Follow us

1MDB: Perbicaraan Ketiga Kes Najib Bermula, Arul Kanda Akan Dipanggil Sebagai Saksi

Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-11-18
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Najib Razak berjalan keluar dari ruang mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Malaysia. 18 Nov, 2019.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak berjalan keluar dari ruang mahkamah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Malaysia. 18 Nov, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, yang dituduh bersubahat dengan Najib Razak dalam kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB akan dipanggil sebagai saksi, demikian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan oleh pasukan Pendakwaan pada Isnin.  

Semasa membacakan kenyataan pembukaan bagi memulakan perbicaraan hari pertama terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa mengubah laporan audit syarikat dana negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram, memberitahu Hakim Zaini Mazlan bahawa mereka akan memanggil Arul sebagai saksi untuk memberikan bukti melawan Najib.

"Saya terikat dengan tanggungjawab untuk memaklumkan mahkamah bahawa pada satu tahap yang sesuai kelak, Pendakwa Raya akan membuat satu permohonan bertulis di bawah Seksyen 63 Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk memanggil tertuduh Arul Kanda bagi mengemukakan bukti bagi pihak pendakwaan," kata Sri Ram.

Di bawah Seksyen 63 Akta SPRM, apabila dua atau lebih orang didakwa bagi satu kesalahan di bawah Akta berkenaan, mahkamah boleh bertindak di atas permohonan bertulis Pendakwa Raya yang mengkehendaki salah seorang dari mereka atau lebih untuk memberikan keterangan bagi pihak pendakwaan.

Undang-undang berkenaan juga memperuntukkan bahawa tertuduh yang dijadikan saksi pendakwaan berhak mendapatkan perakuan tanggung rugi dari mahkamah yang menghalang segala bentuk tindakan perundangan terhadap dirinya bagi keterangan yang dibuat itu.

Susulan pengumuman oleh Sri Ram, peguambela untuk Arul, N. Sivananthan telah bangun dan menyatakan rasa terkejut beliau dengan rancangan pihak pendakwaan untuk memanggil anak guamnya sebagai saksi.

"Ucapan pembukaan ini adalah satu kejutan buat saya... yang anak guam saya akan dipanggil sebagai saksi," katanya.

Peguam Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib turut melahirkan rasa terkejut. Beliau yang turut berdiri di mahkamah selepas selesai ucapan pembukaan oleh Sri Ram, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan mencabar kesahihan peruntukan tersebut dari segi perundangan dan perlembagaan.

"Saya menyimpan hak saya di dalam isu ini (untuk menentang), dan penggunaan Seksyen 63 sebagai tidak berperlembagaan," katanya tanpa mengulas lanjut.

Shafee dan firma guamannya turut mewakili Najib dalam dua lagi perbicaraan berkaitan 1MDB, iaitu satu kes yang melibatkan tujuh pertuduhan berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, dan 25 lagi pertuduhan dalam kes 1MDB sendiri.

Tidak menurut kehendak perlembagaan

Sementara itu, ketika mengulas rancangan pihak pendakwaan untuk menggunakan Seksyen 63 Akta SPRM, peguam terkenal yang pernah mewakili Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Haniff Khatri memberitahu BeritaBenar bahawa pada pendapatnya peruntukan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak menurut perlembagaan dan bersetuju dengan hujah Shafee.

"Di bawah undang-undang, seseorang yang dituduh dijamin haknya untuk berdiam diri, untuk tidak berkata apa-apa yang boleh mensabitkan mereka. Seksyen 63 Akta SPRM adalah bertentangan dengan ini, dan saya berpendapat ianya adalah tidak mengikut perlembagaan," kata Haniff.

Di bawah seksyen yang sama, mana-mana tertuduh yang dipanggil untuk memberikan keterangan terhadap rakan mereka yang turut sama dituduh, tetapi enggan berbuat demikian atau enggan menjawab soalan yang menurut undang-undang, mereka boleh dianggap sebagai tidak menghormati mahkamah, yang merupakan satu kesalahan jenayah.

Haniff turut mengesahkan bahawa perkara berkenaan tidak pernah didengari di Mahkamah di Malaysia sebelum ini, tetapi menggesa semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan perkara tersebut kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

"Ada banyak perkara boleh berlaku. Samada keterangan Arul mencukupi untuk mensabitkan Najib atau tidak, atau adakah ianya mencukupi untuk pihak pendakwaan menggugurkan pertuduhan terhadap Arul, semua itu adalah di bawah kuasa pendakwaraya.

"Kita jangan masuk campur," tambahnya.

Kedua-dua Najib dan Arul didakwa di mahkamah pada 11 Disember 2018 di atas tuduhan mengubah laporan Ketua Audit Negara berkenaan firma pelaburan yang bermasalah itu.

Mereka berdepan hukuman maksima 20 tahun penjara sekiranya disabitkan dengan kesalahan berkenaan.

Pihak pendakwaan turut menyatakan bahawa mereka menyasarkan untuk membuktikan di mahkamah bahawa bekas perdana menteri itu telah memadamkan sesetengah benda dari rekod rasmi dengan tujuan untuk mengelakkan dari perkara sebenar didedahkan.

"Najib tahu, atau ianya sudah pastinya berada di dalam pertimbangannya, bahawa jika kebenaran terdedah beliau akan berdepan dengan tindakan sivil atau jenayah di atas sebab-sebab yang telah disebutkan tadi.

"Ini adalah objektif secara fakta yang pihak pendakwaan akan buktikan melalui perbuatan dan pemadaman oleh tertuduh dalam kes ini," kata Sri Ram.

Terdahulu itu, Mahkamah berkenaan menolak permohonan penangguhan perbicaraan kes ketiga melibatkan bekas perdana menteri itu.

Sementara perbicaraan pengubahan laporan audit 1MDB itu bermula, satu lagi perbicaraan di bilik mahkamah lain menyaksikan pihak pendakwaan berjanji bahawa mereka akan membuktikan bahawa bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi, tidak pernah membelanjakan walau satu sen dari RM31 juta (AS$7.45 juta) dari Yayasan Akalbudi untuk kegunaan orang miskin.

"Sebaliknya, jejak wang menunjukkan bahawa sejumlahnya telah digunakan bagi membayar bil-bil kad kredit peribadi, dan untuk membayar polisi insurans serta cukai jalan bagi kenderaan-kenderaan yang dimiliki secara peribadi," kata timbalan pendakwaraya Raja Rozela Raja Toran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Dalam tiga pendengaran kes berasingan di antara Oktober 2018 dan Februari tahun ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Ahmad Zahid yang juga Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu [UMNO] telah mengaku tidak bersalah terhadap 47 dakwaan jenayah terhadapnya.

Ini termasuklah 12 dakwaan pecah amanah jenayah, lapan dakwaan rasuah dan 27 dakwaan penggubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit dari Yayasan tersebut.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menghadapi 40 pertuduhan lain, di mana beliau didakwa menerima rasuah dari sebuah syarikat melalui sistem visa antarabangsa, membuatkan jumlah keseluruhan pertuduhan yang dihadapinya 87.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri sehingga partinya kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Lihat Laman Penuh