Parlimen Malaysia Akan Kembali Bersidang Sebelum 1 Ogos

Keputusan pembukaan sidang Parlimen itu bagaimanapun akan dimuktamadkan semasa mesyuarat kabinet pada 7 Julai, kata Menteri.
Noah Lee
2021.07.02
Parlimen Malaysia Akan Kembali Bersidang Sebelum 1 Ogos
[S. Mahfuz/BenarNews]

Parlimen Malaysia akan kembali bersidang sebelum 1 Ogos depan seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata Menteri Undang-undang pada Jumaat, semasa kerajaan menerima tekanan hebat supaya menghormati pandangan Institusi Diraja yang mahukan persidangan Dewan Rakyat dibuat sebelum tamat tempoh Darurat.

Tarikh bagi persidangan itu bagaimanapun akan diputuskan semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 7 Julai ini, demikian menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan media.

"Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.

"Sehubungan dengan itu Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021. Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai 2021," kata Takiyuddin.

Kenyataan menteri yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal perundangan Malaysia serta pengurusan Parlimen itu dibuat sehari selepas speaker Dewan Rakyat dan speaker Dewan Negara menyatakan Al-Sultan Abdullah telah mengeluarkan titah pandangan, bahawa sidang Parlimen perlu diadakan sebelum tarikh 1 Ogos depan.

Pada 1 Ogos juga adalah hari terakhir berkuatkuasanya Proklamasi Darurat sejak ia diisytiharkan Putrajaya pada 11 Januari lepas dengan alasan untuk menangani pandemik COVID-19.

Susulan pengisytiharan itu, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menggantung Parlimen dan sekaligus menghalang sebarang persidangan dibuat oleh Dewan Rakyat atau Dewan Negara dengan kali terakhir Parlimen bersidang adalah pada Disember tahun lalu.

Pentadbiran Muhyiddin telah menerima tekanan dan kecaman hebat sejak beberapa minggu lalu apabila ia dilihat tidak mengendahkan titah Yang di-Pertuan Agong yang telah beberapa kali menyatakan bahawa Parlimen perlu dibuka secepat mungkin.

Antara yang memberikan tekanan termasuk parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi pada 21 Jun lalu memberikan Muhyiddin tempoh 14 hari untuk membuka parlimen dengan BenarNews juga difahamkan bahawa Anggota Parlimen Bagan Datuk itu juga telah memanggil ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini bagi mendapatkan persetujuan mereka untuk menarik balik sokongan parti tersebut terhadap PN sekirannya Muhyiddin terus tidak mengendahkan kehendak Istana Negara.

"Ya, betul ada usaha mengumpulkan sokongan ahli Majlis Tertinggi bagi menarik balik sokongan kepada kerajaan," kata seorang ahli majlis tersebut yang enggan dinamakan.

Gabungan parti-parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) juga turut mengeluarkan desakan serupa terhadap kerajaan, dan menyatakan bahawa Muhyiddin serta Takiyuddin telah melakukan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu kerana tidak memberikan respon terhadap titah baginda.

Dalam satu kenyataan media yang ditandatangani pemimpin utama tiga parti komponen PH iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan dikeluarkan beberapa jam sebelum kenyataan Takiyuddin, Majlis Presiden Pakatan Harapan telah memberikan kerajaan Perikatan Nasional masa sehingga 5 Julai untuk membuat pengumuman mengenai pembukaan semula Parlimen.

Sekiranya kerajaan gagal berbuat demikian, tambah mereka, gabungan tersebut akan mengajak semua wakil rakyat untuk berkumpul di Parlimen pada 19 Julai depan.

"Sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021 ini mesti membahaskan krisis pandemik COVID-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Seri Paduka Baginda. Ini untuk memastikan usaha berkesan mengekang penularan wabak COVID-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan harian yang dihadapi rakyat.

"Oleh itu, sekiranya Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai 2021, maka kami menggesa semua Ahli Parlimen sama ada Pembangkang mahupun Kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai 2021," kata kenyataan tersebut.

Badan Semak-Imbang

Susulan daripada pengumuman kerajaan mengenai pembukaan semula Parlimen, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata bahawa mereka juga akan turut mengadakan persidangan pada 26 Julai ini bagi menjalankan fungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan.

Pengerusinya Wong Kah Woh dalam satu kenyataan berkata bahawa satu surat telah dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun bagi memaklumkan tarikh mesyuarat PAC.

"Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi PAC Parlimen ke 14 akan memanggil Jawatankuasa ini untuk bersidang pada 26 Julai 2021, Isnin, jam 2 petang. Surat pemakluman tarikh mesyuarat PAC Parlimen sudah dihantar ke Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini.

"Mesyuarat ini, akan diadakan secara fizikal membabitkan semua ahli-ahli PAC serta ahli-ahli ex officio Jawatankuasa ini bagi membincangkan mengenai jadual mesyuarat PAC yang akan datang terutama sekali membabitkan kes-kes yang tertangguh sebelum ini, serta mengemaskini jadual mesyuarat," kata beliau.

Beliau juga berkata PAC turut bersedia untuk mengadakan persidangan hybrid sekiranya ia tidak melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Satu kumpulan yang menggabungkan enam badan bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional menyambut baik keputusan Perdana Menteri untuk membuka semula Parlimen sebelum 1 Ogos.

Kumpulan itu berkata mereka percaya bahawa tindakan kerajaan adalah kerana dipengaruhi desakan rakyat untuk mengembalikan semula fungsi Parlimen dalam menangani pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang dihadapi negara, dan berharap supaya kerajaan tidak lagi melengahkan persidangan Parlimen.

"Kami berharap keputusan yang akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri yang dijangka pada 7 Julai nanti selari dengan kenyataan terkini menteri hari ini dan tidak lagi melengahkan persidangan Parlimen, atau menukar pendirian.

"Jika Parlimen tidak bersidang selewat-lewatnya pada 1 Ogos, maka ia akan melewati selang 6 bulan antara dua persidangan dan apabila Darurat tamat pada 2 Ogos ia akan mengakibatkan berlakunya pembubaran automatik yang menyebabkan pilihan raya umum (PRU) mesti diadakan dalam masa 60 hari," kata kumpulan itu.

Kumpulan yang dianggotai antaranya badan pemerhati bebas pilihanraya BERSIH 2.0, Institut Reformasi Politik dan Demokrasi, serta Persatuan Pengundi Muda UNDI 18 juga menyeru semua negeri turut mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri secepat mungkin bagi mengelakkan pembubaran automatik dan seterusnya mencetuskan keperluan diadakan Pilihanraya Negeri.

Tidak mahu dilihat menderhaka

Sementara itu, seorang penganalisa politik negara berkata keputusan dibuat kerajaan untuk membuka semula Parlimen itu dipercayai adalah kerana PN tidak mahu dilihat menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya memberitahu BenarNews bahawa tekanan demi tekanan yang dibuat oleh parti-parti politik lain serta rakyat juga memainkan peranan dalam keputusan tersebut.

"Kenyataan Takiyuddin menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional akhirnya akur terhadap titah Tuanku kerana ia akan dianggap menderhaka sekiranya berterusan memberikan alasan atau berdalih melambat-lambatkan pembukaan Parlimen. Tambahan pula kerajaan menerima tekanan daripada rakyat yang semakin kritital terhadap tadbir urus Perikatan Nasional dalam pemerintahan negara.

"Selain itu, tindakan UMNO yang dikatakan akan menarik sokongan kepada kerajaan sekiranya Perikatan Nasional terus ingkar, dan Pakatan Harapan yang memanggil semua Ahli Parlimen untuk berkumpul di Parlimen sekiranya kerajaan tidak menetapkan tarikh, adalah satu bentuk tekanan terhadap Perdana Menteri yang merupakan Presiden Bersatu supaya tidak terus melambat-lambatkan pembukaan Parlimen, dan menjejaskan integriti parti berteraskan Melayu seperti UMNO.

"Di pihak Pakatan Harapan pula ia mahukan tadbir urus dan integriti parti diserlahkan dengan cara membuka Parlimen dengan kadar segera sesuai dan sejajar dgn titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebelum ini," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.