Ahli Perniagaan Korea Utara Di Malaysia Berdepan Ekstradisi ke Amerika Syarikat

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
2019.06.25
Kuala Lumpur, Malaysia
190625-MY-NK-us-620.jpg Anggota keselamatan Malaysia meronda melepasi Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, 22 Mac, 2017.
(AP)

Lelaki rakyat Korea Utara, yang tinggal sedekad lamanya di Malaysia dan terlibat dalam urusan perniagaan dengan China, telah ditangkap dan berkemungkinan diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan barangan mewah, kata pegawai serta sumber.

Mun Chol Myong, 54, ditahan pihak berkuasa Malaysia sejak 14 Mei dan gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan ikat jamin selepas ditolak oleh majistret tempatan pada Isnin, menurut laporan media. .

Permohonan kerajaan untuk mengekstradisi lelaki itu ke Amerika Syarikat hanya akan didengar oleh mahkamah pada 4 Julai.

Mun ditangkap di bawah Akta Ekstradisi dan perjanjian bantuan undang-undang bersama antara Malaysia dan Amerika Syarikat, kata sumber perisikan Malaysia.

"FBI telah membuat permintaan kepada Peguam Negara supaya pihak kami menahan sementara lelaki itu," kata sumber tersebut kepada BeritaBenar. "Warga Korea Utara itu mempunyai hak untuk mencabar ekstradisinya di mahkamah tetapi kebiasaannya, hakim akan menyebelahi pemerintah negara yang membuat permintaan ekstradisi itu."

Di Washington pada Selasa, Biro Penyiasatan Persekutuan dan Jabatan Kehakiman AS, yang mengawasi biro tersebut, enggan mengulas lanjut menerusi jurucakap yang sama selepas diminta oleh BeritaBenar untuk mengesahkan sama ada AS cuba mengekstradisi Mun.

Dalam pada itu, sumber dalam perisikan Malaysia memberitahu bahawa pertuduhan terhadap lelaki itu adalah berkaitan dengan pengubahan wang haram dan pelanggaran sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] terhadap Korea Utara. Sekatan itu bertujuan untuk menafikan sumber-sumber Pyongyang yang boleh disalurkan ke dalam program tenaga nuklear dan senjata nuklearnya.

Mun dan keluarganya tinggal di sebuah pangsapuri di pinggir bandar di barat daya Kuala Lumpur dengan beliau sering berurusan di China, kata sumber itu.

"Isterinya adalah peserta MM2H dan juga pesakit kanser. Orang yang dicari (Mun) selalu terbang masuk dan keluar dari negara ini kerana dia mempunyai perniagaan di China. Kami tidak tahu apa jenis perniagaannya di sana," kata sumber itu, merujuk kepada program Malaysia Rumah Kedua. Ia membolehkan orang asing yang memenuhi kriteria tertentu untuk tinggal di Malaysia bersama-sama pasangan, anak yang belum berkahwin dan berusia di bawah 21 tahun dan serta ibu bapa yang berusia lebih daripada 60 tahun.

Peguambela Mun, Jagjit Singh, berkata beliau menjangka anak guamnya itu akan diekstradisi untuk menghadapi pertuduhan di AS.

"Sudah tentu," kata peguam itu kepada BeritaBenar.

Jagjit berkata beliau tidak melihat dokumen pertuduhan itu dan tidak tahu butiran pertuduhan yang difailkan terhadap Mun selain daripada ia berkaitan dengan pengubahan wang haram.

"Maklumat ini baru diterima oleh Kementerian Dalam Negeri dan belum dihantar ke Pejabat Peguam Negara dan oleh itu, ia tidak diserahkan kepada firma saya sebagai peguam untuk Kedutaan Besar Korea Utara," katanya.

Menurut agensi berita nasional Malaysia, Bernama, selepas ditangkap, Mun ditahan reman selama 60 hari yang akan berakhir pada 14 Julai depan.

Semasa di mahkamah pada Isnin, Jagjit dan seorang lagi peguam bela Akberdin Abdul Kader meminta majistret untuk membenarkan Mun dibebaskan dengan jaminan, dengan alasan bahawa beliau berada dalam keadaan tidak sihat, isterinya pula menghidapi kanser serta mereka mempunyai dua anak.

Tetapi, Timbalan Pendakwaraya Faizul Aswad Masri dan Lim Ju Vynn meminta majistret supaya menolak permohonan ikat jamin Mun sambil menyatakan beliau boleh menerima rawatan perubatan semasa berada di penjara. Faizul juga berkata mahkamah perlu menimbangkan ciri-ciri transnasional kes itu.

“Ia kerana kes ini mempunyai kaitan dengan urusan antarabangsa, tidak seperti mahkamah jenayah biasa, yang memberi responden hak untuk diikat jamin,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

"Amerika Syarikat mempunyai hubungan diplomatik yang tidak stabil dengan Korea Utara dan, oleh kerana itu, berkemungkinan ada sebab beliau menjadi risiko," kata Majistret Noorasyikin Sahat, menurut penerbitan tempatan, The Edge.

Bulan lalu, kerajaan Malaysia menyerahkan bekas pegawai kanan Goldman Sachs, Roger Ng, kepada Amerika Syarikat di mana beliau akan dibicarakan bagi pertuduhan yang berpunca daripada skandal rasuah melibatkan berbilion-bilion dolar yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana negara Malaysia.

Ng, yang menghadapi pertuduhan di Malaysia dan AS, telah diserahkan untuk membolehkan pendakwaan AS diteruskan sebelum beliau dihantar pulang dan dibicarakan di mahkamah Malaysia. Pada 6 Mei, Ng mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan AS dan lelaki itu dibenarkan ikat jamin sebanyak AS$1 juta.

Beliau diletakkan di bawah tahanan rumah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.