Palu: Malaysia Mahu Sumbang RM500 Ribu Kepada Indonesia

Ali Nufael
2018.10.01
Kuala Lumpur, Malaysia
181001-ID-quake-1000.JPG Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat yang tertanam dari runtuhan sebuah hotel akibat gempa bumi di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia, 1 Oktober 2018.
[Yayank Stiv/BeritaBenar]

Malaysia mahu menyumbang 500 ribu ringgit kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia, dengan badan bukan kerajaannya Mercy Malaysia turut akan menghantar pasukan penyelamat ke kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata keputusan untuk menyalurkan sumbangan itu dibuat selepas beliau bercakap dengan Timbalan Presiden Indonesia Jusuf Kalla menerusi telefon pada Isnin.

“Memang Indonesia sekarang terbuka menerima sumbangan dan bantuan, jadi kita akan hantar SMART Team yang tahu tentang soal mencari dan menyelamat sebab kita kena ‘race against time. Kita juga akan memberikan sumbangan 500 ribu ringgit untuk menolong mereka menghadapi musibah yang baru sahaja berlaku,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur seperti dilaporkan media tempatan.

Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia Ahmad Faizal Mohd Perdaus memberitahu BeritaBenar bahawa setakat ini badan bukan kerajaan itu telahpun menghantar dua anggotanya ke Palu untuk menganalisa keadaan di tempat bencana sebelum penghantaran misi bantuan dapat dilakukan seterusnya.

"Kita sudahpun menghantar dua individu untuk menganalisa keadaan. Mereka berkemungkinan sudah tiba di Makassar hari ini(Isnin), dan  perlu mencari jalan darat atau udara ke tempat yang terkesan.

"Setakat ini kita sedang mempersiapkan satu pasukan untuk dihantar ke Palu secepat mungkin tetapi kita perlu menunggu maklumbalas dari rakan kita di Indonesia," katanya semasa dihubungi di Kuala Lumpur pada Isnin.

Tambah Ahmad Faizal, jumlah penyelamat yang akan dihantar adalah di antara lima ke 20 orang bergantung kepada aksesibiliti dan pasukan tersebut akan merangkumi pasukan perubatan yang mampu berkhidmat dalam situasi kecemasan.

Jakarta terima bantuan

Indonesia pada Isnin berkata, pentadbiran Jakarta mengalu-alukan bantuan asing untuk mencari dan menyelamat mangsa terutamanya dalam runtuhan bangunan runtuh selepas berlakunya gempa bumi dan tsunami di kepulauan Sulawesi itu sejak tiga hari lepas.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Wiranto berkata, Presiden Joko Widodo telah menyatakan persetujuan dan memberi kebenaran keapda negara itu untuk menerima bantuan asing daripada 18 buah negara yang menawarkan untuk membantu.

"Presiden telah memutuskan untuk menerima bantuan dari negara-negara asing. Kami telah menerima tawaran bantuan dari banyak negara dan kami sangat menghargainya," tambah Wiranto di Jakarta pada Isnin.

Beliau berkata,  hampir 60 ribu penduduk tempatan telah dipindahkan ke kota Palu, dan kebanyakan mangsa memilih untuk tidur di tempat terbuka kerana takut jika berlakunya gempa bumi sekali lagi.

Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) menyatakan pada Isnin, seramai 844 orang maut dan 90 orang dilaporkan hilang akibat gempa bumi berskala richter 7.4 diikuti dengan tsunami.

Sebelas yang terkorban adalah dari Palu, ibukota Sulawesi Tengah, sementara daerah-daerah lain seperti di kabupaten Donggala masih lagi belum diketahui kerana daerah terlibat berada di kawasan terpencil  dan tidak boleh dihubungi dengan jalan darat akibat kerosakan teruk, kata jurucakap BNPB Sutopo Nugroho.

Tetapi kumpulan bantuan kemanusian Indonesia, Aksi Cepat Tanggap (ACT), berkata maklumat yang dikumpul oleh sukarelawan badan bukan kerajaan itu menunjukkan sekurang-kurangnya 1,203 mayat telah ditemui.

Sutopo mengakui laporan angka kematian yang agak tinggi hanyalah "anggaran".

"Jumlah dijangka meningkat kerana ramai lagi yang belum dikenalpasti dan ramai lagi masih tertimbus di bawah runtuhan,” katanya, sambil menambah sekurang-kurangnya 540 orang cedera parah manakala 16,700 hilang tempat tinggal.

Menurut Sutopo lagi, siasatan awal mendapati sejumlah 71 warga asing dikenalpasti ada di kawasan gegaran dan ketika tsunami menghempas Palu, ramai daripada mereka berada di pantai.

"Tiada bunyi amaran. Ramai yang tidak tahu tentang ancaman tersebut dan meneruskan aktiviti mereka di pantai," tambahnya lagi.

Tarik balik amaran tsunami


Pakar seismologi tempatan berkata gegaran berskala richter 7.4 di catatkan tetapi Kajian Geologikal US mencatatkan gegaran 7.5 skala richter yang mampu menghasilkan kerosakan yang besar.

Agensi Meteorologikal, Geofizikal dan Klimatologi Indonesia telah mengeluarkan amaran tsunami selepas gegaran tetapi menarik semula amaran tersebut setengah jam kemudian.

Sementara itu, sebuah lagi organisasi misi bantuan Mycorp dari Malaysia akan menghantar seorang anggotanya ke Palu pada Rabu sebelum menyediakan pasukan bantuan ke sana.

Muhammad Ashraf Fitri yang bekerja sebagai jurutera memberitahu BeritaBenar bahawa beliau akan ke Palu untuk meninjau kawasan terlibat sebelum Mycorps, sebuah badan bukan kerajaan kemanusian menghantar bantuan ke sana.

"Saya perlu ke sana sebelum yang lain datang. Saya perlu meninjau dan menganalisa keadaan serta menghantarkan laporan mengenai situasi di Palu kepada Mycorps," katanya yang sebelum ini pernah menyertai misi bantuan kemanusian Mycorps di Sri Lanka.

Kedutaan Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pejabatnya sudahpun berkomunikasi dengan dua orang rakyat Malaysia di Palu.

Kedua-dua rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Farah Liana Basri dan Vijayan Govinathan dilaporkan selamat.

"Mereka sudahpun keluar dari kawasan yang terkesan. Kedutaan akan terus memberikan khidmat konsular pada mereka," kata seorang jurucakap kedutaan itu.

Menurut pejabat kedutaan itu, Farah Liana sudah menaiki pesawat Air Asia untuk pulang ke Kuala Lumpur ketika artikel ini ditulis manakala Vijayan dijadualkan terbang dari Poso ke Jakarta pada Selasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.