Sekatan Anti Pembalakan Keempat Dirobohkan Pihak Berkuasa Dalam Tempoh Enam Bulan

Hata Wahari
2017.02.06
Kuala Lumpur
170206-my-balak-620.jpg Kerja-kerja merobohkan sekatan yang terbakar oleh sebuah jentolak didakwa dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan di Simpan Petai, Gua Musang, 6 Feb, 2017.
[Ihsan Center for Orang Asli Concerns]

Sekatan yang dibina oleh Orang Asli di kawasan pembalakan hutan simpanan di kawasan pendalaman Gua Musang, Kelantan, telah dirobohkan untuk kali keempat oleh pihak berkuasa Malaysia, sejak krisis sekatan tercetus September lepas, demikian dakwaan aktivis Siti Kassim yang juga seorang peguam.

Siti yang mewakili masyarakat Orang Asli itu mendakwa, selain dirobohkan, sekatan itu turut dibakar bagi menghapuskan bukti oleh kakitangan Jabatan Perhutanan Kelantan [JPK] pada Isnin.

“Anggota dari Jabatan Perhutanan telah merobohkan sekatan itu sekali lagi hari ini. Selepas berbuat demikian pada Januari 24 lepas, mereka juga membakar dan kemudiannya menimbus untuk mengelak daripada di kesan,” dakwa peguam itu sambil memaklumkan bahawa kejadian merobohkan sekatan berkenaan merupakan yang keempat sejak krisis itu bermula.

Bagaimanapun katanya, penduduk kampung berjaya mengambil beberapa keping gambar untuk membuktikan tindakan tersebut.

Penduduk asli yang dikenali sebagai kaum Temiar yang tinggal di sekitar kawasan Gunung Chamah, Gua Musang itu, telah membina sekurang-kurangnya empat sekatan menghalang laluan balak di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Balah, HSK Perias dan HSK Gunung Stong sejak krisis itu mula tercetus, 26 September lepas

Mereka juga menyekat laluan keluar masuk lori pengangkut balak di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan JPK dan pihak polis bertindak menahan aktivis mereka beberapa sejak enam bulan lepas. Antara November dan Januari lebih 54 orang asli telah ditahan kerana membina sekatan, menurut JPK, sambil menambah, selepas dibebaskan, mereka mendirikan semula sekatan.

Pada 24 Jan lepas, seramai 16 lagi orang asli telah ditahan bersama dua wartawan, oleh pihak berkuasa yang kemudiannya membebaskan mereka, berkaitan isu yang sama.

Masyarakat pribumi di kawasan itu bertindak sedemikian kerana mahu pegawai kerajaan negeri menghentikan pemberian lesen kepada pembalak di kawasan sekitar itu yang didakwa sebagai tanah nenek moyang mereka. Mereka membina semula selepas timbul ketegangan dengan pembalak, sehingga tembakan dilepaskan, menurut aktivis – tetapi dinafikan oleh seorang pegawai polis negeri.

Seorang aktivis dari Jaringan Orang Asli Semenanjung Jamali Ayau dalam laporan media memberitahu anggota JPK tiba dengan kenderaan berlogo jabatan pada pagi Isnin, sebelum merobohkan sekatan berkenaan.

“Mereka kemudian membawa jentolak untuk merobohkan sekatan dan kemudiannya membakar sekatan dan pondok yang telah kami bina. Antara yang terbakar adalah balai adat kami, katanya seperti dilaporkan oleh akhbar The Star.

Hutan Rizab Persekutuan

Sementara itu, Center for Orang Asli Concerns (COAC) dalam kenyataannya pula memberitahu JPK pada Ahad telah merobohkan satu lagi sekatan di Kelawong yang menempatkan penduduk orang asli di Pos Pasik.

Menurut COAC, melalui jaringan mereka di Gua Musang, sebanyak 15 trak yang membawa anggota-anggota JPK telah merobohkan sekatan di Simpang Petai pada Isnin.

JPK dalam satu kenyataan ringkas kepada BeritaBenar mengenai kejadian pada Isnin itu, menegaskan tindakan merobohkan sekatan itu adalah berdasarkan kepada peruntukan di dalam Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

“Status kawasan sekatan itu merupakan kawasan Hutan Rizab Persekutuan dan bukannya kampung sebenar orang asli itu,” menurut kenyataan itu.

Namun, agensi berita nasional [Bernama] melaporkan Pengarah JPK Zahari Ibrahim menafikan jabatan itu membakar pondok itu secara sesuka hati sambil memberitahu bahawa kebakaran itu berpunca daripada bara api yang ditinggalkan sekumpulan orang asli dalam pondok yang dirobohkan.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia [SUHAKAM] Razali Ismail berkata beliau amat bimbang dengan Orang Asli yang merupakan "masyarakat terpinggir dan lemah serta merupakan minoriti paling miskin di Malaysia" telah menjadi sasaran diskriminasi.

"Sekatan itu adalah simbol bantahan oleh mereka, menentang penswastaan hutan terkawal, yang melanggar prinsip asas perniagaan dan hak asasi manusia. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi dan [adalah] kewajipan pihak perniagaan untuk menghormati hak asasi Orang Asli, “katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob telah menyatakan kesediaan untuk turun padang dan bertemu masyarakat Orang Asli di Gua Musang itu bagi membincangkan mengenai masalah sekatan yang dilakukan dalam kawasan itu.

“Menteri Besar setuju untuk turun ke sana (Gua Musang), cuma kita belum tentukan lagi masa kerana sekarang suasana masih tegang, lebih elok kita berbincang langkah-langkah yang perlu dilakukan terlebih dahulu,” kata Timbalan Menteri Besar,  Mohd Amar Nik Abdullah seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan pada Ahad.

Sebelum ini beberapa pihak mengkritik kerajaan negeri khususnya Menteri Besar dan Timbalannya kerana tidak turun ke kawasan Orang Asli.

Beberapa bulan lepas, Siti juga mendakwa, tiada maklum balas dan hubungan yang dibuat pejabat kerajaan negeri itu dengan aktivis orang asli sejak mereka membuat bantahan selain mendakwa, bahawa kontrak yang dikeluarkan oleh kerajaan telah menyatakan bahawa syarikat pembalakan perlu menyelesaikan sebarang isu yang timbul dengan masyarakat orang asli itu sendiri.

"Saya melihat satu klausa dalam salah satu kontrak pembalakan. Apa yang kerajaan negeri pasti ialah mereka telahpun melindungi diri mereka, jika sebarang masalah berlaku, terpulang kepada kontraktor untuk menyelesaikannya dengan Orang Asli berhubung apa jua masalah yang dihadapi di lapangan, " katanya kepada BeritaBenar.

"Orang Asli" adalah istilah yang digunakan untuk orang pribumi di Malaysia yang terdiri daripada kira-kira 12 peratus daripada 31 juta penduduk negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.