Pembangkang Malaysia Enggan Sokong Belanjawan Jika Permintaan Tidak Dituruti

Hadi Azmi & Nisha David
2020.11.02
Kuala Lumpur, Malaysia
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
201102-MY-Parliament1000.jpg Anggota Parlimen Malaysia bersiap sedia menghadiri sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, 2 Nov, 2020.
[BeritaBenar]

Tempoh persidangan Parlimen Malaysia, yang disambung semula pada Isnin, dipendekkan apabila tujuh orang yang terlibat dalam sesi itu didapati positif COVID-19, kata pegawai, walaupun pakatan pembangkang menegaskan ia akan menolak belanjawan negara kerajaan jika cadangan langkah-langkah kewangan mereka tidak dituruti.

Sehari sebelum itu, menteri kewangan mengadakan pertemuan yang belum pernah diadakan dengan pemimpin pembangkang Pakatan Harapan, yang melobi kerajaan supaya melaksanakan "Belanjawan Perpaduan 2021" yang merangkumi enam cadangan fiskal utama mereka.

"Tidak ada 'Belanjawan Perpaduan 2021' jika kerajaan Perikatan Nasional menolak enam langkah fiskal dan kewangan utama Pakatan Harapan yang akan menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat Malaysia," kata Lim Guan Eng, setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menganggotai Pakatan Harapan, dalam catatannya di Twitter yang merujuk kepada kerajaan gabungan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengharapkan sokongan kepada belanjawan itu daripada semua Ahli Parlimen pelbagai parti walaupun parti utama dalam gabungan kerajaan berjanji untuk menyokongnya, kerana beliau hanya bergantung kepada majoriti tipis dua kerusi di Parlimen.

Dalam pertemuan mereka dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Ahad, para pemimpin Pakatan Harapan menyatakan bahawa belanjawan neagra itu mesti memperuntukkan lebih banyak sumber untuk Kementerian Kesihatan bagi memerangi COVID-19.

Mereka mahu rang undang-undang perbelanjaan itu memperluaskan perlindungan sosial bagi mereka yang berisiko sehingga berakhirnya pandemik tersebut, melanjutkan tempoh moratorium pembayaran pinjaman, meneruskan subsidi gaji sehingga akhir Mac depan, meningkatkan perbelanjaan pendidikan serta memperuntukkan perbelanjaan bagi dua projek pembangunan.

"Kami berharap cadangan ini dapat diterima dan dimasukkan dalam Belanjawan Perpaduan 2021. Belanjawan Perpaduan ini amat penting dalam mendukung titah diraja yang menolak pengisytiharan darurat negara dan mengelakkan pilihan raya umum mengejut yang hanya akan memburukkan lagi jangkitan dalam gelombang ketiga COVID-19 pada masa ini,” kata Pakatan Harapan dalam satu kenyataan selepas pertemuan pada Ahad itu.

Pembangkang ada pengaruh, kata penganalisis

Pada Isnin, para penganalisis memberitahu BeritaBenar bahawa buat pertama kalinya, kerajaan dan pembangkang mengadakan pertemuan bagi membincangkan belanjawan sebelum rancangan perbelanjaan itu dibentangkan di Parlimen.

"Sebelum ini, memang ada sokongan pembangkang di Parlimen tetapi hanya untuk isu-isu yang tidak menjejaskan rakyat secara langsung seperti usul untuk mengutuk pencerobohan Israel di Palestin, namun bagi belanjawan, saya belum pernah dengar tentangnya sebelum ini,” kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BeritaBenar.

Menurutnya, kerajaan mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong.

"Dengan berbuat demikian, ini memberi peluang kepada pembangkang untuk menggesa supaya permintaannya dituruti. Dan pembangkang mengambil kesempatan daripada keadaan ini. Sekarang, terserahlah kepada kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan mereka itu. Pembangkang telah menyatakan bahawa ia tidak akan menyokong belanjawan yang tidak memasukkan permintaannya,” kata Tunku Mohar.

Kerajaan terdahulu tidak perlu bekerjasama dengan pembangkang dalam merangka belanjawan, kata penganalisis Sivamurugan Pandia dari Universiti Sains Malaysia.

"Ini kerana Barisan Nasional selalu memperoleh majoriti dua pertiga [sokongan di Parlimen] ... itulah sebabnya mereka tidak perlu berunding dengan pembangkang sebelum ini," kata Sivamurugan kepada BeritaBenar, yang merujuk kepada gabungan parti yang menyandang kuasa selama 61 tahun sebelum Pakatan Harapan mengalahkannya pada pilihan raya umum 2018.

Yang di-Pertuan Agong, yang melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Mac, menekankan pada minggu lalu bahawa belanjawan baru itu amat penting dalam menangani pandemik tersebut dan memulihkan semula ekonomi. Kenyataan titah Yang di-Pertuan Agong dikeluarkan selepas Seri Paduka menolak permohonan Muhyiddin supaya diisytiharkan darurat di tengah-tengah penularan baru jangkitan COVID-19.

Yang di-Pertuan Agong bertitah perisytiharan darurat tidak diperlukan kerana kerajaan berjaya menangani pandemik tersebut. Keadaan darurat akan membolehkan kerajaan yang diterajui Muhyiddin menangguhkan Parlimen dan melepasi undi belanjawan.

Dua penganalisis politik itu memberitahu BeritaBenar minggu lalu bahawa keadaan akan menjadi buruk sekiranya Muhyiddin tidak menerima sokongan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 Ahli Parlimen.

Mereka berkata kerajaan Malaysia dijangka mengikut sistem pemerintahan Westminster Britain. Berdasarkan model itu, kerajaan dianggap tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen jika ia gagal meluluskan usul parlimen yang penting seperti belanjawan tahunan.

Tempoh sesi dipendekkan

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memberitahu Parlimen bahawa hari pertama sesi Dewan Rakyat itu perlu dipendekkan atas nasihat pegawai kesihatan.

"Beberapa kakitangan Dewan Negara didapati positif  COVID-19 dan seorang senator mungkin dijangkiti. Perkembangan baru ini membimbangkan,” kata Takiyuddin.

Tempoh persidangan Parlimen bagi sesi itu akan ditentukan secara harian, jelasnya.

Lim mengkritik keputusan itu dengan menyatakan bahawa langkah memendekkan sesi itu menjadi tiga jam berbanding sekurang-kurangnya tujuh setengah jam "belum pernah terjadi sebelum ini" dan menghalang tugas parlimen iaitu berbahas.

"Ini belum pernah terjadi... Ini penting kerana ia melibatkan kedaulatan dan ketuanan Parlimen. Jangan menghakis hak Ahli Parlimen untuk berbahas,” kata Lim di Parlimen.

Takiyuddin menjawab dengan menyatakan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat pegawai kesihatan.

"Kementerian [Kesihatan] menyatakan bahawa Parlimen masih merupakan ruang tertutup dan walaupun mempunyai cermin [pemisah  antara kedudukan Ahli Parlimen], tetapi sejauh mana ia boleh bantu kita cegah penularan. Lebih lama kita berada dalam keadaan begini, risikonya lebih tinggi,” kata Takiyuddin.

Sidang Parlimen itu dijadualkan selama 27 hari dari 2 November hingga 15 Disember.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh