Speaker Dewan Rakyat, Negara Tolak Kemungkinan Parlimen Bersidang Sebelum September

Peguam Negara Idris Harus pula menjelaskan hanya Kabinet boleh menentukan tarikh dewan akan bersidang.
S. Adie Zul & Nisha David
2021.06.25
Kuala Lumpur
Speaker Dewan Rakyat, Negara Tolak Kemungkinan Parlimen Bersidang Sebelum September Bangunan Parlimen Malaysia yang menempatkan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara, di Kuala Lumpur, 6 November, 2020.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Yang di-Pertua bagi kedua-dua cabang Parlimen Malaysia pada Jumaat telah menolak sebarang kemungkinan yang Parlimen akan dapat bersidang sebelum September, manakala Peguam Negara menjelaskan hanya Kabinet boleh menentukan tarikh sidang dewan akan kembali disambung, di sebalik tekanan ke atas Perdana Menteri untuk memulakan semula sesi secepat mungkin.

Bagaimanapun, pengumuman itu mengundang kritikan daripada pemimpin pembangkang dan veteran Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), rakan sekutu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) manakala penganalisis menganggap tindakan melengahkan sidang Parlimen adalah percaturan bagi mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan parti yang memerintah.

Pada Jumaat menyaksikan Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengeluarkan kenyataan media berhubung jangka masa sidang dewan dapat diadakan semula diikuti beberapa jam kemudiannya Peguam Negara turut mengeluarkan kenyataan berkaitan sidang Parlimen Malaysia.

“Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid menjangkan bahawa semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir Julai sekiranya perkara ini diluluskan di peringkat jawatankuasa dewan dan peraturan mesyuarat.

“Dengan andaian itu satu Sidang Khas Parlimen dicadangkan pada awal Ogos - tertakluk pada syarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) - bagi membincangkan perincian tentang persidangan hibrid.

“Mengambil kira perkara-perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka persidangan parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau pun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021,” umum kenyataan bersama kedua-dua Yang di-Pertua Dewan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kedua-dua mereka mempengerusikan bersama mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid yang turut dianggotai timbalan speaker kedua-dua dewan, serta pihak urus setia Parlimen Malaysia.

Mereka berkata sidang khas Parlimen yang dicadangkan pada awal Ogos adalah bagi memperincikan hal resolusi berkaitan dengan sidang parlimen hibrid, termasuk beberapa pindaan ke atas peraturan mesyuarat, takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab ahli parlimen serta hal-hal teknikal berkaitan.

“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen bersidang secepat mungkin Parlimen Malaysia bersedia bersidang pada bila-bila masa mengikut peruntukan perlembagaan dan peraturan sedia ada.

“Namun memandangkan COVID-19 masih dalam fasa pembendungan dan perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa parlimen harus mengambil langkah untuk mengelak penyebaran wabak dengan mencadangkan persidangan alternatif secara hibrid.

Justeru, mereka menjelaskan sedikit tempoh diperlukan untuk persidangan parlimen secara hibrid dijayakan dengan lancar, termasuk persiapan dalam aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan serta latihan.

Azhar dan Rais berkata persidangan hibrid itu dicadangkan melibatkan kehadiran fizikal untuk menepati kehendak korum iaitu sekurang-kurangnya 26 ahli Dewan Rakyat dan 10 ahli Dewan Negara makanala selebihnya, ahli Dewan mempunyai pilihan untuk hadir secara maya mahupun fizikal - tertakluk pada syarat oleh MKN dan KKM pada masa persidangan berlangsung.

Kabinet tentukan tarikh

Dalam pada itu, Peguam Negara Idris Harun menjelaskan Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri dalam memanggil Parlimen untuk bersidang, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

"Subseksyen 14(1) Ordinan Darurat tersebut perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Ordinan Darurat tersebut seperti seksyen 17 dan 18.

"Seksyen 17 memperuntukkan bahawa bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan Darurat tersebut adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.

"Seksyen 18 pula memperuntukkan sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan Darurat tersebut dengan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, peruntukan Ordinan Darurat tersebut hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu," hurainya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya lagi, berkait dengan kuasa jemaah menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang, Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara memperuntukkan bahawa Ketua atau Timbalan Ketua Majlis iaitu (Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri) hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam sesuatu penggal dan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh yang ditetapkan.

Khianati institusi

Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Amanah Negara Khalid Samad menempelak Azhar kerana mengkhianati amanah untuk memelihara institusi Dewan Rakyat.

“Ini sangat mengecewakan dan saya percaya keputusan ini adalah atas arahan perdana menteri yang cuba mengelak dari melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Majlis Raja-Raja supaya sidang parlimen disambung segera.

“Ini sekaligus menunjukkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bersikap bacul dan tidak mempunyai pendirian. Beliau sepatutnya mempertahankan institusi parlimen tetapi beliau telah mengkhianti institusi ini,” dakwa beliau semasa dihubungi BenarNews.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu surat kepada Azhar pada Jumaat menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu supaya menghormati sumpah jawatan yang dilafazkannya dengan menjalankan amanah dengan telus.

"Satu-satunya tugas penting yang diliputi janji itu ialah memastikan calon perdana menteri - jawatan (berperlembagaan) terkanan dengan pelbagai kuasa - disokong Dewan Rakyat dan bersih daripada korupsi politik.

"Perdana menteri sekarang ini tidak mempunyai mandat Dewan Rakyat untuk mendapat hak keperlembagaan terhadap jawatan beliau. Dewan Rakyat pula tidak diberi hak melaksanakan tugas perlembagaannya untuk menentukan sama ada beliau berhak menjadi perdana menteri yang bersih daripada korupsi politik," katanya lagi dalam surat itu yang dikongsikan dengan BenarNews.

Tiada kemungkinan pertukaran kerajaan

Sementara itu, penganalisis politik James Chin berkata kemungkinan untuk berlaku pertukaran kerajaan sebaik Parlimen kembali bersidang adalah tipis, disebalik pelbagai tekanan ke atas Perdana Menteri.

Beliau berkata kedudukan kerajaan Perikatan Nasional hanya boleh tergugat sekiranya UMNO yang memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam PN, bertindak meninggalkan gabungan itu.

“Ia hanya akan berlaku sekiranya semua Ahli Parlimen UMNO bersatu hati untuk menarik diri dari kerajaan tetapi Muhyiddin telah berjaya memecahkan UMNO,” katanya kepada BenarNews.

Pandangan itu turut dikongsi oleh penganalisis politik Abdul Latiff Mohd Ibrahim sambil berkata disebalik tekanan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi supaya Muhyiddin segera memulakan sidang parlimen, parti itu terpecah kepada dua kem.

“Satu kem terdiri dari kalangan pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam jemaah menteri dan kerajaan, jadi ini memberi kelebihan kepada mereka untuk mendapat sokongan bagi mengekalkan kuasa Perdana Menteri,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen UMNO Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan beliau memiliki 25 Perakuan Berkanun (SD) dari Ahli Parlimen UMNO yang mahukan bekas Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein untuk menjadi jurucakap mereka dalam sebarang urusan dengan Istana Negara.

Nazri berkata langkah itu diambil kerana mereka telah hilang keyakinan kepada Ahmad Zahid susulan tindakannya cuba bekerjasama dengan Anwar Ibrahim bagi membolehkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ketua Pembangkang itu dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Muhyiddin.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.