Kontinjen Olimpik Malaysia Dikawal Ketat Elak COVID-19

Saringan dibuat setiap hari bagi memastikan atlet negara bebas virus sepanjang masa di Tokyo menurut pegawai Malaysia.
Noah Lee & Hadi Azmi
2021.07.19
Kuala Lumpur
Kontinjen Olimpik Malaysia Dikawal Ketat Elak COVID-19 Penerjun negara Pandelela Rinong memenangi pingat emas buat skuad negara dalam acara 10 meter platform individu diapit oleh pemenang pingat perak, Matsuri Arai dari Jepun dan pingat gangsa Caeli McKay dari Kanada di Kejohanan Terjun Piala Dunia Fina di Tokyo, Jepun, 5 Mei, 2021.
[Reuters]

Kontinjen Malaysia dengan kekuatan 55 atlet dan jurulatih yang dihantar untuk bertanding dalam Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun diletakkan di bawah kawalan yang amat ketat bagi mengelakkan mereka daripada dijangkiti virus COVID-19, demikian menurut pegawai yang bertanggungjawab keatas pengurusan pasukan negara itu.

Pasukan Malaysia bakal bertanding dalam 10 jenis acara pada Sukan Olimpik yang dijadualkan bermula pada 23 Julai, dengan kesemua atlet, jurulatih dan pengurus telahpun lengkap menerima vaksin COVID-19 sejak Jun.

Kumpulan terbesar seramai 40 atlet dan pegawai disahkan negatif COVID-19, selepas menjalani ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada Sabtu, kata pegawai.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata Majlis Sukan Negara telah diarah untuk mengasingkan semua atlet dan jurulatih daripada atlet lain bagi memastikan keselamatan mereka, termasuk pemantauan terhadap amalan penjarakan sosial, penyediaan makan yang dijaga rapi serta ujian saringan dari masa ke semasa.

"Ia seperti langkah keselamatan berganda, seperti gelembung di dalam gelembung untuk atlet Olimpik negara… dan kita juga tidak boleh alpa walaupun seketika, kerana sebarang pendedahan kepada virus COVID-19 boleh menyebabkan atlet kita hilang peluang di Olimpik,” katanya dalam satu sidang media secara dalam talian baru-baru ini.

Selain daripada persediaan di dalam negara, Reezal juga berkata yang prosedur operasi standard yang ketat turut dilaksanakan dalam proses membawa kontinjen negara ke Jepun, sehingga ke peringkat pesawat yang menerbangkan mereka, di mana tugas itu dipikul oleh Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

"Langkah-langkah yang dibuat oleh pihak MAG dan MAHB adalah amat teliti, dan tiada sebarang perkara yang dibiarkan terlepas dari pemeriksaan. Ini dapat memberi keyakinan pada atlet yang akan bertanding di Tokyo, kerana paling penting dalam keadaan amat berbeza dan  sukar ini adalah aspek keselamatan dan kesihatan mereka," kata Reezal.

Malaysia menghantar seramai 30 atlet bersama 21 jurulatih dan empat pengurus ke Tokyo, dengan atlet dijadualkan menyertai pertandingan dalam sukan renang, terjun, pelayaran, gimnastik, badminton dan memanah.

Saringan

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Nazifuddin Najib pada Ahad memberitahu yang kontinjen terbesar Malaysia seramai 40 orang tidak menghadapi sebarang masalah dalam urusan pendaftaran masuk ke Perkampungan Olimpik di Tokyo selepas tiba di ibu negara Jepun itu pada Sabtu.

Katanya, lebih menggembirakan kontinjen adalah ujian saringan COVID-19 keatas semua mereka semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita disahkan negatif.

"Alhamdulillah semua selamat sampai di Perkampungan Olimpik. Ujian saringan menggunakan air liur juga keluar (keputusan) negatif dan kontinjen Malaysia di sini mula menyesuaikan diri dengan kemudahan yang ada,

"Cuma kita masih dalam kumpulan B yang mana pengawasan COVID-19 ada terdapat tambahan SOP (prosedur operasi standard). Contohnya, tempat makan berlainan dan penjagaan jarak jauh dengan pasukan kontinjen negara lain," katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia (Bernama).

Nazifuddin berkata kesemua atlet dan pegawai di Tokyo sedang menjalani tempoh pengasingan selama tiga hari, dengan mereka juga perlu terus menjalani ujian saringan COVID-19 sepanjang temasya itu sehingga 8 Ogos.

Tambah beliau, selain itu tugas utama pegawai adalah untuk memastikan yang atlet tidak dijangkiti koronavirus, dan ia kemudiannya bergantung kepada atlet itu sendiri untuk memberikan prestasi terbaik mereka dalam pertandingan.

Nazifuddin turut memberikan jaminan bahawa perkhidmatan kesihatan disediakan sepanjang masa oleh tuan rumah kepasda semua anggota kontinjen sekiranya mereka dijangkiti COVID-19, dan sekiranya dijangkiti Koronavirus, ia tidak akan menyebabkan seseorang atlet hilang kelayakan untuk bertanding.

"Sekiranya atlet dijangkiti COVID-19, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah membuat ketetapan bahawa mereka tidak akan hilang kelayakan bertanding. Tetapi, cara berbeza akan dibuat untuk mereka menyertai pertandingan.

"Ini adalah satu bentuk keadilan dan kesaksamaan yang diamalkan oleh IOC," kata Nazifuddin.

Isu jangkitan COVID-19 menjadi kegusaran di kalangan para kontinjen yang menyertai Sukan Olimpik 2021, terutama selepas dua orang atlet bola sepak dari Afrika Selatan yang berada di Perkampungan Olimpik didapati positif COVID-19 pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Ia adalah kes pertama yang dikesan membabitkan atlet di dalam kawasan penempatan atlet itu.

Bagaimanapun, Nazifuddin dilaporkan berkata bahawa mereka yakin dengan sistem keselamatan yang diamalkan oleh penganjur dalam mengekang penularan wabak.

"Sistem yang mereka ada sangat baik dan dapat mengesan wabak tersebut selepas melakukan pemeriksaan hampir setiap hari di Perkampungan Sukan.

"Tindakan ini untuk memastikan tiada penularan terbesar dalam kalangan atlet yang akan bertanding. Kes pertama memastikan pihak penganjur akan terus menggiatkan kawalan lebih ketat selepas ini.

"Kontinjen negara akan sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Tokyo dan kita akan memastikan atlet bersih dari COVID-19," kata beliau seperti dilaporkan media tempatan Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.