Parlimen Malaysia Kembali Bersidang Buat Pertama Kalinya Pada 2021

Speaker dijangka tidak membenarkan usul tidak percaya walaupun parti terbesar dalam gabungan kerajaan telah menarik balik sokongannya, kata penganalisis.
Muzliza Mustafa & S. Adie Zul
2021.07.22
Kuala Lumpur
Parlimen Malaysia Kembali Bersidang Buat Pertama Kalinya Pada 2021 Ahli-ahli Parlimen Malaysia menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, 13 Julai 2020.
[Reuters]

Persidangan Parlimen akan menjadi tumpuan utama di Malaysia pada minggu depan apabila para penggubal undang-undang berhimpun buat pertama kalinya selepas lebih tujuh bulan dan setelah parti terbesar dalam gabungan kerajaan menarik balik sokongannya kepada kerajaan yang tidak dipilih itu.

Selain daripada kemungkinan berlakunya beberapa tindakan keluar dewan, keberangan dijangka meletus kerana kerajaan mengawal agenda dan mungkin tidak membenarkan usul tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang nampaknya kehilangan sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen, kata penganalisis politik Oh Ei Sun.

"Kerajaan semasa mempunyai kelebihan untuk menentukan apa yang dikenali sebagai aturan mesyuarat, atau agenda, persidangan Parlimen," kata Oh, dari Institut Hubungan Antarabangsa Singapura, kepada BenarNews.

"[Kerajaan] juga menerima [sokongan] speaker yang secara terang-terangan pro-kerajaan dan, oleh itu, sudah tentunya, akan menyekat segala macam usul tidak percaya. Oleh itu, sangat sukar untuk membawa usul seperti itu."

Oh merujuk kepada Speaker Azhar Azizan Harun, yang berulang kali menyokong keputusan untuk menggantung Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 12 Januari atas nasihat Perdana Menteri. Berdasarkan rekod kenyataan speaker itu, Azhar kemungkinan tidak membenarkan usul tidak percaya dibawa pada persidangan tersebut, kata Oh.

Namun, apa yang mengelirukan ialah kenyataan oleh Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon bahawa persidangan lima hari itu, yang bermula pada Isnin, mungkin terhad kepada kehadiran 80 Ahli Parlimen sahaja.

Ada yang melihatnya sebagai langkah untuk menggagalkan undi tidak percaya, dan lewat Khamis, belum ada keputusan diumumkan sama ada semua Ahli Parlimen boleh menghadiri persidangan itu.

Apa yang menjadi pertaruhan buat Muhyiddin ialah jawatan perdana menteri.

Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti tipis di Parlimen, berdasarkan kepada apa yang berlaku semasa prosiding belanjawan pada Disember 2020. Namun, banyak perkembangan lain yang berlaku sejak itu.

Awal bulan ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang mempunyai Ahli Parlimen paling ramai dalam gabungan kerajaan, telah menarik sokongannya terhadap kerajaan yang diterajui Muhyiddin.

Kemudian, pada 14 Julai, kabinet sebulat suara menyokong kepimpinan Muhyiddin, dan mempersoalkan perpaduan UMNO dalam isu sokongan kepada perdana menteri kerana kabinet itu turut dianggotai oleh Ahli Parlimen UMNO.

Berikutan itu, bermulalah spekulasi mengenai apa yang bakal berlaku apabila Dewan Rakyat mengadakan persidangan selama lima hari bermula 26 Julai.

Tempat duduk para penggubal undang-undang itu di Parlimen boleh menjadi ukuran mengenai siapa - dan seberapa ramai - Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Muhyiddin dan seberapa ramai lagi tidak menyokong, kata Oh.

"Ini akan menjadi sesuatu yang dinantikan pada persidangan Parlimen berikutnya," kata beliau.

"Sekiranya, katakanlah, ramai Ahli Parlimen UMNO kecuali menteri dan timbalan menteri yang duduk bersama-sama pembangkang, maka pembangkang dapat dilihat mempunyai majoriti Parlimen. Ini mungkin menjadi pemandangan yang ingin dilihat. "

Selain itu, penganalisis berkenaan menjelaskan bahawa tempat duduk Ahli Parlimen tidak boleh dijadikan alasan untuk memaksa Muhyiddin meletakkan jawatan.

210722-MY-Inside1.jpeg

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin Ketika menghadiri istiadat perasmian persidangan Parlimen di Kuala Lumpur, 18 Mei 2020. [Edaran Jabatan Penerangan Malaysia melalui AFP]

Agenda persidangan

Sementara itu, Ahli Parlimen pembangkang sangat bimbang kerana agenda persidangan Dewan Rakyat tersebut tidak menyatakan mengenai perbahasan.

Agenda ini memperuntukkan masa kepada pelbagai menteri untuk memberi taklimat bagi menjelaskan mengenai pengisytiharan darurat dan usaha kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

Akhbar The Star memetik Timbalan Speaker Mohd Rashid sebagai berkata "tidak ada perbahasan yang dibenarkan pada persidangan itu," tetapi penggubal undang-undang boleh mengajukan soalan kepada menteri selepas mereka membuat pembentangan.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamed, yang mengetuai parti baru, Pejuang, berkata Ahli Parlimen daripada partinya tidak menyokong langkah itu.

"Kami telah memutuskan untuk menghadiri [persidangan], sekurang-kurangnya peringkat awalnya. Jika kami dapati ia hanyalah taklimat, kami boleh membuat keputusan untuk meninggalkan mesyuarat,” kata Mahathir pada sidang media maya pada Rabu, lapor media tempatan.

Pakatan Harapan pembangkang, yang diketuai oleh Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa speaker Dewan Rakyat perlu meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak membenarkan perbahasan diadakan.

"Kami tidak dapat menerima persidangan Parlimen di mana Ahli Parlimen dipanggil hanya untuk mendengar kuliah menteri tanpa sebarang perbahasan penuh," kata Pakatan Rakyat pada Rabu.

"Perbahasan penuh harus dibenarkan atas usul menteri untuk semua masalah" seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong termasuk mengenai perundangan yang berkaitan dengan proklamasi darurat, kata Pakatan Harapan. Ia juga menyatakan "kami tidak berhasrat untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri."

Darurat, yang akan berakhir pada 1 Ogos, dilaksanakan tanpa perbahasan Parlimen kerana badan perundangan itu digantung.

Lebih enam bulan kemudian, dengan keadaan tidak jelas sama ada penggantungan Parlimen dibuat atas keputusan Yang di-Pertuan Agong atau Muhyiddin, Yang di-Pertuan Agong telah tiga kali bertitah bahawa Ahli-ahli Parlimen mesti bersidang semula untuk membincangkan mengenai pandemic itu dan untuk memastikan semak dan imbang dalam kerajaan.

Keputusan untuk menggantung Parlimen menerima kecaman hampir semua parti pembangkang dan juga UMNO, yang pada masa itu masih menyokong gabungan kerajaan.

Muhyiddin menerima tekanan bukan sahaja daripada UMNO, pembangkang dan Yang di-Pertuan Agong malah kalangan rakyat Malaysia juga.

Beliau pernah berkata bahawa darurat dilaksanakan untuk membendung penularan pandemik itu, tetapi gelombang besar jangkitan baru telah menyebabkan ramai yang mempersoalkan niat di sebalik pelaksanaan darurat itu.

Selain itu, ramai juga yang menyalahkan pentadbiran Muhyiddin atas dakwaan gagal menangani pandemik tersebut. Kekecewaan orang ramai terus meningkat susulan langkah tidak cekap dalam melaksanakan darurat dan perintah kawalan pergerakan akibat virus coronavirus.

Pada Rabu, Malaysia mencatatkan rekod sebanyak 13,034 kes jangkitan barju COVID-19, menjadikan jumlah kes hampir 1 juta. Dengan 134 kematian pada hari yang sama, kematian akibat pandemic itu meningkat kepada 7,574.

#KerajaanGagal adalah kempen media sosial yang menjadi antara trend tertinggi Twitter di Malaysia sejak April.

"Kerajaan ternyata amat seronok semasa COVID. Mengisytiharkan darurat untuk mengendurkan peraturan buat mereka, menggantung Parlimen supaya dapat beroperasi dan bertindak tanpa kebertanggungjawaban dan rasa peduli dalam dunia dengan menyedari rakyat tidak boleh bersuara atau melakukan apa-apa mengenainya. #KerajaanGagal,” menurut satu catatan tweet pada Mei.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.