COVID-19: Kerajaan Pantau Hospital Berikutan Kenaikan Kes Harian

Malaysia catat lebih 6,000 kes tiga hari berturut-turut.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-11-12
Share
COVID-19: Kerajaan Pantau Hospital Berikutan Kenaikan Kes Harian Pelancong tempatan mengunjungi tempat bersejarah Kota A Famosa, di Bandar Hilir, Melaka, 19 September 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Penularan wabak COVID-19 di Malaysia merekodkan peningkatan dengan bilangan kes harian mencecah lebih 6,000 selama tiga hari berturut-turut, demikian kata Kementerian Kesihatan pada Jumaat, dengan trend itu berlaku ketika negara sedang berdepan dengan dua pilihan raya negeri yang dijadualkan berlangsung sebelum hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pihak berkuasa kesihatan kini memantau status kemasukan pesakit ke hospital dan lain-lain indikasi, manakala Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah pula menggesa orang ramai supaya mematuhi protokol kesihatan dengan ketat dan mengambil suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 segera bagi yang layak.

"Kadar kebolehjangkitan COVID-19 telah kembali meningkat kepada 1.0. Kami sedang memantau bilangan kemasuk pesakit ke hospital serta petunjuk-petunjuk lain yang berkaitan.

"Sekiranya anda telah diberikan janji temu untuk mendapat suntikan dos penggalak, ambil suntikan itu. Dan warga emas patut mengelak daripada berada di mana-mana tempat sesak, sekiranya boleh berbuat demikian," kata Khairy melalui laman media sosial Twitternya pada Jumaat.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan, bilangan kes harian direkodkan di Malaysia meningkat kepada lebih 6,000 selama tiga hari berturut-turut sejak Rabu (6,243) diikuti 6,323 pada Khamis dan 6,517 pada Jumaat. Kali terakhir kes harian melebihi 6,000 adalah pada 29 Oktober lepas dengan 6,060 kes.

Secara kumulatif, sebanyak 2,528,821 kes jangkitan COVID-19 telah direkodkan setakat 11 November, termasuk 29,535 kematian, sejak Malaysia mula dilanda pandemik pada Januari tahun lepas.

Noor Hisham turut menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan kadar kebolehjangkitan dalam negara, dan membuat gesaan serupa supaya rakyat terus mematuhi semua prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko penularan koronavirus.

Beliau berkata, graf bilangan kes harian semakin mendatar tetapi khuatir sekiranya ia akan kembali meningkat ekoran peningkatan kadar kebolehjangkitan.

"Dimaklumkan kadar kebolehjangkitan telah meningkat kembali kpd 1.0. Ini bermakna kes harian semakin mendatar dan kebimbangan kita adalah jika ia kembali meningkat.

"Orang ramai digesa patuhi SOP dan kepada kumpulan rentan, dapatkan segera dos pengalak bila janji temu diberi," kata Noor Hisham melalui Twitternya pada pagi Jumaat.

Menjelang pilihan raya negeri

Peningkatan kadar kebolehjangkitan berlaku ketika negeri Melaka yang terletak di selatan Semenanjung Malaysia sedang menjalani tempoh berkempen untuk pilihan raya negeri itu, sebelum hari mengundi yang dijadualkan berlangsung pada 20 November.

Selepas Melaka, Sarawak yang terletak di Kepulauan Borneo pula dijangka mengadakan pilihan raya negerinya sebelum hujung tahun ini.

Berdasarkan data pihak berkuasa, kadar penggunaan katil hospital di Melaka adalah yang kedua tertinggi dengan 82.3 peratus setakat hari Jumaat. Ia berada di belakang Terengganu yang merekodkan 88.6 peratus penggunaan katil manakala kadar penggunaan katil hospital di Sarawak pula adalah pada 72.7 peratus.

Kadar penggunaan katil hospital adalah satu kayu ukur yang digunakan oleh pihak berkuasa kesihatan bagi membuat jangkaan tahap persediaan sesebuah fasiliti kesihatan atau negeri untuk menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan kes.

Pada Julai lalu, Noor Hisham pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sistem kesihatan negara berada di ambang kelumpuhan, ketika negara berdepan dengan peningkatan kes harian COVID-19 yang amat mendadak.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada Jumaat turut membuat gesaan kepada orang ramai supaya tidak berasa selesa dengan pengumuman kerajaan bahawa negara akan memasuki fasa endemik.

Presiden MMA Koh Kar Chai memberi amaran bahawa bilangan kes boleh meningkat semula sekiranya orang ramai tidak berhati-hati dan mematuhi prosedur pengawalan wabak.

"Ia sudah cukup teruk yang bilangan kes positif harian kini sudah mula meningkat semula, dan ia tambah merisaukan apabila kadar kebolehjangkitan kembali mencecah 1.0," kata beliau dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurut Koh, ramai kini didapati mengabaikan keperluan memakai topeng muka serta mengamalkan penjarakan fizikal mereka ketika melakukan aktiviti harian.

Beliau turut mengingatkan orang ramai mengenai risiko kematian sertai komplikasi jangka panjang disebabkan COVID-19, atau dikenali sebagai Long COVID.

"Kita masih melihat kes kematian, dan bagi mereka yang bernasib baik dapat sembuh pula, ramai yang memerlukan rawatan jangka panjang dan rehabilitasi kerana menderita akibat kerosakan dibuat virus itu."

Tambah beliau, vaksinasi, penggunaan topeng muka serta amalan penjarakan fizikal masih merupakan tiga aspek penting dalam melawan COVID-19.

Pengguna laman media sosial turut menyuarakan kebimbangan atas pengumuman yang dilakukan oleh Khairy dan juga Noor Hisham.

Mohd Noor Aliff Mohd Marzuki dalam ciapan di Twitter berkata kempen yang dijalankan calon parti politik dalam pilihan raya negeri Melaka mungkin akan membawa kesan yang lebih buruk.

"Secara jujurnya tidak semua rakyat Malaysia patuh SOP. Bila ada yang berkumpul akan ada perlanggaran SOP, " katanya.

Karisma Baiduri juga melalui laman Twitter meminta Noor Hisham untuk memberikan amaran kepada ahli politik yang tengah berkempen untuk mematuhi peraturan.

"Patuhlah SOP, jangan bertemu bersemuka dengan rakyat. Kesian rakyat kalau kena jangkit dengan COVID-19 disebabkan aktiviti ziarah ahli politik untuk berkempen. Kami rakyat dah penat," katanya.

Pilihan raya negeri Sabah tahun lalu dikatakan pencentus gelombang ketiga COVID-19 di Malaysia.

Menurut kajian yang diterbitkan di jurnal Plos Computational Biology, terdapat peningkatan sebanyak 64.4 peratus kes baharu di negeri-negeri selepas PRN Sabah.

Kajian itu dibuat oleh satu kumpulan yang kebanyakan anggotanya di Saw Swee Hock School of Public Health Universiti Kebangsaan Singapura.

Ia bertujuan menjadikan PRN Sabah sebagai kajian kes bagi menaksir bagaimana perhimpunan ramai boleh menyebabkan penularan COVID-19.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh