Follow us

Muhyiddin Tangguh Sesi Parlimen Sehingga 18 Mei, Pembangkang Mahu Sidang Tergempar

Muzliza Mustafa & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-03-04
E-mel
Komen
Share
Ahli Parlimen berdiri di tempat masing-masing semasa sesi pertama sidang Parlimen ke-14, di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 17 Julai, 2018.
Ahli Parlimen berdiri di tempat masing-masing semasa sesi pertama sidang Parlimen ke-14, di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 17 Julai, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Kemas kini 5:20 p.m. ET pada 2020-03-04

Kerajaan baharu Malaysia tidak mengendahkan gesaan untuk mengadakan sidang tergempar parlimen bagi membuktikan bahawa ia mempunyai sokongan majoriti di tengah-tengah kritikan daripada pembangkang dan pemimpin masyarakat sivil yang mendakwa kesahan gabungan parti pemerintah boleh dipertikai.

Sesi parlimen seterusnya, yang telah dijadualkan bermula pada Isnin, akan diadakan pada pertengahan Mei, menurut jadual yang dikeluarkan speaker parlimen berdasarkan arahan Perdana Menteri baharu Muhyiddin Yassin.

“Dimaklumkan bahawa saya telah menerima surat pemakluman yang ditandatangani YAB Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis, memaklumkan bahawa pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang sepatutnya bermula pada 9 Mac 2020 ditunda kepada Isnin 18 Mei 2020 bersamaan 25 Ramadan 1441H,” menurut kenyataan yang ditandatangani speaker parlimen Mohamad Ariff Md Yusof.

Muhyiddin telah mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac selepas beliau dan ahli parlimen lain daripada gabungan parti pemerintah berpaling tadah dan bekerjasama dengan parti yang diselubungi skandal rasuah bekas perdana menteri Najib Razak, yang telah disingkirkan pada 2018, dan Parti Islam PAS, yang telah berkempen untuk memperkenal undang-undang Islam yang lebih ketat di negara berbilang kaum itu.

Muhyiddin dan Yang di-Pertuan Agong Malaysia berkata beliau telah mendapat sokongan daripada majoriti ahli parlimen yang mempunyai 222 kerusi, tanpa menyatakan jumlahnya.

Pada Rabu, beberapa pemimpin pembangkang sekali lagi menuntut bukti yang lebih konkrit.

Penangguhan itu “telah ditafsirkan sebagai satu ‘tanda kelemahan’ iaitu bahawa perdana menteri, Muhyiddin Yassin, tidak mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menjadi perdana menteri Malaysia yang sah,” kata Lim Kit Siang, pemimpin kanan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

DAP adalah parti peneraju gabungan Pakatan Harapan yang tumbang pada akhir Februari dan membawa kepada peletakan jawatan mengejut Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad pada 24 Feb.

Susulan kemelut politik yang berlanjutan selama seminggu, Mahathir mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan 114 ahli parlimen untuk kembali menyandang jawatan itu namun berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah enggan bertemu beliau untuk menyampaikan maklumat itu.

Kuasa untuk menangguhkan sesi parlimen


Kembali berkuasa sebagai sebahagian daripada gabungan Pakatan Nasional pimpinan Muhyiddin, para pegawai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Najib berkata penangguhan selama dua bulan itu adalah perlu dan bukan satu taktik untuk melengah-lengahkan.

“Ada yang mengatakan bahawa kami takut untuk bersidang dan itulah sebabnya ia ditangguhkan. Anda harus faham bahawa perkara ini tidak boleh dilakukan dalam keadaan terburu-buru,” kata Setiausaha Agung UMNO Annuar Musa kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Annuar berkata kerajaan baharu Muhyiddin perlu mengeluarkan notis melantik speaker parlimen yang baharu dan melantik anggota baharu bagi mengisi jawatan kabinet.

“Pihak pembangkang yang baharu perlu menghantar soalan kepada parlimen dan parlimen harus menyerahkannya kepada menteri. Buat masa ini, ke mana harus kita hantar soalan tersebut kerana perdana menteri belum melantik mana-mana menteri?” kata Annuar.

Beliau berkata gabungan Pakataan Harapan, selepas memperoleh kuasa pada Mei 2018, telah menghabiskan masa hampir dua bulan untuk mewujudkan kabinet sebelum parlimen boleh bersidang.

Penganalisis perlembagaan Shamrahayu A. Aziz dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata perdana menteri mempunyai kuasa untuk menangguhkan sesi legislatif.

“Memandangkan perdana menteri baru sahaja mengangkat sumpah, beliau mungkin inginkan sedikit masa sebelum mengadakan sesi parlimen,” kata Shamrahayu kepada BeritaBenar.

Pada hari Mahathir mendakwa bahawa beliau mempunyai 114 sokongan, Pakatan Harapan kemudian mengurangkan jumlah itu kepada 112 meskipun terdapat amaran bahawa jumlah itu mungkin menjadi lebih kecil menerusi perbuatan berpaling tadah yang didorong oleh janji diberikan jawatan dalam kerajaan.

Mahathir dan para aktivis turut menggesa agar parlimen bersidang secepat mungkin.

“Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa agar diadakan sidang khas parlimen untuk melenyapkan keraguan sama ada PM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru mengangkat sumpah mempunyai sokongan majoriti di parlimen,” menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Jika sidang khas ini tidak dipanggil, maka undi percaya hendaklah diusulkan sebaik sahaja sesi parlimen yang berikutnya bersidang pada 9 Mac,” kata Bersih.

Isu-isu mahkamah


Pakatan Muhyiddin dengan UMNO telah mencetuskan persoalan mengenai status pertuduhan jenayah terhadap Najib dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Najib berdepan dua perbicaraan berasingan membabitkan pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan skandal dana pembangunan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebuah anak syarikatnya. Sejumlah 42 pertuduhan telah dikemukakan dan beliau mungkin berdepan perbicaraan tambahan berkaitan apa yang disifatkan pihak pendakwa AS sebagai penyelewengan lebih AS$4.5 bilion (18.8 bilion ringgit) daripada 1MDB.

Bercakap kepada agensi perkhidmatan berita Reuters, Najib berkata beliau menjangkakan keadaannya di mahkamah berbeza di bawah kerajaan baharu.

“Saya akan menjangkakan bahawa suasana  akan menjadi lebih kondusif dan menjurus ke arah satu perbicaraan yang lebih adil,” kata Najib kepada Reuters dalam satu temu bual di kediaman beliau dalam kejiranan mewah di Kuala Lumpur.

“Saya tidak mahu ada sebarang manipulasi yang tidak sepatutnya atau tekanan ke atas hakim atau para hakim bagi tujuan politik. Berbekalkan bukti yang kukuh, saya tidak kisah menempuh proses mahkamah.”

Bekas timbalannya, Ahmad Zahid, pula meminta agar perbicaraannya pada Isnin yang membabitkan 47 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ditangguhkan selepas peguamnya mendakwa bahawa beliau mempunyai mesyuarat dengan Muhyiddin untuk membincangkan mengenai kabinet baharu, menurut media tempatan. Muhyiddin mencabar dakwaan itu yang menyebabkan Ahmad Zahid berjanji kepada mahkamah bahawa beliau akan mengemukakan surat bagi membuktikan bahawa beliau telah dipanggil oleh perdana menteri baharu itu.

Pada Selasa, Ahmad Zahid terlepas daripada diambil tindakan kerana menghina mahkamah , menurut media tempatan. Hakim Collin Lawrence Sequerah menerima penjelasan beliau bahawa mungkin terdapat masalah komunikasi dan telah memilih perkataan yang salah ketika meminta penangguhan itu.

Kedua-dua pemimpin UMNO bukanlah satu-satunya pihak dengan hubungan politik yang bakal berdepan tindakan perundangan minggu ini.

Anak perempuan Mahathir, Marina, adalah antara 19 aktivis yang disoal siasat oleh polis pada Rabu berhubung peranan mereka dalam tunjuk perasaan pada hujung minggu selepas bapanya kehilangan kuasa. Undang-undang Malaysia mengkehendaki mereka untuk mendapatkan kebenaran polis sebelum mengadakan perhimpunan atau tunjuk perasaan, lapor Agence France-Presse.

“Ini mengingatkan kami pada masa lebih dua tahun lepas, ketika begitu ramai daripada kami yang terpaksa mengharungi perkara sebegini,” katanya kepada agensi perkhidmatan berita itu. “Kerajaan baharu hanya berusia dua hari dan perkara seperti ini sudahpun berlaku.”

Lihat Laman Penuh