Obama Turut Adakan Perjumpaan Dengan Pemimpin Masyarakat Sivil

Staf BeritaBenar
2015.11.23
151123-MY-OBAMASOCIETY620 Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bercakap semasa mesyuarat dengan wakil-wakil kumpulan masyarakat sivil semasa lawatannya ke Kuala Lumpur, di luar dalam penyertaannya pada Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). 21 November 2015.
AFP

Kunjungan Presiden Barack Obama ke Malaysia pada hujung minggu lalu nampaknya bukan sekadar bertemu pemimpin tertinggi Malaysia, malah turut memberi ruang kepada beberapa kumpulan masyarakat sivil terpilih negara itu untuk menyuarakan rungutan mereka berhubung kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Najib Razak.

Dalam pertemuan dengan lapan pemimpin kumpulan masyarakat sivil, yang diadakan di Kedutaan Amerika Syarikat pada Sabtu, Obama memberitahu wakil-wakil kumpulan berkenaan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai agama dan budaya yang mewajarkan suara rakyatnya untuk didengar.

Menurut laporan akhbar Malay Mail, antara kumpulan yang diberikan peluang bertemu Obama ialah Bersih 2.0 yang diwakili pengerusinya Maria Chin Abdullah, penaung Negaraku Ambiga Sreenevasan, Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran dan Nisha Ayub dari Justice for Sisters.

Wakil-wakil lain ialah Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz dari IDEAS dan pengarah eksekutif Good Shepherd Teresa Symons.  Pegawai AS yang turut hadir pada pertemuan itu ialah Penasihat Keselamatan Susan Rice, Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Benjamin J. Rhodes dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Yun.

Obama memberitahu pertemuan tertutup itu bahawa: "Kebanyakan daripada kumpulan masyarakat sivil anda mengambil berat tentang kekangan terhadap kebebasan awam dan hak-hak sivil, serta berusaha memperluaskan hak masyarakat awam bagi membolehkan suara rakyat Malaysia dan negara sekitar rantau ini didengarkan.

"Kami amat menghargai kerja-kerja yang anda lakukan. Satu sebab saya mahu bertemu dengan anda ialah bagi menghantar mesej jelas bahawa Amerika Syarikat menyokong kerja-kerja yang dilakukan dari hari ke sehari,"kata presiden negara kuasa besar itu ketika berucap di dalam mesyuarat selama sejam itu.

Obama menyatakan Amerika Syarikat percaya pentingnya mempunyai masyarakat awam yang kuat bagi mencapai tadbir urus yang lebih bertanggungjawab, dan menjadi dasar negaranya untuk bertemu dengan pemimpin kumpulan-kumpulan masyarakat awam semasa berkunjung ke luar negara.

Dalam pada itu, Obama menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang telah mencapai kemajuan luar biasa dalam bidang kebebasan akhbar, kebebasan beragama dan kebebasan berhimpun.

Kunjungan Obama ke Malaysia juga bertujuan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Asean Ke-27 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan.

Kumpulan Bersih adalah di antara kumpulan masyarakat awam yang sentiasa mendesak Najib supaya meletakkan jawatan setelah beliau didakwa terbabit di dalam skandal menerima AS$700 juta dolar dari syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Kumpulan Bersih juga menuntut ketelusan di dalam pilihan raya di Malaysia.

"Perdana Menteri Najib Razak berusaha untuk melemahkan mekanisme pilihanraya dan Parlimen untuk mengekalkan pemerintahannya yang korup; dan ini dipadankan pula dengan permainan sinisnya untuk melaga-lagakan sentimen  perkauman dan agama, bentang  Maria Chin Abdullah semasa bertemu pemimpin dunia itu.

Beliau menambah, sambil mengemukakan imej yang liberal dan moderat di luar negara, Najib telah membenarkan para menterinya dan para pemimpin parti supaya memberikan gambaran yang buruk terhadap kumpulan minoriti..

Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel pula, membangkitkan dakwaan rasuah membabitkan 1MDB,  syarikat yang sarat dengan hutang itu,  dan kesannya terhadap institusi awam yang terlibat dalam siasatan.

‘Tidak hormat’

Namun, pertemuan Obama dengan kumpulan berkenaan mendapat kecaman khususnya daripada veteran UMNO, parti politik yang diterajui Najib.

Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaacub berkata Obama sepatutnya lebih sensitif dengan perkembangan politik di Malaysia dan menghormati pemimpin kerajaannya.

"Kami kesal dengan sikap Obama yang tidak tahu menghormati tuan rumah Malaysia apabila beliau membuat keputusan untuk berjumpa dengan kumpulan pembangkang dan antikerajaan ketika hadir sebagai tetamu negara dan menjalankan tugas rasmi menghadiri Sidang Kemuncak Asean,” katanya seperti yang dilaporkan The Malaysian Insider pada Isnin.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pertemuan Obama dengan kumpulan-kumpulan itu merupakan sebahagian daripada tugas rasmi beliau dalam lawatannya ke Malaysia.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia iaitu akhbar yang ditunjangi UMNO, juga menyiarkan komentar yang mempertikaikan pertemuan Obama dengan pemimpin kumpulan itu,

Pengarang Berita Kanan 2 akhbar itu, Zulkifli Bakar, yang menulis komentar  itu mempersoalkan sama ada perkara-perkara yang disampaikan kepada Obama menerusi pertemuan itu disampaikan secara telus atau sebaliknya.

“Hebat sekali pejuang-pejuang ini yang bersedia mengadu masalah mereka kepada pemimpin asing tanpa mengetahui akibatnya kepada negara ini.

“Tetapi persoalannya apakah yang disampaikan oleh Obama itu benar atau tidak? Tidakkah sebuah negara kuasa besar yang begitu hebat akan menelan bulat-bulat segala apa yang mereka adukan?” tanya Zulkiflee.

Katanya, hak asasi apakah yang mahu diperkatakan oleh Maria Chin dan Ambiga sedangkan mereka sendiri tidak mempedulikan hak asasi orang lain apabila menganjurkan perhimpunan Bersih.

“Malang sekali Malaysia apabila memiliki pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan yang meminta pertolongan daripada pihak asing tanpa memikirkan kesannya terlebih dahulu terhadap keseluruhan, hanya semata-mata memperjuangkan apa yang difikirkan betul,” tulis Zulkiflee.

Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.