Orang Asli Malaysia Bawa Perjuangan Hak Tanah Adat Ke Mahkamah

Orang Asli dari dua kampung di Kelantan menyatakan usaha berbincang dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan hak ke atas tanah pusaka sejak 2015, tidak membawa sebarang hasil.
Ray Sherman & Noah Lee
2021.03.12
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Orang Asli Malaysia Bawa Perjuangan Hak Tanah Adat Ke Mahkamah Orang Asli Malaysia mengangkat tangan apabila mereka mencatatkan sejarah dengan memenangi kes hak tanah pusaka di mana mereka diusir untuk membolehkan pelaksanaan projek lebuh raya lapangan terbang, di Putrajaya, Malaysia, 19 September 2005.
[AFP]

Hampir 200 Orang Asli di negeri Kelantan sepakat memfailkan saman terhadap kerajaan negeri itu kerana mengeluarkan lesen yang didakwa tidak sah kepada syarikat-syarikat negeri dan swasta, yang menurut mereka, telah mencerobohi tanah pusaka milik mereka sejak 2015.

Suruhanjaya hak asasi manusia negara itu menyatakan bahawa Orang Asli berkenaan telah sekian lama memperjuangkan tanah mereka walaupun terdapat undang-undang yang digubal oleh kerajaan bagi menangani isu tanah pusaka.

Seorang daripada pemimpin kumpulan tersebut berkata bahawa semua perbincangan dengan kerajaan negeri atau agensinya tidak memberikan sebarang hasil menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan selain menggunakan undang-undang untuk mendapatkan kembali tanah mereka.

Saman sivil itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 10 Mac oleh tiga lelaki Orang Asli iaitu Ahak Uda, 54; Aziz Angah, 33; dan Anjang Uda, 30, bagi pihak penduduk Kampung Kelaik dan Kampung Cabil dari suku Temiar.

Para penduduk kampung itu mendakwa bahawa kawasan tanah mereka telah dicerobohi oleh banyak pihak untuk menjalankan kegiatan perlombongan dan pembalakan serta penanaman durian dan kelapa sawit sejak enam tahun lalu serta semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung pandemik COVID-19.

Selain kerajaan negeri Kelantan, defendan lain dalam saman tersebut ialah Pejabat Tanah dan Galian Kelantan, Jabatan Perhutanan Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli serta 10 syarikat lain yang turut didakwa mencerobohi tanah tersebut.

Dalam kenyataan selepas kes itu difailkan di mahkamah, firma undang-undang yang mewakili Orang Asli tersebut menyatakan bahawa tiada rundingan dilakukan dengan penduduk kampung berhubung pencerobohan tanah selain usaha untuk berhubung dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa lain adalah tidak berhasil.

BeritaBenar cuba menghubungi kerajaan negeri menerusi dua pegawainya yang bertanggung jawab ke atas hal ehwal tanah pusaka, pertanian dan alam sekitar melalui e-mel dan panggilan telefon tetapi tidak menerima sebarang respons.

Kerosakan teruk

Seorang daripada plaintif, Ahak Uda, memberitahu BeritaBenar bahawa masalah pencerobohan itu telah berlanjutan sejak 2009.

"Sebelum ini, kami telah berbincang dengan kerajaan negeri dan agensinya dan Menteri Besar ketika itu, Nik Aziz Nik Mat, tetapi mereka tidak mengendahkan tentang tanah adat.

"Kerosakan yang dialami sekarang adalah amat teruk terutamanya di Kampung Kelaik, dan semua tanah adat Orang Asli di Kelantan telah musnah.

"Bukit dan gunung ditarah sehingga botak manakala air dan sungai sudah tercemar. Inilah yang membimbangkan penduduk kami. Ia disebabkan oleh kerosakan (tanah). Kami tidak boleh membiarkannya begitu sahaja, oleh itu kami menghubungi peguam dan memfailkan (saman) di mahkamah," katanya.

Menurutnya, beliau dan aktivis Jaringan Orang Asli di Kelantan masih belum dapat bertemu dengan menteri besar Kelantan, Ahmad Yaakob.

Namun, mereka telah menulis surat dan membuat sekatan jalan tetapi ia juga tidak berhasil, katanya.

"Bagi saya, tiada guna berbincang jika ia tidak memberikan sebarang hasil, ia membuang masa sahaja. Jika kami menulis surat, mereka mungkin menggulungnya, membakarnya atau membuangnya ke dalam tong sampah. Oleh itu, sekarang kami melakukan apa yang dapat memuaskan hati (iaitu memulakan saman undang-undang)," jelasnya.

Dalam afidavit sokongan saman itu, Orang Asli berkenaan berkata pencerobohan tanah itu berlaku sejak dari zaman nenek moyang mereka dan tanah itu merupakan sumber kehidupan mereka sejak beberapa generasi lalu.

"Pencerobohan itu juga hampir memusnahkan pokok Ipoh, yang digunakan untuk membuat racun anak sumpit bagi tujuan memburu.

"Ia juga telah mencemarkan sumber air kami dan memusnahkan tapak perkuburan nenek moyang kami," kata plaintif itu.

Mereka mendakwa pencerobohan itu juga pernah mengorbankan nyawa pada 2018 apabila seorang warga emas dikatakan lemas di sungai setelah satu daripada defendan melepaskan air lombong ke dalam sungai.

Melalui saman itu, Orang Asli mahu mendapatkan deklarasi bahawa penduduk dua kampung itu adalah pemegang hak adat dan pemilik tanah pusaka yang terdapat di sekeliling kampung-kampung berkenaan selain pengeluaran lesen dan/atau memberi kebenaran kepada pihak penceroboh adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka juga menuntut ganti rugi am daripada kerajaan negeri bagi semua kerosakan dan kemusnahan serta pencerobohan yang berlaku di tanah pusaka mereka. Pencerobohan itu merangkumi sebahagian besar daripada tanah Orang Asli yang seluas 70 hingga 100 ekar.

Termaktub dalam undang-undang

Peguam Rajesh Nagarajan berkata hak yang dituntut penduduk Orang Asli berkenaan adalah termaktub dalam seksyen 6 dan 7 Akta Orang Asli 1954.

Namun, beliau berkata hak Orang Asli terhadap tanah adat mereka sering bergantung kepada kerajaan negeri.

"Sebidang tanah hanya boleh diisytiharkan sebagai tanah nenek moyang oleh kerajaan negeri, tetapi malangnya, mereka tidak mahu mewartakan tanah sebegitu. Oleh itu, Orang Asli pada dasarnya dianggap sebagai penceroboh tanah negeri itu," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau mengakui bahawa dalam kebanyakan kes, syarikat perlombongan dan pembalakan menerima kebenaran kerajaan negeri sebelum memasuki sesebuah kawasan, tetapi beliau mempersoalkan kesahihan kebenaran tersebut kerana tanah itu sepatutnya diwartakan sebagai tanah adat.

Berikutan itu, tuntutan sivil itu perlu dilakukan untuk memaksa kerajaan negeri mengisytiharkan tanah tersebut sebagai tanah pusaka, kata Rajesh.

Jerald Joseph, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia SUHAKAM, bersetuju dengan pendapat Rajesh mengenai hak ke atas tanah berkenaan.

“Kadar pengiktirafan tanah adat masih di tahap amat rendah selepas 60 tahun merdeka dan laporan siasatan SUHAKAM telah membuat 18 cadangan mengenai hak tanah tetapi kerajaan menerima 17 sahaja. Tetapi, proses bagi usaha mendapatkan pengiktirafan tanah adat akan mengambil masa panjang. Hanya pada akhir tahun lalu, kerajaan memulakan proses untuk menyusuli beberapa saranan secara sistematik,” kata Joseph tanpa mengulas lebih lanjut.

SUHAKAM dalam laporannya pada 2013 telah membuat 18 saranan kepada kerajaan berdasarkan enam isu utama yang dibawa kepada perhatian mereka berhubung masalah Orang Asli.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor memerintahkan kerajaan negeri supaya membayar sekumpulan Orang Asli dari suku Seletar sebanyak RM5.2 juta (AS $1.26 juta) sebagai pampasan kerana mengambil tanah adat milik mereka sejak lebih 20 tahun lalu.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan negeri itu supaya mewartakan kembali sebidang tanah yang dianggap sebagai tempat kediaman menjadi penempatan Orang Asli.

Menurut satu laporan kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International, aktivis dan peguam isu tanah adat sering menjadi mangsa ugutan, ancaman malah ditangkap polis.

Kematian turut berlaku, menurut laporan itu, yang memetik kes tembakan pada 2016 yang mengorbankan penduduk Sarawak, Bill Kayong, yang semasa hayatnya sering memperjuangkan isu tanah masyarakat Dayak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh