Harimau Mengganas: Orang Asli Kelantan Mahu Putrajaya Bertindak Henti Pembalakan

Kumpulan Orang Asli juga meminta Putrajaya kembali royalti minyak kepada kerajaan negeri supaya pembalakan dapat dihentikan.
Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur
2022-01-11
Share
Harimau Mengganas: Orang Asli Kelantan Mahu Putrajaya Bertindak Henti Pembalakan Wakil Orang Asli Gua Musang Dendi Johari semasa ditemui media selepas menyerahkan memorandum mengenai penebangan hutan dan kesannya terhadap masyarakat, kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, 11 Januari 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Masyarakat Orang Asli di sebuah daerah pendalaman di negeri Kelantan pada Selasa menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan segera bagi memelihara habitat hidupan liar dengan menghentikan aktiviti pembalakan, selepas seorang penduduk kampung mati akibat dibaham harimau minggu lalu.

Kumpulan yang mewakili Orang Asli dari Kaum Temiar di daerah Gua Musang itu telah bertemu dengan pegawai tinggi kerajaan persekutuan di Putrajaya untuk menyatakan bahawa aktiviti penebangan hutan yang berleluasa telah mengecilkan kawasan habitat yang didiami oleh hidupan liar termasuk harimau, dan seterusnya menyebabkan bintangan memasuki kawasan perkampungan manusia.

Timbalan pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Nasir Dollah memberitahu pemberita bahawa mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri melalui pegawainya di Putrajaya untuk menggesa supaya kerajaan bertindak menghentikan aktiviti penebangan hutan terutama di kawasan Gua Musang.

"Hari ini kami menghantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk mendesak supaya pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri mengambil perhatian serius, dalam masa sama kita jaga haiwan dan masa sama kita jaga kehidupan Orang Asli yang diancam harimau.

"Pada kami isu ini berlaku kerana aktiviti pembangunan seperti pembalakan, perlombongan dan pembukaan ladang berskala besar. Bila kawasan hutan mengecil, sudah pasti habitat haiwan ini mengecil dan mereka tidak boleh mencari makan hingga sampai ke perkampungan Orang Asli.

"Tetapi kami tidak menyalahkan haiwan. Sekarang ini isunya ialah kesilapan manusia. Manusia itu siapa? Sudah tentulah orang yang berkuasa, iaitu kerajaan negeri dan pusat," kata Nasir ketika ditemui media di hadapan Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.

Nasir Dollah berkata bahawa JKOAK juga meminta supaya kerajaan persekutuan memberikan semula bayaran royalti minyak kepada negeri Kelantan supaya negeri Pantai Timur itu boleh menghentikan aktiviti pembalakan untuk menjana pendapatan.

"Kerana Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata kalau kerajaan berikan royalti, negeri Kelantan tidak akan membuat aktiviti pembalakan.

"Jadi kita berharap kalau kerajaan pusat beri royalti, kita lihat adakah dia tidak akan membalak lagi atau sebaliknya," kata beliau, merujuk kepada kenyataan dibuat oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah pada 2019.

Mohd Amar ketika itu menyatakan bahawa negeri Kelantan akan menghentikan pembalakan sekiranya mereka diberikan royalti petroleum yang dianggarkan sekitar RM700 juta, yang dikatakan lebih daripada mencukupi untuk menampung pembangunan negeri berbanding hasil daripada aktiviti pembalakan, menurut stesen televisyen Astro Awani.

Mati dibaham harimau

Pada Jumaat lepas, seorang lelaki Orang Asli berusia 59 tahun mati selepas diserang seekor harimau di sebuah kampung di Pos Bihai, yang terletak di daerah Gua Musang.

Menurut laporan akhbar tempatan, harimau yang sama cuba menyerang penduduk kampung lain tetapi sempat melarikan diri selepas dibaling dengan lembing, sebelum pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (PERHILITAN) menembak mati haiwan berkenaan kerana cuba menyerang semasa cubaan menangkapnya.

Kejadian itu juga menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia menghentikan buat sementara waktu sesi persekolahan secara fizikal bagi Sekolah Kebangsaan Pos Bihai sehingga keadaan disahkan selamat.

Sebuah portal berita tempatan pula melaporkan bahawa seekor lagi harimau telah dilihat berhampiran sebuah sekolah di Pos Balar, juga di daerah yang sama pada Isnin dan menyebabkan penduduk serta guru-guru ketakutan.

PERHILITAN dalam satu kenyataan pada Selasa berkata bahawa jabatan itu masih menjalankan pemantauan di kawasan Orang Asli Pos Bihai, dan telah memasang perangkap harimau belang bagi menangkap harimau lain yang berkeliaran.

"Jabatan PERHILITAN masih menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan Orang Asli Pos Bihai berikutan aduan dari penduduk berkenaan harimau belang yang berkeliaran di kawasan berkenaan semenjak 10 Disember 2021.

"Tindakan yang telah dilaksanakan Jabatan adalah memasang tiga buah perangkap harimau belang (Perangkap Wahab) iaitu dua buah di Kampung Tendrik dan sebuah di Kampung Hak, Pos Bihai," kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa itu juga menasihatkan penduduk kampung supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar, serta menyalurkan maklumat kepada jabatan tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk Gua Musang, Dendi Johari, 30, yang juga aktivis Orang Asli memberitahu BenarNews bahawa kejadian serangan harimau pada Jumaat itu adalah yang kedua berlaku di kampung tersebut dalam tempoh enam bulan dan kali keempat penduduk kampung Orang Asli diserang hidupan liar sejak 2017.

"Kami sudah buat aduan kepada Jabatan Hidupan Liar. Selain harimau, gajah liar juga masuk ke kampung kami. Semua ini sangat mengganggu kehidupan seharian kami.

"Kami penduduk kampung Orang Asli hidup dalam ketakutan sebab binatang liar ini. Kami tidak menyalahkan haiwan, tetapi punca kenapa haiwan masuk ke kampung kami sebab kerajaanlah hutan musnah, mereka bagi kelulusan membalak, melombong, dan membuat empangan.

"Jadi, haiwan itu hendak buat apa, mereka tiada tempat tinggal dan haiwan mula ke tempat lain, dan ada yang sesat ke kampung kami," kata Dendi.

Konflik hidupan liar dan manusia

Sebuah badan hak asasi manusia Suaram dalam satu kenyataan kepada BenarNews menyokong kenyataan dibuat JKOAK mengenai punca hidupan liar mencerobohi kawasan manusia, dan menyeru supaya kerajaan negeri Kelantan menghentikan semua projek pembangunan di kawasan hutan negeri itu.

"Kadar aktiviti pembangunan yang mencerobohi kawasang penempatan Orang Asli serta tanah adat mereka adalah tinggi, terutamanya di kawasan Gua Musang.

"Ini menyebabkan konflik di antara hidupan liar dengan manusia, dan inilah simptom yang berlaku hasil daripada salah tadbir sumber alam, dengan kerajaan negeri Kelantan patut menghentikan semua pembangunan di hutan Kelantan serta menyemak semula semua projek berhampiran kampung-kampung Orang Asli," kata penyelaras Suaram Suresh Kumar Balasubramaniam.

Harimau spesis Harimau Malaya, atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni, merupakan subspesies harimau belang yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia. Di seluruh dunia, terdapat 9 subspesies harimau belang dan 3 subspesies telah pupus.

Hasil cerapan yang dijalankan melalui 1st National Tiger Survey di hampir 75 peratus plot kajian habitat harimau bermula tahun 2016-2018 telah menunjukkan bilangan Harimau Malaya yang direkodkan adalah kurang dari 200 ekor.

Data itu menunjukkan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang amat membimbangkan.

Jika tiada tindakan drastik yang dijalankan bagi mengatasi masalah penurunan populasi Harimau Malaya ini, jangkaan dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun Malaysia akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya.

Harimau Malaya dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh