Anwar Ibrahim tegaskan tugas anak sulungnya pastikan proses tender kerajaan telus
2023.02.01
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim yang dikritik mengamalkan nepotisme selepas melantik anak perempuan sulungnya sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan menegaskan, tugas Nurul Izzah hanya terhad kepada memastikan semua proses tender kerajaan dijalankan secara telus.
Sejak memegang tampuk pentadbiran negara, Anwar telah berjanji untuk membersihkan kerajaan daripada amalan rasuah.
Anwar pada lewat Selasa menjelaskan bahawa tugas Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri adalah untuk memastikan ketelusan dengan memantau perolehan dan tender kerajaan bagi memastikan semuanya dijalan mengikut proses yang betul.
"Saya terima baik teguran. Cuma saya nak jelaskan, dia hanya membantu untuk pastikan supaya (proses) kontrak dan tender itu dijalankan dengan teratur. Itu saja. Bukan untuk dia ambil projek," kata Anwar kepada wartawan selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur pada Selasa.
"Dia (Izzah) tidak ada kuasa untuk mengambil atau menguruskan apa-apa projek atau tender."
Anwar turut menghentam mereka yang mengkritiknya atas pelantikan Nurul Izzah itu dengan menyatakan bahawa terdapat menteri dan perdana menteri sebelum ini yang memberikan kontrak bernilai "ratusan juta ringgit" kepada ahli keluarga mereka sendiri, dan mereka ini tidak layak untuk bercakap mengenai soal ketelusan.
"Anak saya datang untuk membantu (kerajaan). Kalau dia datang membantu tanpa diberikan jawatan secara rasmi, nanti akan ada yang mempersoalkan juga bahawa kita tidak telus dan sebagainya.
"Nepotisme itu kalau kita berikan jawatan (kepada ahli keluarga) untuk mereka menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, menambah kontrak dan mendapat upah yang tinggi, dan ini tidak berlaku," kata beliau.
Media tempatan pada Ahad melaporkan bahawa Nurul Izzah telah dilantik sebagai penasihat kepada Anwar, dan wanita itu dalam mendedahkan perkara tersebut menerangkan bahawa jawatan baharunya itu akan memberikan peluang untuk dia membantu kerajaan dalam membentuk polisi awam dan melaksanakannya.
Anwar kemudiannya telah membuat penjelasan bahawa Nurul Izzah akan melaksanakan tugasnya secara pro bono dan tidak dibayar apa-apa elaun oleh kerajaan.
Perdana Menteri itu berkata bahawa beliau sendiri yang menjemput anaknya untuk membantu sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan di Kementerian Kewangan.
Nurul Izzah sebelum ini merupakan ahli Parlimen bagi kawasan Lembah Pantai di Kuala Lumpur, jawatan yang dipegangnya selama dua penggal antara 2008 dan 2018, sebelum menjadi ahli Parlimen bagi kawasan Permatang Pauh di Pulau Pinang untuk satu lagi penggal (2018-2022).
Akan tetapi, wanita itu gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh yang pernah diwakili ayah dan ibunya Wan Azizah Ismail semasa Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 pada November lepas, di mana beliau kalah kepada calon dari parti Perikatan Nasional.
Pembabitan beliau dalam politik bermula seawal usia 17 tahun selepas gerakan Reformasi pimpinan Anwar dilancarkan pada 1998 susulan pemecatan Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Mahathir Mohamad, yang merupakan Perdana Menteri waktu itu.
Anwar kemudiannya telah ditangkap, dipukul di dalam lokap dan dipenjarakan atas dakwaan rasuah dan seks luar tabii.
Kritikan
Antara mereka yang mengkritik Anwar kerana melantik Nurul Izzah adalah Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri dan pemimpin parti pembangkang Perikatan Nasional. Beliau telah menggesa Anwar supaya menasihatkan Nurul Izzah agar meletakkan jawatan.
Tambah beliau, masa depan Nurul Izzah dalam politik tidak harus dicemarkan dengan pelantikan yang tidak kena pada tempatnya.
"Nasihatlah Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri. Saya percaya beliau seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar.
"Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan di laman media sosial Facebook.
Sentimen serupa turut disuarakan oleh ketua pembangkang Hamzah Zainudin yang menyatakan bahawa Anwar patut melaksanakan apa yang selama ini diperjuangkannya dan membatalkan pelantikan Nurul Izzah dengan menambah, Anwar tidak harus mencemarkan kerajaan dengan membawa amalan nepotisme.
Badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) turut menyuarakan rasa tidak setuju terhadap keputusan Anwar.
Walaupun Nurul Izzah mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan berkenaan berdasarkan latarbelakang pendidikan serta pengalamnnya dalam politik sebelum ini, badan tersebut pada Selasa menyatakan bahawa tanggapan daripada pelantikan itu adalah kerana Nurul Izzah adalah anak Anwar Ibrahim.
"Nurul Izzah adalah seorang yang amat cekap dan berkelayakan, dengan pengalamannya sebagai ahli Parlimen selama tiga penggal, selain beliau juga mempunyai Ijazah Sarjana daripada sebuah universiti luar negara.
"(Bagaimanapun) pelantikan yang dibuat sebegini adalah tidak produktif dan dengan mudah akan membawa kepada persoalan mengenai nepotisme dan konflik kepentingan, serta semua keputusan dasar yang dibuat oleh pentadbiran ini.
"Ia juga boleh memulakan dahuluan untuk pelantikan ahli keluarga sebegini dilakukan di masa hadapan, yang akan menjejaskan lagi reputasi kerajaan," kata IDEAS.
Debat di media sosial
Perdebatan hangat mengenai isu tersebut juga telah tercetus di media sosial dengan sesetengah kumpulan mempertahankan pelantikan Nurul Izzah manakala sebahagian lagi menentangnya.
Pengguna Twitter bernama Gan dalam satu ciapan berkata prestasi Nurul Izzah di Parlimen menunjukkan bahawa beliau seorang yang mempunyai integriti dan boleh dipercayai dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
"Beliau adalah ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan mempunyai Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrikal dan Polisi Awam. Selain itu, beliau juga tidak akan dibayar gaji, jadi apa yang perlu dipersoalkan?," kata Gan.
"Pengalaman Nurul Izzah diperlukan untuk meneliti timbunan dokumen untuk memastikan semua mengikut prosedur dan dijalankan secara telus. Berapa banyak ketirisan yang telah ditemui ketika beliau dengan PAC? Tidak hairanlah Perikatan Nasional berasa bimbang," kata seorang lagi netizen bernama Amer.
Pengguna Twitter Aiman pula berhujah bahawa ia bukan isu sama ada Nurul Izzah dibayar gaji atau tidak, tetapi masalah mengenai ahli politik itu diletakkan dengan bapanya bagi melaksanakan polisi yang akan menentukan hala tuju negara.
"Kenapa tindakan nepotisme seperti ini dipandang serius? Kerana negara ini bukan rumah peribadi anda," katanya.
Penganalisis politik Sharifah Munirah Alatas turut mengingatkan Anwar supaya mengelak daripada melakukan kesalahan kecil, termasuk melakukan nepotisme.
"Walaupun Nurul Izzah amat layak, ia bukanlah sesuatu yang perlu dilakukan pada masa ini untuk melantiknya sebagai seorang penasihat," kata penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu kepada BenarNews.
"Anwar perlu meletakkan dirinya lebih tinggi daripada perkara seperti ini. Perdana Menteri lain sebelum beliau ada yang mengamalkan nepotisme, dan saya harap beliau lebih baik daripada ini."