Singapura mohon maaf isu pelawak persenda tragedi MH370
2023.06.08
Kuala Lumpur
Tindakan seorang pelawak komediri kelahiran Singapura yang mempersendakan tragedi kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia - MH370 telah mengundang kecaman dari menteri luar Malaysia dan Singapura.
‘Jenaka’ Jocelyn Chia turut menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia serta ahli keluarga mangsa penerbangan malang MH370 yang menyelar tindakan tidak sensitif wanita itu terhadap ibu-ibu yang masih menangisi kehilangan anak-anak mereka.
Susulan kemarahan yang ditimbulkan akibat komen Chia, Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan memohon maaf kepada rakyat Malaysia sambil menegaskan wanita itu tidak mewakili pandangan keseluruhan rakyat Singapura.
“Kami menyanjung tinggi hubungan bersama keluarga serta rakan di Malaysia dan memohon maaf atas perbuatan yang menyinggung dan menyakiti rakyat Malaysia,” ciapnya dalam satu balasan kepada hantaran di laman Twitter berkaitan isu itu.
Sebelum itu, Menteri Luar Malaysia Zambry Abd Kadir menzahirkan rasa kesal terhadap perilaku yang disifatkannya sebagai sangat bertentangan dengan nilai ketimuran Asia yang terkenal dengan adab dan tatasusila.
Zambry dalam satu kenyataan menegaskan tindakan dan cubaan seumpanya haruslah dihentikan bagi memelihara rasa hormat pada negara lain.
“…melalui rakaman videonya yang secara jelas memperlekeh negara Malaysia dan mempersenda tragedi yang pernah melanda negara.
“Tindakan ini langsung tidak menunjukkan rasa sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia dan juga keluarga mangsa.
“Saya percaya ini bukanlah pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara apatah lagi menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan,” katanya.
Di sebalik permohonan maaf oleh Singapura, isu tersebut turut dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
RSN Rayer, Ahli Parlimen Jelutong dari Pakatan Harapan menyeru semua penggubal undang-undang mengetepikan perbezaan politik dalam mengutuk tindakan Chia.
"Kita lihat satu video yang tular, membabitkan seorang pelawak Jocelyn Chia memperlekehkan negara kita dan membuat sindiran dan lawak jenaka yang mengguris hati serta menyinggung perasaan, terutama berkenaan negara kita dan kehilangan pesawat MH370.
"Saya berharap Ahli Parlimen di sebelah sana juga akan bangun bersama-sama, menggunakan kesempatan Parlimen bersidang untuk mengutuk tindakan Jocelyn Chia dan meminta beliau tidak mengulangi kenyataan berkenaan.
Gesaan Rayer itu hadir selepas beberapa pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan mendesak supaya tindakan keras diambil terhadap Chia.
Persenda MH370, hina Malaysia
Chia telah mempersendakan Malaysia ketika mengadakan persembahan komediri bertajuk 'Singapore vs Malaysia' yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Dalam satu klip video berdurasi 89 saat yang dimuatnaik di laman sosial TikTok, Chia membuat beberapa jenaka keterlaluan terhadap Malaysia.
Chia turut mempersendakan tragedi kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang “tidak mendarat” dengan memek muka mengejek.
“Penerbangan Malaysia hilang tidak kelakarkah? Setengah jenaka ‘tidak mendarat’,” ujarnya dalam bahasa Inggeris merujuk kepada pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Seorang penonton yang memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia berkata Chia pasti akan mendapat penilaian buruk dari rakyat Malaysia atas persembahannya.
“Saya akan dapat penilaian buruk dari rakyat Malaysia? Tidak mengapa, mereka tidak mempunyai akses internet,” balas Chia sambil tertawa.
Beliau kemudian mempersendakan Malaysia sebagai negara membangun dan membuat perbandingan dengan Singapura yang telah berjaya mencapai status negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.
Dalam pada itu, rakyat Singapura turut menyelar tindakan Jocelyn dengan menyifatkannya sebagai “ucapan berbaur kebencian’.
"Saya warga Singapura, saya sudah membuat laporan polis mengenai ucapan yang berbaur kebencian ini. Cuba dengan lebih baik pada lain masa," tulis seorang pengguna media sosial dari Singapura di akaun Instagram milik Chia pada Khamis.
Susulan pelbagai aduan dan kecaman yang ke atasnya, Jocelyn bertindak menutup ruangan komen di akaun media sosialnya.
Semakan BenarNews ke atas kedua-dua akaun Instagram dan Twitter milik Jocelyn menunjukkan ia telah digantung sejak lewat Khamis.
Tempelak pelawak
Intan Maizura Othaman, isteri kepada pramugara pesawat MH370 Mohd Hazrin Mohamed Hasnan menempelak Chia dengan menyifatkan wanita itu sebagai “tidak mempunyai empati atau hati”.
“Ianya sungguh tidak kelakar. Tidak kira betapa jahatnya anda, anda tidak sepatutnya mempersendakan MH370. Anak saya, Muhammad, masih menangis sehingga hari ini mengenangkan ayahnya yang hilang.
“Dan di sini, anda tergamak mempersendakan MH370. Tahukah anda berapa ramai ibu yang masih menangis hingga hari ini. Tidak, anda tidak tahu, Sebab anda tidak mempunyai empati atau hati,” ujar Intan dalam klip video yang dimuat naik di akaun Instagramnya.
Ketika kejadian, anak sulung Intan, Iman berusia 5 tahun manakala Muhammad masih dalam kandungan.
Intan turut mengecam tindakan Chia yang disifatkan menggunakan kebodohannya hanya untuk mendapatkan pujian ramai dan dalam masa yang sama menggesa supaya perbuatan menormalisasikan perbuatan sedemikian perlu dihentikan.
Sementara itu, Harith Iskander, seorang pelawak komediri popular Malaysia yang memegang status 'Malaysia God Father of Stand Up Comedy' menekankan kepentingan mengambil kira elemen sensitif dan empati terutama sekali apabila melibatkan topik yang bersifat peribadi atau tragik.
Tegasnya pelawak harus peka dengan impak setiap pekataan yang dituturkan kerana komedi boleh menjadi alat yang sangat berkuasa untuk komentari sosial, justeru ia perlu digunakan dengan bertanggungjawab.
“Kehilangan pesawat (MH370) telah dan masih menjadi insiden yang menyebabkan trauma pada rakyat Malaysia.
“Sebagai pelawak, saya menghormati kebebasan berekspresi yang kami perlukan dalam menjalankan tugas kami, tetapi ianya amat penting untuk memastikan sensitiviti dan empati diterapkan ketika berhadapan dengan sesetengah bahan komedi terutama sekali topik yang terlalu peribadi dan berunsur tragik,” ujarnya dalam klip video yang dimuat turun di akaun Twitter peribadinya pada Rabu.
Sementara itu, bekas penyampai radio Malaysia Kudsia Kahar yang mengakui sebagai peminat komediri terutama dari Singapura, turut mengkritik Chia di ciapan Twitternya.
“Saya tidak peduli tentang pelawak Singapura ini mengatakan FU Malaysia kerana adakalanya kita (Pelawak Malaysia) turut menjadikan mereka bahan jenaka di atas pentas.
“Namun, saya tetap meletakkan batasan dalam menjadikan MH370 sebagai jenaka. Tak boleh diterima. Pelawak komedi berdiri yang bagus tidak akan sesekali menukarkan tragedi dan kematian kepada bahan lawak,” tegasnya.