Kes Culik Paderi : Bekas Ketua Polis Negara Nafi Pembabitan Pegawai PDRM

Hadi Azmi
2017.10.30
Kuala Lumpur
171030_MY-khalid-khan-620.JPG Bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar beredar meninggalkan pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia di Kuala Lumpur selepas memberi keterangan mengenai kehilangan empat orang, 30 Okt, 2017.
(Hadi Azmi/BeritaBenar)

Bekas ketua polis Malaysia menolak tuduhan bahawa pegawai agensi keselamatan itu terlibat dalam penculikan seorang paderi Kristian lapan bulan lalu, dan memberitahu panel pencarian fakta sebuah suruhanjaya hak asasi manusia pada Isnin bahawa anggota-anggota berkenaan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kes itu.

Paderi Raymond Koh Keng Joo, 62, diculik oleh sekumpulan lelaki pada siang hari 13 Feb lalu apabila mereka memaksa keretanya berhenti di simpang keluar dari sebuah lebuh raya di Petaling Jaya, berdekatan Kuala Lumpur. Penculikan itu dirakamkan oleh kamera pengawasan. Koh, seorang daripada minoriti Kristian Malaysia, telah hilang sejak itu.

"Perlu ada beberapa lambang polis. Sekiranya tidak ada, itu bukan operasi polis, "kata Khalid Abu Bakar, ketua polis negara yang baru bersara, ketika memberi keterangan semasa ditanya sama ada penculik yang memakai balaclava (topi bulu menutup muka dan leher) itu mungkin anggota polis.

Bekas ketua polis negara itu menghadiri siasatan awam tiga anggota panel yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), sebuah badan kerajaan, untuk menyiasat kes-kes kehilangan empat individu termasuk Paderi Koh.

"Kadang-kala dalam operasi, tidak semua orang akan membawa tanda atau lambang tetapi seseorang pasti mempunyainya," kata beliau.

Rakaman CCTV menunjukkan penculikan Koh telah dirancang tetapi Khalid berkata ia tidak dilakukan secara profesional.

"Gerakan ini semua boleh dipelajari dari filem dan mereka cuba mengikutnya. Ia bukanlah satu-satunya kejadian itu," kata Khalid menjawab soalan peguam Koh dan memetik contoh pembunuhan berkaitan dengan gang.

Penculikan itu, menurut Khalid, nampak tidak kemas.

"Kepada orang awam, ia mungkin nampak cekap," katanya kepada panel itu.

Panel itu menjalankan siasatannya terhadap kehilangan Koh, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya, Ruth Sitepu, serta aktivis sosial Amri Che Mat mengikut Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Siasatan itu yang diterajui ahli panel itu – pesuruhjaya-pesuruhjaya Suhakam iaitu Mah Weng Kai,  Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila - bertujuan  menentukan sama ada kes-kes itu adalah kehilangan tanpa kerelaan yang melanggar undang-undang jenayah dan undang-undang sivil negara.

Ia juga bertujuan untuk mengenal pasti individu atau agensi terbabit serta mahu mengetahui sama ada pegawai polis telah mengambil langkah-langkah mencukupi untuk menyiasat kes tersebut, kata Suhakam dalam satu kenyataan.

'Anda tidak boleh mengatakan bahawa kami tidak melakukan apa-apa'

Kenyataan Khalid pada Isnin bercanggah dengan keterangan saksi kejadian, Roeshan Celestine Gomez, yang mendakwa bahawa seorang inspektor polis di balai polis Kelana Jaya memberitahunya bahawa penculikan itu menyerupai satu operasi polis. Gomez berkata beliau diberitahu demikian semasa membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Panel itu juga meminta Khalid untuk menjawab dakwaan bahawa pihak polis lebih berminat untuk menyiasat tuduhan tentang Koh dan NGO beliau, Harapan Komuniti, terlibat dalam memurtadkan umat Islam untuk menganut Kristian.

Khalid berkata, pihak polis melihat kes itu dari sudut yang meluas dan persoalan mengenai aktiviti paderi itu adalah penting untuk memastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan kehilangannya.

"Terdapat laporan yang mengatakan beliau terlibat dalam memurtadkan orang, jadi ia mesti disiasat, tetapi siasatan utama kami adalah mengenai penculikannya," kata Khalid, yang bersara sebagai ketua polis negara pada awal September. "Anda tidak boleh mengatakan bahawa kami tidak melakukan apa-apa."

Khalid, saksi kelima panel itu, juga berulang kali menolak untuk menjawab beberapa soalan.

"Saya berhak untuk tidak menjawab soalan yang berkaitan dengan suspek kerana kes itu sedang disiasat. Suspek mungkin ditangkap pada masa akan datang, oleh itu, saya tidak boleh berkata apa-apa, " katanya beberapa kali.

Ancaman

Terdahulu, anak lelaki paderi itu, Jonathan Koh berkata, kebanyakan soalan daripada pihak polis adalah berkaitan sama ada bapanya memurtadkan umat Islam.

"Saya berasa kecewa kerana mereka tidak prihatin terhadap penculikannya dan enggan memberikan kami maklumat mengenai kes itu," katanya semasa memberi keterangan.

Jonathan Koh juga memberitahu siasatan itu bahawa bapanya telah menerima panggilan daripada orang tidak dikenali dalam bahasa Arab, yang mereka anggap sebagai ancaman, pada 2016.

"Saya hanya mendengarnya disebut. Ia berlatarkan muzik dan beberapa perkataan. Dalam bahasa Arab, 'Allahu Akbar' (Tuhan Maha Besar)," katanya.

Isteri Koh, Susanna Liew, telah berkata bahawa keluarga itu hidup dalam ketakutan terhadap ancaman bunuh sejak 2011, apabila NGO itu dituduh cuba memurtadkan belia Islam kepada Kristian, perbuatan yang dianggap salah di Malaysia. Masalah keluarga itu bermula apabila pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam di Selangor menyerbu satu majlis makan malam Kesyukuran yang turut dihadiri oleh umat Islam.

Tiga individu lagi hilang

Amri, seorang aktivis sosial, yang juga pengasas bersama sebuah NGO tempatan dan penduduk negeri Perlis, dilihat buat kali terakhir  pada 24 Nov 2016. Kehilangannya mungkin bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa beliau sedang menyebarkan ajaran Syiah, menurut kepada laporan media tempatan.

Saksi-saksi melaporkan bahawa mereka melihat lima kenderaan menghalang laluan jip beliau, yang didapati kosong dan diletakkan berhampiran sebuah empangan dengan cermin hadapannya pecah.

Enam hari kemudian, Hilmi dan isterinya, Ruth, kedua-duanya pengkhutbah Kristian,  dilihat buat kali terakhir berada di rumah mereka di negeri Selangor. Laporan orang hilang tidak difailkan sehingga 6 Mac lalu, kata pegawai.

Blog-blog pula mendakwa bahawa pasangan itu beragama Islam sebelum memeluk agama Kristian dan turut memurtadkan individu lain kepada agama itu.

Lebih daripada 60 peratus daripada 19.5 juta rakyat Malaysia beragama Islam.

Sekurang-kurangnya 15 orang telah disapina oleh siasatan awam itu dan 35 orang, termasuk anggota keluarga dan polis, telah disoal siasat.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.