Malaysia Selamatkan Anak Orangutan Dari Dijual di Pasaran Gelap

Ali Nufael
2019.04.08
Kuala Lumpur, Malaysia
190408-MY-orangutan2-599.jpg Komander Pasukan Polis Marin Malaysia, Wilayah 2 Johor, Paul Khiu Khon Chiang sedang menyusukan anak orang utan yang diselamatkan dari sindiket penyeludupan di Muar, Johor, Malaysia, 7Mac, 2019.
[Ihsan Pasukan Polis Marin Malaysia]

Seekor anak orangutan adalah antara sembilan ekor haiwan terancam yang berjaya diselamatkan daripada sindiket penyeludupan apabila pihak berkuasa Malaysia menahan tiga lelaki warga Indonesia dan seorang rakyat tempatan di Muar, di negeri selatan Johor pada hujung minggu.

Komander Pasukan Polis Marin [PPM] Wilayah 2 Johor, Paul Khiu Khon Chiang berkata PPM menemui dua orangutan bersama seekor anak, enam ungka dan seekor musang albino yang disembunyikan di dalam empat tong, dengan anggaran nilai rampasan kira-kira 483 ribu ringgit [AS$117, 839] dalam satu operasi di sekitar Parit Unas, Muar.

Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil maklumat orang awam mengenai cubaan menyeludup yang berlaku di Jeti Nelayan Parit Unas itu.

“Melalui intipan, pihak polis marin melihat sebuah kenderaan Perodua Alza menghampiri jeti tersebut dan kelihatan beberapa individu mahu memuat turun tong dari sebuah bot ke dalam kereta dan semasa dihampiri, pemandu kereta seorang rakyat tempatan cuba melarikan diri tapi berjaya ditahan.

“Tiga lelaki warga Indonesia daripada sebuah bot yang dipercayai digunakan oleh sindiket itu untuk melakukan kegiatan penyeludupan juga ditahan, dan bot dirampas anggota Polis Marin,” kata Khiu sambil menambah kesemua lelaki warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Beliau juga memaklumkan bahawa kesemua haiwan yang diseludup itu dipercayai untuk dijual sebagai haiwan peliharaan di pasaran gelap di sebuah negara jiran.

Pihak berkuasa Malaysia itu juga berkata, sindiket tersebut dipercayai menggunakan perairan Selat Melaka bagi melakukan kegiatan penyeludupan mereka dan sebelum ditahan mereka telahpun menyusuri sepanjang Sungai Muar untuk ke Parit Unas.

Menurut undang-undang perhilitan, seseorang itu perlu mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhilitan sebelum mendapat kebenaran untuk memelihara spesis haiwan terancam sebagai binatan peliharaan.

Kesemua empat lelaki itu ditahan reman sejak Ahad dan disiasat di bawah Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran(ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Jika disabitkan kesalahan di bawah akta hidupan liar, individu itu berdepan dengan 10 tahun penjara atau denda maksimum sebanyak 200 ribu ringgit (AS$48,776) manakala kesalahan di bawah ATIPSOM, seseorang itu boleh berhadapan dengan penjara 15 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen, seseorang itu berdepan dengan denda tidak melebihi 10 ribu ringgit (AS$2,438) atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Pesalah juga layak menerima sebatan sebanyak enam kali.

Dijual di pasaran gelap


Sementara itu, Elizabeth John, jurucakap Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) memberitahu BeritaBenar bahawa haiwan terancam yang berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Malaysia pada hujung minggu itu mungkin untuk pasaran gelap semenanjung Malaysia dan juga sebuah negara jiran.

“Tiada apa yang mengejutkan kerana terdapat beberapa laporan yang mengatakan penyeludupan orangutan dan bayi orangutan ini datang dari Indonesia,

“Malaysia mempunyai spesis orangutan sendiri tetapi haiwan ini berada di Sabah dan Sarawak dan tiada di semenanjung. Mungkin haiwan ini untuk pasaran tempatan dan mungkin juga untuk pasaran gelap di sebuah negara jiran,” tambah Elizabeth.

Menurut jurucakap Jabatan Perhilitan Malaysia, rampasan di Muar itu sudahpun dilaporkan kepada pihak mereka.

“Kita berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa lain dan komited dalam melindungi haiwan terancam daripada dijual di pasaran gelap,” kata jurucakap itu.

Pada Februari lepas, Malaysia telah menyelamat kira-kira 3,300 ekor labi-labi yang berada dalam Senarai Merah Spesis Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar daripada sebuah bot selepas menahan dua lelaki tempatan di perairan Tanjung Tohor berhampiran Muar, di negeri selatan Johor.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] Zon Batu Pahat, Mohammad Othman berkata kesemua labi-labi itu disembunyikan dalam tujuh bungkusan telah ditemui di dalam sebuah bot yang dipercayai diseludup dari Indonesia semasa satu operasi sekitar jam 12.30 awal pagi.

Labi-labi dari spesies Carettochelysinsculpta yang dilindungi dan terancam itu hanya boleh didapati di perairan Australia dan Kepulauan Papau di Indonesia, demikian menurut pakar biologi hidupan luar.

Mohamad berkata, labi-labi itu dianggarkan mempunyai nilai pasaran sekitar 150 ribu ringgit, dipercayai mahu dijadikan sajian eksotik.

Pada September tahun lepas pula Jabatan Kastam Malaysia berjaya menyelamatkan haiwan terancam yang mencecah nilai setengah juta ringgit di pasaran gelap.

Antara haiwan-haiwan yang diselamatkan itu ialah dua ekor orang utan, two ekor musang albino, dua ekor burung cenderawasih, dua ekor burung alba cockatoos, dua ekor burung kakak tua jenis electus, 21 ekor burung bayan nuri, seekor burung kuang raya, 48 ekor anak buaya tembaga dan 355 sugar glider yang dijumpai disimpan di dalam 39 kotak.

Kesemua haiwan itu dijumpai dalam sebuat bot di Langkawi serta Kuala Perlis, dan dipercayaui mahu diseludup ke Thailand.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.