Banjir di Kedah, Perlis musnah tanaman padi bernilai RM50 juta

Hampir 6,000 hektar sawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda di Kedah dan Perlis musnah dalam banjir terburuk dalam tempoh 20 tahun.
Iskandar Zulkarnain dan IIi Shazwani Ihsan
2024.09.25
Kangar, Perlis
Banjir di Kedah, Perlis musnah tanaman padi bernilai RM50 juta Keadaan sawah padi yang rosak akibat banjir di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah, 25 September 2024.
[Mohamad Bimo/BenarNews]

Ribuan pesawah di negeri Kedah, pengeluar utama padi di Malaysia berdepan kerugian apabila hujan lebat dan bencana banjir minggu lalu memusnahkan tanaman bernilai RM50 juta (AS$12.1 million) yang sudah sedia untuk dituai.

Abdul Rashid Yon, pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Kebangsaan (Pesawah) berkata hampir 6,000 hektar sawah padi telah tenggelam, dalam bencana yang menyebabkan kemusnahan paling buruk dalam tempoh hampir dua dekad.

‘Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) hampir 6,000 hektar sawah padi di bawah seliaan agensi di negeri Kedah dan Perlis ditenggelami air.

“Kita menjangka nilai kemusnahan sebenar adalah jauh lebih besar memandangkan Mada menguruskan keseluruhan lebih 100,000 hektar padi. Ada lebih 30,000 hektar padi lagi diusahakan di bawah seliaan agensi lain seperti Pertubuhan Peladang Kawasan di Kedah,” ujarnya kepada BenarNews.

Menurut Abdul Rashid, bencana itu memberi tekanan kepada para petani yang rata-rata berada di bawah garis kemiskinan.

“Para pesawah yang terjejas hilang pendapatan sama sekali. Kita bimbang mereka terpaksa berhutang untuk mendapatkan modal sebagai persediaan memulakan musim baharu tanaman dalam masa sebulan lagi,” katanya lagi.

Beliau menyifatkan bencana kali ini amat membebankan para pesawah kerana ia berlaku dalam fasa musim menuai, berbanding bencana banjir besar pada tahun 2005 dan 2010.

“Pada tahun 2005 dan 2010, banjir berlaku semasa padi baru membesar, maka nilai kerugian tidak sebenar kali ini kerana padi sudah hampir masak dan menunggu hari untuk dituai,” jelasnya lagi.

Kesan sekuriti makanan

Abdul Rashid berkata bencana itu memberi kesan kepada sekuriti makanan negara itu kerana beras adalah makanan ruji rakyat tempatan.

“Pada perkiraan kami berdasarkan jumlah 6,000 hektar sawah padi yang tenggelam, 30,000 metrik tan padi telah musnah.

“Ini sekaligus memberi kesan kepada sekuriti makanan negara kerana ia meningkatkan kebergantungan Malaysia kepada beras putih impot,” katanya lagi.

Pada tahun 2023, Malaysia mengimpot 1.41 juta metrik ton padi, kebanyakannya beras putih, bagi menampung 35 hingga 40 peratus permintaan beras dalam negara itu.

Justeru, Abdul Rashid menyeru kerajaan menyegerakan penyaluran sumbangan pampasan kepada para pesawah yang terjejas bagi memastikan kelangsungan pengeluaran beras tempatan.

“Kerajaan mesti mencari jalan menambahbaik sistem sokongan kepada pesawah dalam menghadapi cabaran kerana kebanyakan mereka sudah berumur.

“Bencana besar seperti ini memberi kesan kepada semangat golongan pesawah yang masih setia mengusahakan sawah mereka, sedangkan golongan muda kurang berminat mengusahakan tanaman ini,” katanya lagi.

SAWAH_PADI_BANJIR_KEDAH_02.jpg

Keadaan sawah padi yang rosak akibat banjir di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah, 25 September 2024. [Mohamad Bimo/BenarNews]

Kesan perubahan iklim

Bagi para pesawah, mereka sama sekali tidak menjangka akan diuji dengan satu lagi musibah selepas mengharungi musim kemarau panjang akibat fenomena El-Nino.

Soleh Othman, 71, pesawah dari Padang Kabu, Kodiang yang mengusahakan sawah seluas 3 relung (0.8 hektar) hanya dapat melihat dengan hiba apabila separuh daripada tanamannya yang sudah boleh dituai, musnah ditenggelami banjir.

“Padi sudah masak 15 hari dan menunggu hari untuk dituai tetapi terpaksa tangguh disebabkan hujan turun setiap hari

“Dalam masa beberapa hari, padi dah rosak sebab rebah ditenggelami banjir sedalam setengah meter. Saya jangka hilang pendapatan lebih RM1,000 akibat banjir.

“Sebelum ini kami hadapi masalah akibat kemarau panjang luarbiasa, sekarang diuji pulak dengan banjir selepas padi menunggu hari untuk dituai,” ujarnya kepada BenarNews.

Soleh berharap kerajaan akan menyalurkan bantuan pampasan yang sewajarnya bagi meringankan beban mereka.

“PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) ada maklum suruh isi borang bantuan banjir. Saya harap permohonan akan diluluskan untuk ringankan beban untuk persiapan modal bagi musim padi akan datang,” katanya lagi.

Rakannya, Abdullah Zain, 71, berkata padi yang ditanamnya juga telah masak dan menanti giliran untuk proses menuai sebelum banjir melanda.

“Padi masak lebih 10 hari tapi kami terpaksa tangguh menuai sebab hujan lebat setiap hari, jadi jentera padi tidak dapat masuk ke sawah,” katanya.

Abdullah berkata tanaman yang diusahakan di sawah seluas 2.5 relung (0.72 hektar) akhirnya ditenggelami banjir.

“Tak dapat diselamatkan (padi), semuanya musnah akibat tenggelam. Musim ini hilang semua pendapatan, malah terpaksa menanggung kerugian,” kata Abdullah yang telah membelanjakan lebih RM1,000 sebagai modal mengusahakan sawahnya.

Yusof Idris, 64, dari Pendang berkata ini kali ketiga berturut-turut dia tidak mendapat hasil dari sawah yang diusahakannya akibat bencana banjir.

Menurut Yusof, sawahnya yang terletak hampir dengan tebing Sungai Pendang tenggelam setiap kali bencana banjir.

“Sawah di sini terletak dalam kawasan yang rendah dan sangat terdedah kepada banjir setiap kali hujan lebat sehingga Sungai Pendang melimpah.

“Kalau ikutkan kecewa, memang sudah lama berhenti mengusahakan sawah, tetapi kami membesar sebagai pesawah.

“Tanaman padi sudah sebati dan sebagai pesawah kami juga ada tanggungjawab kepada sekuriti makanan negara.

“Cuma kami berharap kerajaan akan mengambil tindakan untuk membaiki infrastruktur bagi melindungi tanaman kami,” ujarnya kepada BenarNews.

Pada kemuncak bencana, lebih 8,400 mangsa dari tujuh daerah di Kedah terpaksa berpindah ke pusat penempatan sementara minggu lalu apabila kediaman mereka dilanda banjir susulan banjir lebat berlanjutan selama empat hari, yang diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar yang menyebabkan aliran air sungai ke laut lebih perlahan.

Antara kawasan yang paling teruk terjejas adalah ibu negeri Kedah, daerah Kota Setar selain Kubang Pasu, Pokok Sena dan Pendang.

Semasa lawatannya meninjau mangsa banjir pada Sabtu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM13 juta (AS$3.14 juta) untuk membaiki kerosakan infrastruktur akibat banjir dan pampasan kepada golongan petani, khususnya pesawah padi serta penternak yang terjejas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.