Follow us

PM Malaysia Lepasi Ujian Pertama Parlimen

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-07-13
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin (depan) semasa  persidangan Parlimen di Kuala Lumpur, yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 109 orang menolak usul yang dicadangkan beliau bagi menggantikan speaker Dewan Rakyat, 13 Julai 2020.
Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin (depan) semasa persidangan Parlimen di Kuala Lumpur, yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 109 orang menolak usul yang dicadangkan beliau bagi menggantikan speaker Dewan Rakyat, 13 Julai 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin melepasi ujian pertamanya di Parlimen sebagai pemimpin baru Malaysia dengan berjaya mengemukakan usul yang membawa kepada undi belah bahagian untuk menukar speaker Dewan Rakyat, yang sebelum ini menerima cadangan usul undi tidak percaya terhadapnya yang dikemukakan pembangkang.

Dewan Rakyat, yang bersidang secara penuh buat pertama kalinya sejak kerajaan pimpinannya mengambil alih tampuk pemerintahan hampir lima bulan lalu dan pandemik koronavirus melanda negara itu tidak lama kemudian, menyaksikan Muhyiddin menerima kemenangan pertama dengan majoriti tipis bagi usul yang dikemukakannya untuk menukar speaker dewan, Mohamad Ariff Md Yusoff.

Ahli Parlimen mengundi 111-109 bagi usul menukar speaker itu. Seorang Ahli Parlimen tidak hadir manakala seorang lagi tidak mengundi.

"Usul ini diluluskan, dengan seorang Ahli Parlimen tidak hadir," kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon, yang memantau undi belah bahagian bagi menggantikan Mohamad Ariff.

Undi belah bahagian itu, yang dikecam oleh Ahli Parlimen pembangkang, juga merupakan yang pertama dilakukan di Parlimen sejak Muhyiddin menyandang jawatan perdana menteri yang tidak dipilih rakyat susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada akhir Februari lalu.

Undi belah bahagian merungkai persoalan mengenai sama ada perdana menteri dan gabungan Perikatan Nasional pimpinannya benar-benar mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Dalam usul yang dicadangkannya itu, Muhyiddin tidak menyatakan alasan mengapa speaker, yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan, perlu ditukar.

Selepas waktu rehat, keadaan dalam Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila perdana menteri mengemukakan usul untuk menggantikan speaker itu dengan Azhar Azizan Harun, yang sebelum ini menyandang jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu.

Pembangkang mendesak supaya diadakan undi sebelum membuat pemilihan speaker tetapi Azhar Azizan telah mengangkat sumpah tanpa sebarang undi dilakukan, menurut laporan. Tidak dapat dipastikan sama ada pelantikan beliau memerlukan undi dan mematuhi prosedur Parlimen.

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim membangkitkan tentang perlunya dilakukan undi untuk menukar Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai speaker Dewan Rakyat.

"Sekiranya kita sudah mempunyai Speaker yang berwibawa dan prestasinya baik, usul untuk menukarkan beliau mestilah dibuat dengan alasan yang kuat... untuk menggantikan beliau kerana adanya calon baru adalah tidak wajar, amat tidak wajar," lapor agensi berita Bernama yang memetik Anwar sebagai berkata.

Muhyiddin juga mencadangkan usul untuk menukar Nga Kor Ming sebagai seorang daripada dua timbalan speaker Dewan Rakyat tetapi selepas undi belah bahagian dilakukan bagi usul menukar speaker, Nga mengumumkan peletakan jawatannya itu. Azalina Othman pula dilantik bagi menggantikan Nga sebagai timbalan speaker.

Bercakap kepada media selepas penggugurannya sebagai speaker, Mohammad Ariff berkata beliau menerima keputusan undi belah bahagian itu dan melepaskan jawatannya dengan mematuhi Peraturan Tetap Mesyuarat dan Perlembagaan Malaysia.

"Sejak dari awal lagi saya katakan bahawa saya hanya akan melepaskan jawatan ini sekiranya Perlembagaan Malaysia dipatuhi, dan Ahli Parlimen yang telah yang membuat keputusan. Bukan Perdana Menteri. Bukan Kabinet,” kata Mohammad Ariff, 71, yang merupakan bekas hakim sebelum menyertai politik setelah bersara daripada perkhidmatan.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa adalah amat penting bagi setiap sayap kerajaan berperanan dengan bebas demi memblehkan Malaysia terus maju sebagai negara demokrasi.

“Kuasa eksekutif ada peranan untuk dimainkan, badan perundangan juga mempunyai peranan yang perlu dilaksanakan. Mereka perlu saling bekerjasama – satu pihak tidak boleh mengawal satu pihak yang lain, itu salah,” katanya.

Muhyiddin kemudian mengucapkan tahniah kepada speaker dan timbalan speaker yang baru itu.

"Saya berdoa agar perjalanan Dewan Rakyat akan berlangsung secara adil, berpaksikan kepada Perlembagaan Malaysia," kata Muhyiddin, selepas berakhirnya hari pertama persidangan Dewan Rakyat, dalam catatan Facebook rasmi beliau, menurut laporan Bernama.

Undi ‘amat selamat’

Pada Mei, speaker yang digugurkan itu telah bersetuju menerima usul bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad supaya Parlimen mengadakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. Persidangan Dewan Rakyat separuh hari diadakan pada 18 Mei namun ia diisi dengan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dan ada masa yang diperuntukkan untuk perbahasan kemudian.

Pelantikan Azhar Azizan sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru adalah langkah untuk menyekat usul yang dikemukakan Mahathir - yang dijadualkan pada sesi Parlimen sekarang yang akan berlangsung selama 24 hari lagi sehingga 27 Ogos - menurut seorang penganalisis.

"Muhyiddin akan berusaha sebaik mungkin untuk menghalang usul undi tidak percaya yang dikemukakan Mahathir, yang boleh boleh dilakukan Muhyiddin kerana beliau adalah kerajaan dan kerajaan yang menetapkan agenda badan perundangan itu mengikut tradisi Westminster," kata Oh Ei Sun, felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, kepada BeritaBenar.

Undi belah bahagian bagi jawatan speaker adalah cara tanpa risiko yang dilakukan Muhyiddin untuk menguji sokongan terhadapnya tanpa ditafsirkan sebagai referendum berhubung arahannya kepada parlimen, kata pakar itu.

"Undi untuk menukar speaker dewan adalah cara yang amat selamat kerana mengikut tradisi perlembagaan, ia tidak dianggap sebagai usul tidak percaya dan oleh itu, walaupun beliau tewas dalam undi berkenaan, beliau tetap menjadi perdana menteri," kata Oh.

Sementara itu, James Chin, seorang saintis politik di University of Tasmania, berkata speaker mempunyai kuasa penuh di Parlimen walaupun cara pelantikannya dilakukan pada Isnin telah menimbulkan kontroversi.

Ketika ditanya apakah usul Mahathir akan dibawa dalam persidangan kali ini, Chin memberi reaksi sebegini mengenai Azhar: "Jawatannya itu diberikan oleh Muhyiddin, jadi keutamaan beliau adalah untuk melindungi Muhyiddin daripada undi tidak percaya itu."

Mengikut Aturan Tetap Parlimen, keputusan speaker adalah muktamad, kata Chin.

"Oleh itu, walaupun mereka tidak menyukainya, mereka tidak dapat berbuat apa-apa," kata Chin kepada BeritaBenar, dengan merujuk kepada pembangkang.

Lihat Laman Penuh