Rakyat Palestin di Malaysia sambut Aidilfitri penuh hiba

Pelarian Palestin terkenang ahli keluarga yang terkorban di Gaza, suasana hari raya sebelum perang tercetus hanya tinggal memori.
Ahmad Mustakim Zulkifli
2024.04.09
Kuala Lumpur
Rakyat Palestin di Malaysia sambut Aidilfitri penuh hiba Penyelidik pasca siswazah, Abdalrahim Shehab, (dua dari kanan) yang berasal dari Jabalia, utara Gaza bersama sebahagian anaknya di rumah mereka di Putrajaya, 7 April 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Setelah kampung halaman mereka di Gaza ranap tinggal puing akibat pengeboman bertali arus tentera Israel, rakyat Palestin yang menetap di Malaysia meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh hiba dan berat hati, ketika ramai antara ahli keluarga mereka cedera atau terkorban.

Menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 30,000 rakyat Palestin di Gaza termasuk kanak-kanak terkorban dalam serangan balas Israel yang sehingga kini sudah memasuki bulan ke tujuh sejak serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengakibatkan 1,100 warga Israel terbunuh.

Bercakap kepada BenarNews, penyelidik pasca siswazah Abdalrahim Shehab, 46, yang berasal dari Jabalia, utara Gaza berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini dipenuhi dengan kesedihan memandangkan keluarganya kehilangan ramai sanak-saudara.

Kira-kira 80 ahli keluarga Abdalrahim dan sebelah isterinya, Jehad Mohammed Abdul Hadi, 41, terkorban akibat pengeboman tentera Israel di Gaza.

Katanya seramai 46 orang saudara-maranya terbunuh ketika awal perang meletus pada Oktober tahun lalu manakala 24 lagi maut dalam serangan pada Disember lepas.

Jehad pula kehilangan 20 orang sanak saudara manakala seramai 20 orang lagi cedera melibatkan kedua-dua belah keluarga pasangan itu.

“Keluarga saya telah berada di Malaysia lebih 10 tahun. Selalunya, beberapa hari sebelum hari raya kami menyediakan menu istimewa (biskut Arab) yang dipanggil maamoul dan ka’ak iaitu hidangan wajib untuk Aidilfitri yang mengingatkan kami kepada suasana perayaan di Gaza. Namun tahun ini tiada sesiapa yang meminta menu itu.

"Walaupun hari raya tahun ini diselubungi kesedihan, kami tetap memanjatkan kesyukuran dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri dan kemudian bertemu komuniti Palestin," katanya yang berkhidmat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

kuih-palestin.jpg
Hidangan wajib pada Aidilfitri di Gaza, biskut Arab yang dipanggil maamoul yang disediakan oleh keluarga Abdalrahim Shehab di Putrajaya, 18 April 2023. [Ihsan Abdalrahim Shehab]

Maamoul merupakan biskut Arab yang dibuat daripada tepung dan diadun bersama-sama kurma atau kekacang manakala ka’ak ialah sejenis roti seakan donut yang diperbuat daripada adunan tepung, telur dan bijan.

Aidilftri diraikan sebagai simbol kemenangan umat Islam dalam menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan sepanjang Ramadan.

Pada pagi 1 Syawal, umat Islam disunatkan mengerjakan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah di masjid atau kawasan lapang.

Komuniti Palestin di Malaysia secara tradisinya akan berkumpul untuk menyambut Aidilfitri di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, negeri Selangor.

Mereka akan menyediakan aneka makanan tradisi negara Asia Barat itu antaranya musakhan, maqluba dan sup freeka.

Kira-kira 4,000 rakyat negara Asia Barat itu menetap di Malaysia, menurut angka daripada Kedutaan Palestin.

“Semasa pertemuan di UIAM, kami mengucapkan selamat hari raya kepada satu sama lain dan menikmati juadah dan minuman. Kami akan menziarahi rakan atau saudara-mara pada sebelah petang,” kata Abdalrahim yang menetap di Putrajaya.

Bapa lima orang anak itu juga merindui suasana kemeriahan berkumpul dengan keluarga di Gaza semasa Aidilfitri.

"Di Gaza, kami sekeluarga menghabiskan malam-malam terakhir Ramadan dengan beriktikaf hingga subuh di masjid.

“Jalan raya juga dihias sejak awal Ramadan. Saya dan keluarga sering membersihkan jalan di depan rumah. Saya rindukan suasana itu di Gaza… (kali ini) kami sekeluarga tidak merasakan keseronokan hari lebaran.

“Anak-anak saya pula sudah terbiasa dengan tradisi perayaan Malaysia. Mereka amat suka rendang dan lemang.”

Abdalrahim belum berkesempatan untuk pulang ke Gaza selepas berpindah ke Malaysia. Hanya isteri dan tiga anaknya sempat pulang pada 2018 untuk menziarahi datuk dan nenek mereka.

Perang hancurkan Aidilfitri

Bagi aktivis Haya Abu Nasser, 26, yang baru tiba di Malaysia dari Gaza pada 13 Mac lalu, dia merindui suasana Aidilfitri di Gaza yang meriah.

“Di Gaza, kami mempunyai keluarga besar yang akan dilawati. Kanak-kanak akan mengutip duit raya, di jalanan ada nyanyian dan keraian Aidilfitri. Kami rindukan kehidupan itu.

“Pada hari raya, kami memakai baju baharu dan menikmati hidangan yang enak,” katanya.

Gaza merupakan sebahagian wilayah Palestin seluas 365 kilometer persegi dengan populasi kira-kira dua juta penduduk, menjadikannya antara wilayah terpadat di dunia.

Tahun lalu, Haya sempat meraikan Aidilfitri di Gaza. Keluarganya yang menetap di Deir-Sneid, utara Gaza turut menghidangkan maamoul pada pagi raya selain juadah Al-Fesikh, ikan yang diperam dengan garam dan salad istimewa dipanggil Al-Ghazawya.

HAYA-PALESTIN.jpg
Aktivis Haya Abu Nasser memberitahu penduduk Gaza kini diancam kebuluran akibat perang ketika ditemui BenarNews di Kuala Lumpur, 7 April 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Haya yang merupakan petugas sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Gaza sempat menyaksikan sendiri kemusnahan bandar itu ketika perang meletus dengan 14 ahli keluarga terdekatnya di Khan Younis terkorban.

Dia bersama keluarganya terpaksa berlindung di kem pelarian Al-Nusairat, di tengah Gaza sebelum berpindah ke Khan Younis. Mereka menetap di sana selama 60 hari sebelum bergerak ke Rafah atas arahan tentera Israel.

Kata Haya, peperangan telah menghancurkan suasana hari raya. Gaza dipenuhi kesan runtuhan.

“Orang ramai sedang kebuluran. Ramadan tahun ini penuh kesukaran dan mengecewakan untuk menyambut hari raya dalam keadaan begini,” tambahnya yang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa di Lincoln University College, Petaling Jaya.

Seorang lagi pelajar dari Palestin, Anas Kamal Abuatta, 23, yang mengikuti pengajian bidang ekonomi di UIAM berkata, hari raya kali ini begitu suram dengan apa yang terjadi di Gaza.

Anas merasa hiba mengenangkan 20 orang saudara-maranya terkorban selain beberapa ahli keluarga mengalami kecederaan termasuk adiknya.

“Semua rakan saya di sini mesti ada salah seorang ahli keluarga mereka terkorban di Gaza. Kami semua sedih,” katanya yang datang ke Malaysia pada 2020.

Anas turut menunjukkan sepasang baju Melayu yang telah dibelinya untuk menyambut lebaran tahun ini.

Walaupun hiba mengenangkan ibu bapa dan keluarganya di Palestin, ujar Anas, dia perlu meneruskan hidup dan mahu menamatkan pengajiannya dengan cemerlang.

anas-gambaradik.jpg
Anas Kamal Abuatta menunjukkan gambar adik-beradiknya di Gaza dari telefon bimbitnya ketika ditemui di UIAM, Gombak, Selangor, 5 April 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia merupakan antara negara Islam tumpuan penghijrahan rakyat Palestin yang tertindas akibat pendudukan Israel sejak lima dekad lalu untuk meneruskan kehidupan termasuk melanjutkan pelajaran.

Ketika di debat terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 Januari lalu, Menteri Luar Malaysia mengulangi desakan gencatan senjata serta-merta dan menentang perpindahan berterusan rakyat Palestin secara paksa.

Malaysia turut mahu Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh PBB dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.