Follow us

Malaysia Bakal Guna Helikopter Sewaan Tampung Khidmat Nuri Yang Ditamatkan

Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-01-15
E-mel
Komen
Share
Helikopter Nuri dan helikopter EC725 milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) memberi aksi menarik semasa sambutan Hari Terbuka TUDM di Pangkalan Udara Kuching, Sarawak, 27 Okt 2018.
Helikopter Nuri dan helikopter EC725 milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) memberi aksi menarik semasa sambutan Hari Terbuka TUDM di Pangkalan Udara Kuching, Sarawak, 27 Okt 2018.
(Ihsan Tentera Udara DiRaja Malaysia)

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menggunakan helikopter sewaan untuk menampung keperluan operasi keselamatan negara bagi menggantikan 12 buah helikopter Nuri yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang berkata langkah itu bagaimanapun hanya akan berfungsi sebagai penyelesaian bersifat sementara, sebelum aset baru mengantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) diperolehi.

“ATM telah memberikan cadangan kepada kerajaan untuk menyewa dahulu helikopter kerana proses untuk mendapatkan pesawat gantian akan mengambil masa yang lama, dan akan wujud kelompongan kerana Nuri sudahpun ditarik daripada perkhidmatannya baru-baru ini,” kata Affendi kepada pemberita pada Rabu.

Katanya, Nuri terpaksa diberhentikan perkhidmatan setelah mengambil kira faktor ekonomi serta keselamatan dalam pengoperasian pesawat tersebut yang kini sudah berusia lebih 50 tahun.

"Kita telah membincangkan perkara ini dan mengambil keputusan bahawa kita memerlukan penggantian kepada pesawat Nuri sebagai pesawat angkut medium,” katanya.

Helikopter S-61A-4 Nuri keluaran syarikat Sikorsky dari Amerika Syarikat adalah antara kumpulan pesawat yang tertua dalam aset milik ATM.

Atas faktor usia dan keusangan pesawat Nuri, banyak kejadian kemalangan udara membabitkan helikopter itu telah berlaku termasuk beberapa insiden yang mengorbankan nyawa seperti di Sintok, Kedah pada 2010, Tawau, Sabah dan Butterworth, Pulau Pinang pada 2016.

Kejadian terbaru adalah pada Ogos lepas, yang menyaksikan sebuah helikopter Nuri milik TUDM terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan Kem Tentera Gubir di Kedah, kerana  dipercayai mengalami masalah mekanikal dan kipas rotor.

Affendi juga berkata faktor penting dalam pertimbangan untuk memilih pesawat sewaan sementara itu adalah dengan TUDM menggunakan dana yang telah dikhaskan untuk penyelenggaraan Nuri bagi tujuan itu.

"Kita akan menggunakan dana penyelenggaraan untuk pesawat Nuri bagi menampung kos sewaan, jadi ia adalah sesuatu yang munasabah. Wang yang sepatutnya digunakan untuk Nuri akan digunakan untuk membayar sewaan, dan harapnya dengan sewaan pesawat yang lebih muda dari Nuri akan membawa hasil yang lebih baik serta memastikan pulangan pelaburan (ROI) yang lebih tinggi," kata Panglima ATM itu.

Beliau dalam ucapan perintah ulung sebagai Panglima ATM, Affendi berkata sebagai sebuah negara yang susur galur kebenuaan maritimnya sudah tentu Malaysia tidak dapat lari dari isu-isu keselamatan di Selat Melaka, Laut China Selatan dan juga aktiviti di Pantai Timur Sabah.

“Demi menentukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat digalas dengan berkesan, amat penting bagi ATM mempunyai tahap kesiapsiagaan aset yang bersesuaian. Kita mesti mempunyai aset yang sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi agar keupayaan kita dapat dipamerkan setiap masa,” katanya.

Pada 7 Januari lalu, TUDM mengumumkan bahawa kesemua 12 pesawat Nuri yang masih dalam perkhidmatan dengan TUDM ditamatkan secara rasmi.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada Jumaat lepas berkata, Kementerian Pertahanan sedang dalam proses perbincangan untuk mengenal pasti aset baharu yang akan menggantikan helikopter Nuri milik TUDM yang ditamatkan operasi yang masih peringkat kementerian.

“Apabila selesai, cadangan aset baharu itu akan dibentang kepada Kabinet… Kementerian Pertahanan ada peruntukan dan bagi peringkat awal, mungkin (operasi libatkan helikopter) akan dibuat dalam bentuk sewaan," katanya semasa ditemuai pemberita seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia Bernama.

Sewa lapan helikopter

Sementara itu, Panglima TUDM, Jeneral Ackbal Abdul Samad yang turut berada pada sidang media sama dengan Affendi berkata, TUDM sedang mempertimbangkan untuk menyewa lapan buah helikopter angkut sederhana bagi menjalankan operasi untuk keperluan keselamatan negara di perairan Laut Cina Selatan serta di kawasan Timur Malaysia.

Katanya, TUDM berharap untuk menggunakan peruntukan sebanyak RM70 juta (AS$17.19 juta) yang diumumkan kerajaan bagi tujuan penyelenggaraan Nuri sebagai bayaran sewaan lapan buah helikopter tersebut.

"TUDM perlu mencari sehingga lapan buah helikopter utiliti berkapasiti medium bagi keperluan operasi di Laut Cina Selatan dan Timur Malaysia. Oleh itu, TUDM sedang melihat untuk menyewa pesawat-pesawat berkenaan sementara menunggu pemilihan helikopter baru (untuk dibeli), yang mana prosesnya boleh mengambil masa sehingga tiga tahun," kata Ackbal.

Antara model yang dikatakan mungkin disewa adalah Eurocopter EC725 baru, di mana 12 buah EC725 Caracals telahpun diperolehi Malaysia pada 2012, yang digunakan sebagai aset penambahbaikan dalam mengurangkan tugas Nuri daripada terlibat dalam operasi berkapasiti tinggi.

Dalam pada itu, Ramli Dollah, penganalisis keselamatan serantau di Universiti Malaysia Sabah memuji tindakan ATM yang disifatkannya sebagai menepati masa bagi Malaysia menukar pesawat baru dalam menyesuaikan dengan keperluan keselamatan yang semakin rumit.

"Ia masa yang tepat bagi kerajaan Malaysia menukar pesawat, sesuai dengan isu keselamatan yang semakin kompleks, sama ada keselamatan tradisional atau tidak, ianya  boleh menampung keperluan misi kemanusiaan dan operasi mencari dan menyelamat.

"Oleh itu helikopter baru sepatutnya bukan sahaja berkemampuan untuk melaksanakan tugas mengangkut sahaja tetapi juga mestilah mempunyai kebolehan untuk membuat tindakan militer dan non-militer,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Rabu.


Lihat Laman Penuh