Pemimpin Malaysia, AS Tumpu Kepada Memerangi Keganasan
2015.11.20
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Jumaat membincangkan tentang rasuah dan ketelusan dalam kerajaan dengan Perdana Menteri Najib Razak, sambil memuji penyertaan Malaysia dalam usaha global untuk mengekang ekstremisme.
Terdahulu dari itu, Obama memberitahu satu mesyuarat ala dewan bandaran di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh 500 anak muda dari seluruh Asia Tenggara, bahawa beliau merancang untuk mengumpul isu-isu yang dibangkitkan itu dengan Najib semasa lawatannya ke Malaysia. Jumaat merupakan hari pertama lawatan kedua beliau ke Malaysia, di mana beliau menghadiri Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) Ke-27.
Malaysia selaku pengerusi ASEAN menjadi tuan rumah bagi kesemua sidang kemuncak yang berlangsung dari 18 hingga 22 Nov, dengan venue utamanya ialah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
"Sekarang, saya akui bahawa saya akan melakukannya juga, tetapi bukan sebab saya mendengarnya daripada anda, saya pasti akan lakukannya," kata Obama kepada anak muda Malaysia yang memohon presiden supaya membantunya membangkitkan isu rasuah, demokrasi dan ketelusan dengan perdana menteri negaranya.
Sejak awal Julai lalu, Najib dibelenggui dakwaan bahawa lebih daripada AS$700 juta wang tunai dari dana pembangunan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dibebani hutang, telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya. Kerajaannya telah bertindak tegas terhadap organisasi media yang melaporkan mengenai skandal itu, di mana rakyatnya juga menggesa supaya beliau meletakkan jawatan.
Selepas pertemuan beliau dengan Najib pada Jumaat malam, Obama memberitahu pemberita pada sidang media bersama Najib bahawa "kami membincangkan tentang kepentingan masyarakat awam."
Menurut seorang pegawai Amerika Syarikat, Obama secara peribadi membangkitkan isu-isu hak asasi manusia, rasuah dan kebebasan bersuara dengan Najib, lapor Reuters.
"[Kami] mengambil kira beberapa pandangan dan kebimbangan beliau. Tetapi Malaysia komited untuk melakukan pembaharuan, dan pada masa sama kami komited untuk memberi jaminan tentang keamanan dan kestabilan," kata Najib kepada pemberita.
Najib, Obama tumpu kepada menangani pengganas
Kedua-dua pemimpin juga berbincang bagaimana negara mereka telah bekerjasama dalam menangani keganasan. Isu itu dibangkitkan oleh kerajaan tuan rumah yang telah meningkatkan kawalan keselamatan di semua peringkat sidang kemuncak itu, berdasarkan ancaman pengganas yang belum disahkan berikutan serangan yang didakwa dilakukan kumpulan Negara Islam di Paris dan Beirut serta di Mali pada Jumaat.
"Kerajaan Malaysia amat jelas sekali bahawa kerajaan kami menentang IS, menolak ideologinya," kata Najib.
"Ia jahat. Ia bertentangan dengan Islam. Ia adalah Islam yang sesat dan mereka tidak mewakili kami. Oleh itu, kami akan bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan negara-negara yang berfikiran sama untuk menjadikan rantau ini lebih selamat dan memerangi sebarang bentuk ekstremisme ganas, "katanya.
Najib juga memberitahu tentang rancangan yang diumumkan pada Oktober lalu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat serantau digital bagi memintas mesej dalam usaha memerangi propaganda ekstremis dalam talian kumpulan Negara Islam (IS). Pusat ini dijangka sama dengan yang ditubuhkan di Emiriah Arab Bersatu yang meningkatkan usaha dalam talian untuk melemahkan usaha IS menarik ahli-ahli yang berpotensi.
"Kerana dalam memerangi keganasan, ia bukan sahaja memerlukan tindakan ketenteraan, tetapi ia harus memenangi hati dan minda rakyat," kata Najib. "Dan sebab itulah penting bagi kamia untuk membentangkan Islam yang sahih, Islam yang sebenar, supaya orang ramai sedar apa yang diwakili IS, atau cuba diwakilinya, adalah penyelewengan Islam secara keseluruhannya."
Obama juga memuji Malaysia, dengan menyatakan bahawa seperti Indonesia, ia adalah sebuah negara majoriti Islam yang mewakili toleransi dan keamanan. "[Oleh] sebab itu, suaranya penting dalam perbahasan mengenai keganasan yang kini diperkatakan di persada antarabangsa."
Beliau seterusnya memuji Malaysia kerana kesudiannya menjadi tuan rumah bagi pusat digital memintas mesej itu.
Najib tekankan toleransi adalah pertahanan terbaik menentang keganasan
Dalam ucapan perasmiannya pada sidang kemuncak perniagaan dan pelaburan ASEAN 2015 pada Jumaat, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN utama, Najib berkata negara-negara anggota persatuan itu, yang menjadi kediaman bagi 600 juta orang, mesti mengekalkan oasis keamanan dan toleransi, lapor agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).
"Contoh kuasa kita adalah masyarakat yang kekal aman, bertoleransi, harmoni dan inklusif dan ia adalah benteng pertahanan yang terbaik dan terjamin dalam menentang keganasan melampau, kumpulan pengganas dan mereka yang mahu memusnahkan cara kehidupan kita," katanya.
Sebelum itu, pesawat Air Force One yang membawa Obama mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang, yang terletak di luar kawasan Kuala Lumpur pada kira-kira 3.20 petang.
Ketibaan pemimpin dunia itu menyebabkan kesesakan teruk berlaku di ibu negara apabila Lebuhraya Persekutuan dari Subang menghala Kuala Lumpur ditutup sejak 4 petang tadi bagi memberi laluan kepada Obama sehingga tiba dengan selamat ke KLCC.
Obama akan turut menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Ke-3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10 yang melibatkan 10 negara anggota ASEAN dan lapan rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat - serta Pertubuhan Bangsa Bersatu.
ASEAN dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Pemimpin dunia lain yang turut tiba pada Jumaat ialah Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, Presiden Korea Selatan Park Geun-hye dan Presiden Myanmar U Thein Sein.
Sebanyak 18 pemimpin dunia menghadiri sidang kemuncak empat hari itu.
S. Adie Zul menyumbang kepada laporan ini.