Mimpi ngeri hakisan pantai Terengganu, nasib penduduk tidak menentu
2025.02.12
Kuala Terengganu

Hempasan ombak besar yang kuat pada musim monsun sejak Oktober lalu menyaksikan jalan pesisir di Kampung Pengkalan Maras dan Batu Rakit, Kuala Terengganu akhirnya ranap dihanyutkan ke laut
Kesan kemusnahannya amat mengejut BenarNews ketika melakukan tinjauan kali kedua pada Januari lepas apabila mendapati ombak monsun yang kuat telah memusnahkan jalan dan rumah serta menjadikan perniagaan porak-peranda.
“Tempat [proses] ikan masin ni habis dah, dinding simennya telah runtuh dan hanya tinggal saluran paip. Lain semuanya dihanyut ombak semuanya. Hanya tinggal kedai ini saja...," luah Manan Ali yang hampir 30 tahun mengusahakan perniagaan itu.
Hanya berjarak 20 meter dari jalan yang runtuh, tempat menjemur ikan masin yang dibinanya sejak 1990 runtuh sepenuhnya akibat dibadai ombak.
“Pada November lepas, ada roboh sedikit tetapi kami masih boleh berniaga, tetapi 11 Januari lepas memang roboh sepenuhnya... licin,” katanya lagi.
Akibat dilanda ribut kencang dan ombak kuat, kedai ikan masin milik Manan yang ranap itu tidak dapat diperbaiki lagi.
Sebenarnya sejak lebih satu dekad, penduduk kampung telah menyaksikan fenomena hakisan pantai itu yang semakin dekat dengan kawasan penempatan mereka tetapi sejak kebelakangan ini keadaan semakin parah.
Namun kebanyakan peniaga yang terkesan belum lagi menerima bantuan dan timbul persoalan adakah mereka dibiarkan bersendirian untuk menghadapi masalah ini?
Bagi Manan, beliau masih merenung tentang nasib masa depannya kerana selama ini pembuatan ikan masin menjadi punca utama rezekinya untuk menanggung keluarga.
“Sekarang rumah (gerai) ikan masin dah roboh. Duduk-duduk saja. Maknanya hilang mata pencarian, hilang pendapatan," katanya.
Setakat ini, sebahagian tanah milik Manan,71, yang disewakan kepada sebuah kedai kopi masih lagi bertahan tetapi itu pun hanya membilang hari kerana waktunya untuk 'disedut' ke laut mungkin boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja.
Pemilik Kedai Kopi Payung, Muhd Rushdi Samsudin, 43, berkata sebenarnya beliau sudah beberapa kali memindahkan operasi perniagaannya itu ekoran hakisan pantai.
“Sebenarnya, kami sudah tiga kali berpindah. Benteng batu yang dibina di hadapan kedai sekarang adalah bantuan daripada kerajaan Persekutuan pada 2 Disember 2023. Mereka terus datang buat apabila hakisan berlaku.
“Cumanya tahun lepas, dah terhakis, nampak kesan-kesan terhakis tapi senyap saja [tiada tindakan]. Bila Januari dah kena sampai macam ini (runtuh), baru mereka [pihak berkuasa tempatan] nak ambil tindakan,” ujarnya.

Harapan kepada pemecah ombak
Muhd Rushdi turut menyatakan kerisauan kerana projek pemecah ombak yang sedang dibina bagi mengekang masalah hakisan pantai masih belum dapat disiapkan lagi.
“Ni baru dua breakwater [pemecah ombak], dua breakwater di sini pun tak siap. Setahun berlalu pun tak siap. Jadi nak siap lagi enam (breakwater) tu rasa 2026 mungkin tak siap,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Exco kerajaan negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata projek pemecah ombak tersebut tidak mengalami masalah kelewatan dan berharap ia bakap siap menjelang 2026.
“Pembinaan breakwater telah mencapai 20 peratus melibatkan 16 buah breakwater. Projek ini tidak mengalami masalah kelewatan.
“Syarikat pembina juga belum didenda dan diharapkan projek ini siap pada 2026. Tak ingat bulan berapa,” jelasnya kepada BenarNews.
Dalam pada itu, keadaan hakisan yang menjejaskan kawasan tanah perkuburan di Kampung Pengkalan Maras juga semakin serius.
Ketika BenarNews melakukan lawatan terakhir pada Disember lalu, sebanyak lima kubur telah dipindahkan akibat hakisan pantai.
Sebulan selepas itu, penduduk berasa makin bimbang kerana langkah menambak dengan batu tidak mencukupi untuk menghentikan kerosakan yang lebih teruk.
Namun kali ini masalah tersebut ditangani dengan cara yang berbeza apabila penduduk memutuskan untuk membatalkan rancangan awal bagi memindahkan kubur-kubur yang terancam hakisan itu.
“Kita putuskan tiada pemindahan kubur. Sebab kalau pindah kubur, hakisan makin kuat.
“Bila nak pindah kubur, (kesan hakisan) dia makin tinggi, makin dalam, jadi lubang makin luas. Kita nak kambus guna tenaga manusia. Kalau kren boleh masuk tak apa, jadi keputusan ni memang kita takkan pindahkan,” kata seorang penduduk, Amir Akbar.

Berdasarkan situasi semasa, kerosakan akibat hakisan berlaku lebih cepat melebihi kemampunan pihak berkuasa untuk bertindak hingga membuatkan penduduk yang terkesan mula hilang sabar.
Jika sedekad lalu, jarak pantai dengan jalan dan rumah dianggar kira 100 meter namun kini ia telah dibaham ombak dan ditelan laut.
Pemilik kedai makan, Norfazila Mustafa, 37, meluahkan rasa marahnya kerana kerja-kerja pembinaan pemecah ombak tersebut tidak dilakukan ketika sebelum musim monsun tahun lalu.
“Rasa nak marah lah. Maknanya, masa keadaan tak hujan (bukan musim monsun), dia [kontraktor] tak buat kerja. Masa mari (monsun) baru nak buat kerja. Lepas tu, mulalah, (beri alasan) tak ada peruntukanlah. Batu tak ada lah,” katanya.

Minta bantuan
Tinjauan BenarNews mendapat kedai makan ikan celup tepung milik bapa Norfazila juga hampir ranap akibat hakisan pantai, namun usahanya untuk mendapat bantuan daripada pihak berwajib masih belum mendapat maklum balas.
Norfazila berkata beliau turut membuat permohonan mendapatkan bantuan seperti bapanya namun pihak berwajib memaklumkan peruntukan bagi 2024 telah habis digunakan.
“Dia kata tak ada peruntukan. Peruntukan habis untuk tahun yang lepaslah (2024), tunggu tahun ni pula (2025). Dia kata kedai memang payah (dapat bantuan), kalau rumah mereka akan berilah duit. Kalau macam kedai ni memang tak ada peruntukan,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Mazlan Abdullah, 53, berkata beliau mungkin perlu meminta pampasan sekiranya rumahnya roboh akibat hakisan pantai yang mungkin berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Namun katanya sekiranya beliau mempunyai tapak tanah, pihak Majlis Agama Islam dam Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memberikan jaminan mereka akan membinakan sebuah rumah baharu namun hanya bertaraf Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mempunyai dua atau tiga bilik.
"Pampasan tu mungkin kita minta, tapi tak tahulah kerajaan bagi ke tak. Cuma ada khabar, dia cakap kalau nak pindah, bagi tahu.
"MAIDAM akan tolong bayar sewa bulanan rumah dengan bajet RM700 ke bawah. Lepas tu dia kata kalau ada tanah, dia akan beri sebuah rumah, tapi rumah tu sekadar PPRT. Pampasan tu tak tahu, kemungkinan ada tapi mungkin tak banyak," ujarnya.

Sehingga kini penduduk kampung yang terkesan masih ramai belum menerima bantuan kewangan meskipun dalam tempoh dua bulan sejak Disember lalu, kemusnahan akibat hakisan pantai itu amat memilukan hati.
Kini, ramai yang bimbang tindakan kerajaan untuk mengekang hakisan pantai itu mungkin sudah terlambat. Berjayakah pemecah ombak dan langkah perlindungan lain menyelamatkan penduduk?
Dan masih wujudkah lagi harta benda yang perlu dilindungi apabila projek pemecah ombak itu siap menjelang 2026?
Ini laporan pertama BenarNews mengenai isu yang sama: