Nurul Izzah Letak Jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat

Staf BeritaBenar
2018.12.17
Kuala Lumpur, Malaysia
181217-MY-NurulIzzah620.jpg Nurul Izzah, anak perempuan kepada Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim selepas dibebaskan dengan jaminan polis di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, 17 Mac 2015.
[AFP]

Nurul Izzah Anwar, anak Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] Anwar Ibrahim pada Isnin membuat kejutan dengan pengumuman meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR melalui satu kenyataan media.

Beliau bagaimanapun berkata akan terus kekal sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas.

Menurut kenyataan itu, Nurul Izzah, 38, juga melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang, dan berkata pengumuman itu sepatutnya dibuat lebih awal.

“Saya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, dan melepaskan pelantikan saya sebagai Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang. Kepimpinan telah dimaklumkan mengenai keputusan saya.

"Tugas saya sebagai anggota parlimen untuk rakyat Permatang Pauh akan diteruskan sehingga tamat penggal. Saya juga akan kekal sebagai anggota biasa PKR,” kata Nurul Izzah dalam kenyataan itu.

Kenyataan Nurul Izzah itu juga menyebut yang beliau tidak akan terus berkhidmat dengan kerajaan persekutuan atas sebarang kapasiti dan menyerahkan keputusan berhubung peranan beliau dalam syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan.

“Saya akan kekal sebagai anggota parlimen yang komited untuk pembaharuan. Saya juga menyerahkan kepada kepimpinan mengenai status saya sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara [PAC]. Tetapi saya akan meneruskan kerja advokasi saya sebagai warganegara biasa dan Ahli Parlimen untuk Permatang Pauh.” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Nurul Izzah yang mula berkecimpung dalam politik sejak 1998 dan turut dikenali sebagai Ratu Reformasi itu berkata, “Satu-satunya kekesalan saya ialah, pengumuman ini sepatutnya dibuat lebih awal, tetapi tidak mudah.”

"Perkembangan politik berlaku dengan pantas sejak sembilan bulan terakhir ini dengan pemilihan parti menyusul selepas kempen pilihan raya umum yang melelahkan," katanya.

Dalam pada itu, media tempatan Malaysia melaporkan bahawa Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap PKR bila ditanya mengenai perletakan jawatan Nurul Izzah itu.

“Beliau mesti ada sebab, saya tidak tahu apa yang berlaku kepada PKR," kata Mahathir di Cyberjaya seperti dilaporkan akhbar tempatan Utusan Malaysia pada Isnin.

Kekecewaan

M-Star, portal Bahasa Malaysia milik akhbar The Star melaporkan perletakan jawatan Nurul Izzah itu dipercayai disebabkan kekecewaan beliau dengan percaturan politik yang berlaku dalam parti dan PH.

Portal berkenaan memetik satu sumber yang rapat dengan Anwar sebagai berkata, Nurul Izzah amat tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pemimpin yang mengutamakan kepentingan peribadi hingga menjejaskan usaha PKR untuk melakukan refomasi dalam kepimpinan negara.

Menurutnya, ia juga ada kaitan dengan kemasukan bekas pemimpin Umno ke dalam parti gabungan PH kerana dengan menerima bekas pemimpin itu, ia mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat dalam PRU14.

"Nurul Izzah kata kesepakatan dan persetujuan parti dalam PH yang disepakati sebelum ini perlu dihormati, kenapa tergesa-gesa menerima mereka yang lompat untuk dapat majoriti dua pertiga?

"Sebab itu beliau letak jawatan kerana dengan menjadi 'backbencher', beliau boleh menjadi lebih lantang melaksanakan agenda reformasi dan menuntut semua janji pilihanraya.

"Apabila mempunyai jawatan dalam kerajaan dan parti, Nurul Izzah rasa beliau sukar untuk meneruskan agenda perjuangan yang digagaskan ayahnya dan rakan-rakan yang lain," kata sumber berkenaan seperti yang dilaporkan oleh portal M-Star.

Kata sumber itu lagi, Nurul Izzah seorang yang popular dalam PKR dan politik Malaysia, beliau menjadi tulang belakang kepada Anwar.

"Mendapat 80,000 undi untuk jawatan naib presiden. Lebih popular daripada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali," katanya.

Agensi Berita Nasional Malaysia [Bernama] pula melaporkan PKR Permatang Pauh terkejut dan sedih dengan keputusan Anggota Parlimen mereka itu dan mahu Nurul Izzah memberi penjelasan berhubung tindakannya melepaskan semua jawatan dalam parti yang kini menjadi tanda tanya kepada ahli parti.

Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh Dr Afif Bahardin berkata kepimpinan tertinggi PKR perlu melihat perkara tersebut dengan lebih teliti kerana Nurul Izzah melepaskan jawatan Naib Presiden parti selepas beliau menang pemilihan PKR baru-baru ini.

Katanya, ramai orang terutama pengundinya tertanya-tanya sebab Nurul Izzah bertindak sedemikian.

"Sekarang ini apa yang paling penting untuk dibincangkan oleh pimpinan parti ialah kenapa Nurul Izzah buat keputusan melepaskan jawatan dimenanginya. Kami di Permatang Pauh rasa lebih penting untuk fikirkan dan bincangkan kerana jawatan naib presiden itu bukan dilantik tetapi beliau telah memenanginya pada pemilihan parti," kata Dr Afif.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.