OIC Bertemu MARA Patani Di Kuala Lumpur

Nani Yusof & Suhana Osman
2016.01.11
160111-MY-MARAPATANI620 Para pemimpin kumpulan pemberontak selatan Thailand melalui badan induknya MARA Patani mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Dr Iyad Ameen Al Madani di Kuala Lumpur.
Ehsan MARA Patani

Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Dr Iyad Ameen Al Madani mengadakan pertemuan tidak formal dengan badan induk yang mewakili pemberontak-pemberontak selatan Thailand, MARA Patani di Kuala Lumpur, walaupun terdapat cubaan menghalang pertemuan itu.

Perjumpaan selama dua jam antara pemimpin OIC dengan kumpulan itu berlangsung pada Sabtu lalu, dipengerusi oleh Iyad Ameen dalam suasana mesra, santai serta didahului dengan sesi makan tengahari, menurut seorang wakil badan induk itu kepada BeritaBenar.

Sembilan delegasi yang diketuai Awang Jabat termasuk Ketua Dialog Kumpulan MARA Patani, Muhammad Shukri Hari dan semua ketua kumpulan pemberontak hadir pada pertemuan di ibunegara Malaysia itu.

The Bangkok Post dalam laporannya pada Isnin memetik sumber dalaman berkata, Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur telah gagal dalam usahanya, menghalang pertemuaan antara kedua-dua pihak itu.

Kata sumber dalam berita berkenaan, “Kedutaan Thai telah cuba untuk menghalang pertemuan antara MARA Patani dan Pemimpin OIC itu”.

Iyad Ameen tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu untuk mengadakan lawatan dua hari ke Malaysia, di mana beliau turut bertemu dengan Perdana Menteri Najib Razak, sebelum meneruskan lawatannya ke Thailand selama tiga hari.

Beliau yang kini berada di Bangkok dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha serta mengambil bahagian dalam simposium “dialog antara agama dan kehidupan aman dalam masyarakat pelbagai budaya.

MARA Patani adalah gabungan enam pergerakan pemberontakan selatan Thailand yang terdiri daripada Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), Barisan Revolusi Nasional (BRN), Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP) dan tiga pecahan dari Pertubuhan Pembebasan Patani (PULO).

‘Tuntutan rundingan’


Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan berkenaan, Presiden Pertubuhan Pembebasan Patani (PULO MKP) Katsuri Mahkota berkata, OIC yang menitik beratkan tentang perpaduan ummah, menyambut baik pembentukan MARA Patani serta menyatakan persetujuan badan dunia itu, membantu MARA Patani.

“OIC akan cuba menolong MARA Patani meminta kerajaan Thailand menerima dua dari tiga tuntutan MARA Patani, iaitu perakuan bahawa MARA Patani sebagai wakil rasmi perunding damai; dialog proses rundingan damai dijadikan agenda kebangsaan Thailand, diterima serta diluluskan oleh Parlimen negara itu,” tambah Katsuri.

Pada Ogos tahun lepas, Malaysia sebagai fasilitator rundingan telah menganjurkan pertemuan di ibu negara itu, antara MARA Patani dengan pegawai-pegawai Thai, yang berada di bawah kerajaan tentera, selepas mengguling kerajaan pimpinan awan pada Mei 2014.

Pertemuan itu adalah bertujuan meneruskan rundingan damai rasmi dengan Thailand buat kali pertamanya sejak Disember 2013 dan pada perjumpaan itu, tiga tuntutan awal telah dibentangkan oleh MARA Patani.

Tiga tuntutan itu ialah mahukan rundingan damai dijadikan agenda nasional kerajaan Thailand, di terima serta diluluskan oleh Parlimen negara itu; kedua, memberi imuniti kepada para perunding damai MARA Patani agar mereka boleh melaksanakan rundingan seterusnya; dan ketiga, pengiktirafan MARA Patani sebagai wakil rasmi perunding damai dengan kerajaan Thailand.

‘Pertemuan positif’


Kumpulan dan puak pemberontak berbeza telah melancarkan pemberontakan pemisah di wilayah Selatan Thailand, di mana majoriti penduduknya ialah orang Islam yang bertutur bahasa Melayu, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 6,000 orang terkorban sejak 2004.

Sementara itu, wakil BIPP Abu Hafiz Al-Hakim berkata, pada pertemuan dengan Iyad Ameen pada Sabtu lalu, MARA Patani meminta OIC bekerjasama rapat dengan Malaysia dan Thailand, menyokong proses damai itu.

Malaysia adalah antara 57 negara anggota OIC, yang merupakan organisasi antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa Bersatu. Thailand sebuah negara dengan agama rasmi Buddha, adalah satu daripada lima negara pemerhati OIC.

“Perbincangan antara kedua-dua pihak sangat positif dan bermakna,” kata Abu Hafiz kepada BeritaBenar semasa dihubungi di Kuala Lumpur.

Pada perjumpaan yang sama itu, Iyad Ameen turut bertemu dengan lima wakil badan bukan kerajaan dari Patani, atas permintaan badan dunia itu sendiri.

MARA Patani pada Khamis turut mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil Setiausaha Agung organisasi Islam terbesar didunia itu sebelum pertemuan dengan Iyad Ameen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.