Yang di-Pertuan Agong Mahu Parlimen Dibuka Sebelum 1 Ogos, kata Speaker-speaker Dewan

Al-Sultan Abdullah mengeluarkan titah tarikh pembukaan Parlimen semasa sesi mengadap di Istana Negara, kata kenyataan Parlimen Malaysia.
Noah Lee
2021.06.30
Kuala Lumpur
Yang di-Pertuan Agong Mahu Parlimen Dibuka Sebelum 1 Ogos, kata Speaker-speaker Dewan Yang di-Pertuan Agong Malaysia Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memakai pelitup separuh muka ketika berdoa pada istiadat pembukaan Parlimen, di Kuala Lumpur, 18 Mei 2020.
[AFP/Jabatan Penerangan Malaysia]

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu Dewan Rakyat bersidang semula sebelum tamatnya tempoh Darurat pada 1 Ogos depan, demikian menurut Yang di-Pertua bagi kedua-dua cabang Parlimen Malaysia pada Rabu, dengan berkata hasrat Seri Paduka itu telahpun dimaklumkan kepada Perdana Menteri.

Sehingga kini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengabaikan tiga gesaan dibuat Institusi Diraja supaya persidangan Parlimen dipanggil secepat mungkin, selepas ia digantung oleh kerajaan dengan berkuatkuasanya Proklamasi Darurat pada 11 Januari lalu.

Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun telah mengeluarkan satu kenyataan media, sehari selepas kedua-duanya bersama timbalan Speaker mengadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara yang memaklumkan bahawa Tuanku telah mengeluarkan titah mengenai tarikh pembukaan Parlimen semasa pertemuan tersebut.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021,” kata kenyataan bersama empat perenggan yang dikeluarkan oleh Parlimen Malaysia.

Sehubungan itu kedua-dua Yang di-Pertua Dewan serta timbalan telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku, demikian menurut kenyataan itu lagi.

"Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada majlis menghadap tersebut juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan adalah dicadangkan kepada Perdana Menteri agar satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos 2021 mengikut peruntukan-peruntukan undang-undang sedia ada," tambah kenyataan bersama itu lagi.

Pada Selasa, Azhar dan Rais telah diterima mengadap Al-Sultan Abdullah bersama tiga timbalan mereka, iaitu dua timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said dan Rashid Hasnon, serta Mohamaad Ali Mohamad yang merupakan timbalan speaker Dewan Negara, yang menyaksikan Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan media selepas pertemuaan itu.

Kenyataan terbaharu dua-dua pemimpin bagi Parlimen itu agak berbeza dengan pandangan yang dibuat mereka minggu lalu, di mana pada 25 Jun, Azhar dan Rais telah mencadangkan supaya Persidangan Khas Parlimen diadakan pada awal Ogos, dengan jangkaan bahawa semua aspek perundangan bagi melaksanakan sidang tersebut diselesaikan pada akhir bulan Julai.

Al-Sultan Abdullah telah menzahirkan pandangan mengenai pembukaan semula Parlimen dan tempoh Darurat tidak menghalang Parlimen untuk bersidang sebanyak tiga kali, sejak Februari lepas.

Baginda yang mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik sebelum mengadakan pertemuan dengan sembilan Raja-Raja Melayu pada 16 Jun sekali lagi menzahirkan yang Parlimen perlu dibuka secepat mungkin dengan Raja-Raja Melayu pula dalam satu kenyataan berasingan sebaik sahaja pertemuan itu mahu Darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menzahirkan pandangan sama mahukan Parlimen bersidang semula secepat mungkin, dengan titah Baginda itu disampaikan oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan media.

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin kelihatan tidak berganjak dengan rancangan mereka untuk memanggil semula persidangan Parlimen seawal September atau Oktober depan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri itu dalam Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun lalu.

Muhyiddin, perdana menteri yang tidak dipilih tetapi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang berikutan pertelingkahan dalaman tahun lalu, menerajui kerajaan ketika negara itu menghadapi gelombang baharu jangkitan koronavirus, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sebagai respon terhadap titah Al-Sultan Abdullah yang mahukan sidang Parlimen dibuat sebelum tamatnya darurat.

Sebaliknya Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan pada Rabu yang memaklumkan bahawa Muhyiddin mengalami diarea dan telah dimasuk ke sebuah hospital di ibu negara untuk menerima rawatan dan pemantauan.

"Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri telah mengalami diarea sejak ini untuk menerima rawatan dan pemantauan," kata kenyataan yang dikeluarkan pejabat itu.

Adalah menjadi kebiasaan kepada Perdana Menteri untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong setiap kali sebelum mesyuarat Jemaah Menteri diadakan, di mana kebiasaannya adalah pada Rabu.

Parlimen tidak seharusnya digantung

Dalam pada itu, penganalisa politik tempatan Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyatakan bahawa ia adalah sesuatu yang "biadap" bagi sesebuah kerajaan beraja mengabaikan gesaan yag dibuat Institusi Diraja.

"Pada pandangan saya, Parlimen tidak sepatutnya digantung sejak awal lagi. Ia adalah satu perkakas/instrumen (organ) kerajaan, dan tanpanya kita tidak boleh mengatakan bahawa sesebuah kerajaan itu adalah kerajaan yang berfungsi.

"Dan saya berasakan bahawa ia adalah sesuatu yang biadap (untuk ingkar) dan ia adalah perbuatan yang tidak boleh diterima oleh budaya. Bagaimanapun, saya tak boleh menyatakan bahawa kebiadapan itu adalah satu jenayah," kata Tunku Mohar semasa dihubungi BenarNews.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Azizuddin Mohd Sani pula memberikan amaran bahawa sekiranya kerajaan gagal membuka Parlimen seperti dititah Tuanku, mereka mungkin akan menyaksikan Baginda menggunakan kuasanya di bawah Ordinan Darurat.

"Saya setuju sidang dibuatkan segera. Ini kerana sekarang demokrasi kita ditangguhkan sebab Darurat dan sidang tidak berjalan. Tuanku hendak menghidupkan balik demokrasi supaya badan legislatif berfungsi.

"Kerajaan perlu mengadakan sidang pada bulan Julai ini, sidang khas. Kalau kerajaan gagal, maka kita kena lihat semula Ordinan Darurat. Agong akan menggunakan kuasanya berdasarkan Ordinan itu," kata beliau kepada BenarNews.

Peguam Salim Bashir Bhaskaran juga mempunyai pandangan serupa, dan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa lebih besar ketika darurat berkuatkuasa, sepertimana termaktub di dalam Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat yang dibaca bersama Seksyen 17 dan 18.

Menurut beliau, peruntukan di bawah undang-undang darurat itu memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong memanggil atau memprorog persidangan Parlimen tanpa perlu menunggu nasihat Perdana Menteri seperti kebiasaannya.

Selain itu, tambah Salim, yang merupakan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, sekiranya Parlimen bersidang sebelum tamat tempoh darurat, ia boleh meluluskan resolusi untuk menamatkan tempoh darurat serta membatalkan apa-apa undang-undang yang digubal menggunakan Ordinan Darurat.

"Perdebatan di Parlimen mengenai Darurat adalah relevan di mana ia akan membincangkan samada terdapat keperluan untuk meneruskan proklamasi Darurat serta ordinan yang dibuat menerusi deklarasi darurat, dan untuk meneliti semua perbelanjaan dan keputusan dibuat kerajaan ketika Darurat.

"Artikel 150(3) Perlembagaan Persekutuan memberi mandat bahawa Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan dibentangkan di Parlimen, dan ia memberikan kuasa untuk sesuatu proklamasi atau ordinan darurat itu ditamatkan menerusi resolusi yang diluluskan kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.