Malaysia Siasat Cubaan Menutup Kes Penemuan Kubur Besar Di Wang Kelian, kata Menteri

Hata Wahari & Fairuz Mazlan
2017.12.21
Kuala Lumpur & Alor Setar
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
rohingya620.jpg Anggota-anggota Polis Malaysia mengusung keranda mengandungi mayat Rohingya yang ditemui di kem pemerdagangan manusia, 22 Jun, 2015.
[AP]

Malaysia akan menyiasat dakwaan bahawa polis cuba menutup tentang penemuan sejumlah kubur besar mengandungi mayat-mayat  Muslim Rohingya yang merupakan migran Myanmar dan Bangladesh di kem-kem pemerdagangan manusia dalam hutan pada 2015, kata pegawai kanan kerajaan pada Khamis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamad memberitahu demikian kepada BeritaBenar selepas akhbar tempatan, New Straits Times (NST), menyiarkan satu laporan pendedahan yang mendakwa pihak berkuasa Malaysia mengetahui tentang kubur-kubur dan kem-kem dekat Wang Kelian, sebuah bandar berhampiran sempadan Thailand di utara negeri Perlis, beberapa bulan sebelum polis secara terbuka mendedahkan penemuan mengerikan itu.

"Kes Wang Kelian tidak pernah ditutup," kata Nur Jazlan kepada BeritaBenar. "Ia masih disiasat. Dan apa yang dilaporkan oleh New Straits Times pasti akan diambil kira. "

Semasa NST menerbitkan laporan pendedahan itu sehari sebelum itu, para wartawan bertanya kepada ketua beliau, Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, mengenai dakwaan mengejutkan itu.

"Sudah pasti, siasatan mengenai perkara ini mesti dijalankan. Saya mahu pihak berkuasa menyiasat dengan mendalam kes ini," kata Zahid kepada NST. " Fail ‘Wang Kelian’tidak akan ditutup."

Pada akhir Mei 2015, polis Malaysia mendedahkan bahawa mereka telah menemui 106 mayat dari 139 kubur di kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan berhampiran Wang Kelian. Awal bulan itu, para pegawai di Thailand mengumumkan bahawa kubur serupa yang mengandungi mayat Muslim Rohingya dan Bangladesh yang diseludup telah ditemui di kem tinggalan di hutan sempadan Thailand.

Tutup

Dalam laporannya, NST mendakwa ia mendapati berlakunya cubaan "menutup kes itu secara terancang" oleh pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang Malaysia berdekatan sempadan itu, dengan menyatakan satu pasukan wartawan penyiasatannya telah mengumpul sejumlah dokumen rasmi, memeriksa pelbagai laporan dan mencari saksi-saksi sepanjang dua tahun lalu.

"Satu penemuan yang mengejutkan ialah pihak berkuasa, khususnya polis Perlis, mengetahui kewujudan kem-kem hutan itu di Wang Kelian pada awal Januari 2015, tetapi didakwa memilih untuk tidak melakukan apa-apa mengenainya sehinggalah setengah tahun kemudian," kata laporan itu.

Menurut akhbar itu, kira-kira 150 mayat ditemui di kem-kem hutan tersebut. Mangsa kebanyakannya adalah Muslim Rohingya dari negeri Rakhine Myanmar, kata akhbar itu.

Penemuan kubur-kubur dan kem-kem di kedua-dua belah sempadan itu membawa kepada krisis kemanusiaan di Asia Tenggara pada Mei 2015, selepas Thailand melancarkan serangan terhadap sindiket penyeludupan manusia dan menghalang bot-bot yang membawa migran haram daripada mendarat di pantai barat dayanya.

Akibatnya, kira-kira 3,000 rakyat Rohingya dan Bangladesh, yang ditinggalkan oleh pihak yang menguruskan mereka, tiba-tiba mendarat di negara jiran Malaysia dan Indonesia.

Pada Julai tahun ini, mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman dan menghukum bekas jeneral tiga bintang serta 61 defendan lain dalam kes pemerdagangan manusia terbesar di Thailand, yang didedahkan hasil penemuan kubur-kubur berhampiran sempadan Malaysia pada dua tahun lalu.

Laporan NST itu mendakwa bahawa anggota penguatkuasaan undang-undang Malaysia, selain mengetahui tentang kewujudan 'kem-kem itu', juga telah membersihkan "lokasi kejadian jenayah" dan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan berkenaan.

Akhbar itu mempersoalkan mengapa polis Malaysia menghantar beratus-ratus anggotanya, termasuk komando, ke kawasan bukit itu pada 11 Mei apabila mereka sendiri telah mengambil bukti fotografi dan memfailkan laporan pada 19 Jan dan 13 Mac 2015 tentang kewujudan kem tersebut.

Pasukan komando yang menyerbu kem-kem itu pada Januari 2015 "menemui enam sangkar yang padat dengan lelaki dan wanita sambil diawasi beberapa lelaki asing yang bersenjatakan senapang M-16," kata laporan itu.

Pada 12 Jun 2015, Ketua Polis Negeri Perlis Shafie Ismail memberitahu wartawan bahawa tidak ada unsur jenayah dan berkata bahawa mangsa mati akibat kelaparan selepas bedah siasat dilakukan terhadap mayat-mayat itu. Kes-kes tersebut diklasifikasikan sebagai "kematian secara mengejut."

NST menyiarkan laporan pendedahannya dengan mendakwa bahawa "pembunuhan beramai-ramai" telah berlaku di "kem-kem kematian" di hutan Wang Kelian, tetapi laporan itu tetapi tidak menyatakan bagaimana orang yang ditahan di sana mati dibunuh.

Rakyat asing didakwa

Setakat ini, Malaysia hanya mendakwa empat suspek berhubung kes Wang Kelian.

Pada Mac 2017, Ahmad Zahid memberitahu Parlimen bahawa empat warganegara asing telah dituduh berhubung dengan penemuan kubur-kubur itu. Beliau berkata, 12 pegawai polis telah ditangkap tetapi dibebaskan kemudian kerana kekurangan bukti.

Pada Khamis, BeritaBenar cuba menghubungi Ketua Polis Perlis dan Pasukan Penyiasatan Khas Wang Kelian bagi mendapatkan reaksi mereka tetapi tidak berjaya.

"Saya sedang bercuti sekarang. Jika ia mengenai Wang Kelian, sila rujuk kepada Bukit Aman kerana pasukan penyiasat khas adalah dari sana, " kata Azisman Alias, Ketua Polis Perlis, kepada BeritaBenar.

Panggilan telefon kepada Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan timbalannya juga tidak dijawab.

Bagaimanapun, dalam laporannya, NST berjaya menghubungi Khalid Abu Bakar, bekas ketua polis Malaysia, yang masih dalam perkhidmatan semasa kubur-kubur di Wang Kelian ditemui.

Akhbar itu dapat menjejaki ketua polis negara yang telah bersara itu di sebuah pusat boling tempatan, di mana wartawan bertanya banyak soalan kepadanya. Khalid bercakap tetapi dengan syarat perbualan itu "tidak direkodkan," lapor NST.

Bekas ketua polis negara itu kelihatan "bimbang" tetapi apabila akhirnya beliau bercakap, "suaranya jelas mengatasi tentang besarnya perkara yang akan beliau ceritakan kepada kami," lapor akhbar itu, sambil menyatakan bahawa ia terikat dengan etika kewartawanan "untuk tidak menerbitkan apa yang beliau beritahu kepada kami. "

'Tanpa rasa takut atau pilih kasih'

Sementara itu, pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata, beliau menghadapi kesukaran mendapatkan maklumat daripada agensi penguatkuasaan undang-undang, terutamanya polis, semasa panelnya memulakan siasatan mengenai tragedi itu di Wang Kelian.

"SUHAKAM juga telah meminta maklumat mengenai siasatan jenayah daripada Kementerian Dalam Negeri namun tidak mendapat balasan. Tiada maklumat mengenai perkembangan siasatan itu setakat ini yang diberikan kepada SUHAKAM, "kata Razali Ismail dalam satu kenyataan pada Khamis.

Lawyers for Liberty (LFL), sebuah kumpulan hak asasi manusia dan pembaharuan undang-undang, pula menggesa kerajaan Malaysia supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi "menyiasat secara serius tentang medan pembunuhan itu yang berlaku di laman negara kita sendiri."

"Untuk berbuat demikian, kerajaan mestilah menunjukkan kesungguhannya untuk bertindak dan memastikan mereka yang terlibat supaya bertanggungjawab, tanpa mengira kedudukan, status atau hubungan," kata Eric Paulsen, pengarah eksekutif kumpulan itu dalam satu kenyataan.

"Masyarakat sudah lama percaya bahawa operasi penyeludupan manusia yang besar dan berani sejak bertahun-tahun lamanya dengan disedari pihak berkuasa Malaysia, tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama dan bantuan langsung atau tidak langsung pihak berkuasa tempatan," kata beliau.

Tenaganita, satu lagi kumpulan hak asasi tempatan, menyuarakan rasa terkejutnya dengan apa yang dianggapnya sebagai "keterlibatan pihak berkuasa secara terang-terangan" dalam cubaan menutup kes itu seperti yang dilaporkan oleh NST.

"Pemerdagangan manusia oleh penjenayah adalah satu fenomena yang biasa di seluruh dunia, tetapi adalah amat menyakitkan hati apabila agensi penguatkuasa undang-undang didapati terlibat dalam kegiatan jenayah itu," kata Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene A. Das.

"Tindakan menutup kegiatan sindiket pemerdagangan manusia dan memusnahkan bukti penting perlulah dijelaskan; mereka yang terlibat dengannya harus ditahan, tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.