Ahli Parlimen Pembangkang Malaysia Terus Desak PM Muhyiddin Letak Jawatan Selepas Parlimen Ditangguh

Kerajaan menangguhkan hari terakhir sidang khas Parlimen apabila 11 orang didapati positif COVID-19.
S. Adie Zul & Hadi Azmi
2021.08.02
Kuala Lumpur
Ahli Parlimen Pembangkang Malaysia Terus Desak PM Muhyiddin Letak Jawatan Selepas Parlimen Ditangguh Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad (dua dari kiri), ketua pembangkang Anwar Ibrahim (lima dari kiri) dan Ahli-ahli Parlimen lain memegang kain rentang yang tertera desakan supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya meletak jawatan, semasa mereka mengadakan tunjuk perasaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur , 2 Ogos 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Lebih 100 Ahli Parlimen pembangkang Malaysia berhimpun di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada Isnin untuk terus mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta membantah keputusan kerajaan tidak dipilih itu menangguhkan hari terakhir sidang khas Parlimen.

Penangguhan itu adalah helah bagi menghalang para penggubal undang-undang mengemukakan usul tidak percaya dan membincangkan teguran Yang di-Pertuan Agong terhadap kerajaan pada minggu lalu, kata Ahli-ahli Parlimen pembangkang itu.

Pada hujung minggu lalu, ketua pengarah kesihatan memberitahu pihaknya menyarankan penangguhan Parlimen selepas 11 kakitangan di bangunan itu didapati positif COVID-19. Hari terakhir sidang khas itu dijadualkan pada Isnin tetapi ditangguh selama dua minggu secara retroaktif pada 29 Julai, kata para pegawai.

Tunjuk perasaan pada Isnin menyatukan kembali bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, seteru dan bekas timbalan beliau yang kini mengetuai pembangkang di Parlimen.

"Sidang Parlimen tidak perlu ditangguh," kata Anwar kepada media dan mereka yang berhimpun di lokasi tunjuk perasaan itu.

Mahathir pula berkata Muhyiddin akan melakukan apa sahaja untuk berpaut kepada majoriti paling tipis di Parlimen.

"Perdana menteri ini tidak tahu malu langsung," kata pemimpin parti Pejuang itu, yang kini berusia 96 tahun dan pernah dua kali menjadi perdana menteri dengan penyandangan terakhir dilepaskan apabila beliau meletakkan jawatan pada Februari 2020, sebelum Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri berikutnya.

"Sudahlah jadi perdana menteri melalui pintu belakang. Orang tunjuk pintu keluar pun dia tetap tak nak keluar," kata Mahathir.

Menjelang pilihan raya umum 2018, Mahathir dan Anwar - yang pada masa itu dipenjarakan kerana sabitan liwat - bersetuju membentuk pakatan politik dengan menerajui Pakatan Harapan mendapatkan kemenangan besar pada pilihan raya itu. Mahathir berjanji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam masa dua tahun tetapi pertikaian dalam Pakatan Harapan menyebabkan kerajaan Mahathir tumbang.

Pada Isnin, Ahli-ahli Parlimen dan pemimpin pembangkang melaungkan "kuasa rakyat", "Muhyiddin, letak jawatan" dan "Daulat Tuanku" semasa beramai-ramai bergerak dari Dataran Merdeka menuju ke bangunan Parlimen, dalam usaha untuk memasukinya. Polis menghalang mereka daripada menghampiri bangunan Parlimen itu.

Pada Khamis, hari terakhir sidang khas Parlimen, para penggubal undang-undang parti pembangkang serta parti gabungan kerajaan mendesak peletakan jawatan Muhyiddin selepas Yang di-Pertuan Agong menegur kerajaannya menerusi satu kenyataan umum. Dalam kenyataan itu, Seri Paduka mengkritik kerajaan kerana didakwa mengelirukan para penggubal undang-undang mengenai status ordinan-ordinan yang dikeluarkan semasa pelaksanaan darurat di seluruh negara, yang berakhir pada 1 Ogos.

Pada 26 Julai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) mengumumkan bahawa ordinan-ordinan darurat itu telah dibatalkan beberapa hari sebelum itu, tetapi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah bahawa baginda belum memperkenankan pembatalan ordinan berkenaan – atau ia dibahaskan di Parlimen seperti mana yang telah diperkenankan baginda.

Dalam maklum balas kepada teguran Yang di-Pertuan Agong itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan panjang lebar dengan memperjelaskan bahawa kerajaan tidak melakukan kesalahan dan Yang di-Pertuan Agong “perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.”

Pada Khamis di Parlimen, Anwar mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin dan mendesak beliau dimakzulkan kerana kegagalannya mematuhi peraturan undang-undang serta menghina fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Bantahan hujung minggu

Sementara itu, beratus-ratus rakyat Malaysia berhimpun di jalanan bagi mengadakan demonstrasi pada Sabtu untuk mendesak peletakan jawatan Muhyiddin berikutan dakwaan kegagalan kerajaannya membendung penularan pandemik COVID-19 itu. Kira-kira 400 orang - kebanyakan orang muda – membantah langkah perintah kawalan pergerakan serta mengusung patung-patung mayat ketika mereka melakukan bantahan kematian akibat COVID-19.

Rakyat semakin marah terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin yang tidak dipilih, yang dipersalahkan bagi lonjakan besar dalam catatan kes baru jangkitan COVID-19. Protokol perintah kawalan pergerakan yang mengelirukan dan keputusan membenarkan beberapa sektor perniagaan terus dibuka adalah punca, yang ramai percaya, penularan pandemik yang semakin buruk.

Selain itu, nasihat perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong supaya melaksanakan darurat pada Januari - kononnya untuk membendung penularan pandemik itu - juga telah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia. Ramai yang menyatakan bahawa langkah itu adalah muslihat politik Muhyiddin untuk terus berpaut kepada kuasa.

Kes COVID-19 di Malaysia meningkat hampir lapan kali ganda sejak darurat dilaksanakan pada 12 Januari. Negara itu sedang mengalami lonjakan besar jangkitan yang telah melebihi 1 juta kes pada awal bulan ini. Pada Isnin, ia melaporkan 219 kematian yang berkaitan dengan virus itu.

Peranan Speaker

Para penganalisis politik melihat krisis semasa itu dari dua sudut.

"Muhyiddin boleh terus berkuasa selagi beliau dapat mengelakkan undi tidak percaya, tetapi apabila Speaker berhenti melindunginya dalam persidangan Parlimen, beliau pasti berdepan masalah besar," kata James Chin, profesor Institut Asia di University of Tasmania, kepada BenarNews.

Beliau merujuk kepada bagaimana kerajaan dapat mempertahankan kuasa dengan menetapkan agenda mesyuarat apabila ia memutuskan untuk mengadakan sidang khas lima hari Parlimen. Berikutan itu, speaker berkata tiada usul atau perbahasan dibenarkan pada sidang khas itu.

Di Malaysia, speaker bukanlah Ahli Parlimen dan beliau dilantik oleh perdana menteri. Speaker Azhar Azizan Harun berulang kali menyokong pelbagai keputusan kontroversi perdana Menteri.

Andrew Khoo, ketua Jawatankuasa Perlembagaan di Majlis Peguam Malaysia, berkata Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kuasa baginda untuk menuntut peletakan jawatan Muhyiddin sekiranya baginda berpendapat beliau telah kehilangan sokongan majoriti.

“Terdapat duluan di Australia, dan juga negeri Perak dan Sabah," katanya kepada BenarNews, dengan merujuk kepada sistem demokrasi Westminster.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.