan polis pada 1991 dilantik sebagai timbalan ketua unit anti-keganasan pada 2016, tahun yang sama serangan pertama IS yang didalangi oleh Muhammad Wanndy Mohamed Jedi dan mencederakan lapan orang pengunjung pub di luar Kuala Lumpur.

Serangan berkenaan dilakukan oleh beberapa individu yang menerima arahan daripada Wanny untuk melemparkan bom tangan ke arah premis berkenaan. Mereka yang menerima arahan tersebut kemudiannya berjaya ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Semasa menjalankan tugas sebagai timbalan, beliau turut membantu Ayob dalam melumpuhkan serangan berskala besar yang mensasarkan beberapa negara luar oleh Al-Qaeda dengan tertangkapnya beberapa warga asing termasuk lima warganegara Mesir yang merupakan ahli Muslim Brotherhood pada Februari lepas.

Menurut sumber di Bukit Aman, Normah adalah calon yang paling sesuai untuk mengambil alih jawatan kosong yang ditinggalkan Ayob.

“Beliau wanita.. tetapi gender tidak mempunyai kaitan dengan bagaimana seseorang itu menjalankan tugas. Beliau mampu menjalankan tugas sebagai ketua unit anti-keganasan. Beliau sangat tegas dan juga sangat merendah diri,” kata sumber.

Menurut sumber itu lagi, pegawai di unit tersebut tidak mempunyai masalah mempunyai seorang ketua wanita.

Sebelum dilantik sebagai timbalan kepada Ayob, Normah berkhidmat dalam unit yang sama sebagai pengendali operasi dan koordinasi.


Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Komen (1)
Share

Mangsa

daripada Manjung perak

Tidak keadilan dlm kes mangsa ,salah seorg polis dikawasan aywr tawar menerima rasuah serta membuat tuduhan palsu terhadap mangsa ,ini kerana nak menutup kesalahan anaknya yg mengintai di bilik aur mangsa sampai skg dia org tak henti buat perkara tersebut seringvkali buat aduan mangsa pula yg salahkan sehingga remen tanpa sebab masuk lokap tidak ada kertas siasatan tidak dicaj sebab mangsa tak salah mereka tak benarkan saya buat aduan tentang oerkara tersebut terus gari bawa pergi lokap manjuag,kalau kes kena siasat dua belah kan tetapi dgn kes saya pula tidak begitu cuma mereka ikut apa org cakap semata mata duit walaupun pegawawi tersebut tahu saya tak salah ,bulan depa n kes dibawa mahkamah manjung 16/6/2020 sengaja buat saya malu mencemarkan maruah diri saya setta menyebabkan buang kerja dan byk lagi ,mangsa minta byk 2 puan boleh menegakkan buat saya di kawasan saya kebykkan polis menerima rasuah tidak adil langsung minta puan boleh tolong saya ia adalah menetukan masa depan saya sebab saya seorg sukarela yg sedangbtolong org terbiar dan anak yatim

May 27, 2020 07:52 PM

Lihat Laman Penuh