Pasang Papan Iklan, Azmin Disiasat Polis Di bawah Akta Hasutan

Hata Wahari
2016.04.26
Kuala Lumpur
160426-my-azmin-anwar620 Penyokong Ketua Pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim memegang sepanduk di luar bangunan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, 4 November 2014.
AFP

Menteri Besar Selangor Azmin Ali pada Selasa, telah dipanggil polis untuk disoalsiasat di bawah Akta Hasutan 1948 mengenai pemasangan papan iklan di beberapa lokasi di sekitar negeri itu sejak bulan lepas, yang menggambarkan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai seorang ‘tahanan politik’.

Azmin yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) disoalsiasat selama 90 minit oleh pasukan penyiasat di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, bagi membantu siasatan.

Ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan, Azmin menyatakan rasa kesal terhadap tindakan polis yang menyiasat beliau itu.

“Saya amat kesal atas siasatan yang tidak bermakna ini kerana pihak polis sendiri tidak dapat  memberitahu sama ada pemasangan papan iklan #BebasAnwar merupakan satu kesalahan.

“Barisan peguam saya bertanya beberapa kali, adakah ia satu kesalahan, mereka hanya menjawab mendapat arahan untuk membuat siasatan,’’ dakwa Azmin yang diiringi oleh barisan peguamnya N. Surendran, Latheefa Koya dan Ambiga Sreenevasan, selepas keluar dari Ibu Pejabat Polis itu pada lewat petang Selasa.

Kira-kira 20 papan iklan dipasang di beberapa lokasi seperti di Ampang, Subang, Rawang dan Klang.  Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor supaya menurunkan papan iklan #BebasAnwar kerana ia memaparkan unsur-unsur hasutan.

Khalid berkata papan iklan itu turut mengelirukan rakyat kerana merujuk Anwar sebagai 'Tahanan Politik'.

Bekas Ketua Pembangkang Anwar telah dikenakan hukuman penjara lima tahun sejak Feb 2015, kerana dituduh meliwat, yang didakwa pihak pembangkang sebagai tindakan yang bermotifkan politik.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor, Jamal Yunos sebelum ini berkata, satu tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak berkuasa tempatan di negeri itu kerana memberi kelulusan untuk memasang papan iklan berkenaan.

‘Wartawan boleh saman’

Sementara itu, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali  dalam satu ceramah anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dan Institute of Journalism Studies, Universiti Teknologi Mara (IJS – UiTM) memberitahu, hak kebebasan bersuara bagi pengamal media adalah tertakluk kepada sekatan yang wajar seperti diperuntukkan melalui undang-undang.

Beliau turut menjelaskan Artikel 19 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang memberi hak kebebasan bersuara kepada setiap individu adalah instrumen resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ia tidak terikat dari segi undang-undang.

“Kita mempunyai kebebasan bersuara, tetapi ia bukan satu kebebasan mutlak. Undang-undang ini boleh menyekat kebebasan bersuara untuk melindungi Perlembagaan, hubungan baik kita dengan negara-negara lain dan ketenteraman awam.

"Pihak media memiliki kuasa yang boleh mempengaruhi orang awam dan ia wajar digunakan dengan penuh tanggungjawab bagi memajukan agenda nasional untuk memelihara ketenteraman awam,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Beliau turut memberitahu draf rang undang-undang Majlis Media masih belum siap kerana  memerlukan perbincangan dari pelbagai pihak.

"Kami mendapati terdapat beberapa halangan dari pihak industri dan saya mahu melakukan kajian untuk mengenalpasti halangan itu," tegas beliau.

Majlis itu dicadang agar ia bakal mengurus sendiri setiap pengamal media di Malaysia supaya lebih telus dalam laporannya tanpa campur tangan kerajaan atau agensi berkaitan.

Mohamed Apandi juga memberitahu wartawan mempunyai hak untuk menyaman ahli politik atau menteri yang menafikan perkataan yang disiarkan selepas dilaporkan oleh pihak media.

"Saya juga tidak bersetuju dengan orang-orang yang membuat kenyataan tetapi kemudian mengatakan bahawa telah disalah rujuk sedangkan terdapat rakaman beliau berkata demikian. Kadang-kadang kita perlu mengajar dengan memfailkan saman," katanya

Pada Selasa, polis telah menyoal wartawan Malaysiakini, Kow Gah Chie berhubung artikelnya “Vote BN to keep Muslim CM, S’wak Muslims Told” (Undi BN untuk kekalkan KM Muslim, Penduduk Islam S'wak Diberitahu) yang didakwa boleh mengganggu ketenteraman awam di Sarawak.

Laporan berita itu memetik calon Barisan Nasional bagi kawasan Nangka Dr Annuar Rapaee sebagai berkata demikian yang memberikan gambaran negatif terhadap calon itu dengan rakyat Sarawak dan Malaysia melabelkan beliau sebagai rasis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.