Follow us

Parlimen Baharu Malaysia Bersidang Dengan UMNO Berperanan Sebagai Pembangkang

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-07-16
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang mewakili daerah Langkawi di Parlimen, mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, 16 Julai 2018.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang mewakili daerah Langkawi di Parlimen, mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, 16 Julai 2018.
(S. Mahfuz / BeritaBenar)

Buat julung kalinya dalam sejarah Malaysia sejak merdeka, UMNO berperanan sebagai parti pembangkang semasa parlimen baharu yang mula bersidang pada Isnin, dengan menyaksikan para pemimpin blok parti pemerintah lama itu dan ahli politik lain bertindak keluar dewan sebagai tanda bantahan serta menolak pelantikan Speaker Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad, 93, bekas pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang telah mendominasi politik Malaysia selama 61 tahun, mengambil tempat beliau dalam kalangan ahli parlimen sebagai ketua gabungan parti pemerintah Pakatan Harapan (PH), yang menumbangkan UMNO dalam pilihan raya umum pada Mei.

Terdapat beberapa drama sejak parlimen mula bersidang.

Pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional, bekas gabungan parti pemerintah yang kini menduduki hanya 51 kerusi dalam parlimen yang mempunyai 222 anggota, serta beberapa parti lain yang mencabar pencalonan Ariff Md Yusof sebagai speaker. Mereka mendakwa kerajaan telah mengundurkan tarikh surat pelantikan beliau kepada 2 Julai untuk mencukupkan tempoh bagi notis 14 hari sebagaimana yang telah ditetapkan.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak antara mereka yang bertindak keluar dewan namun masuk semula untuk upacara mengangkat sumpah pada permulaan sesi parlimen yang akan bersidang selama 20 hari.

Anggota parti pembangkang tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap Ariff sebagai speaker – tetapi terhadap proses pelantikan beliau – kata Takiyuddin Hassan, dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Parti berasaskan agama itu tidak bersekutu dengan blok Barisan Najib atau persekutuan Pakatan Mahathir, yang memenangi sekurang-kurangnya 116 kerusi pada pilihan raya 9 Mei.

Mahathir, yang memimpin Barisan dan UMNO sebelum ini ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun, menafikan dakwaan itu.

“Tiada pengunduran masa, ia telah disediakan lebih awal, jadi apabila saya menandatanganinya, saya telah meletakkan tarikh itu,” kata Mahathir, yang menyifatkan tindakan keluar dewan itu sebagai satu sandiwara di pihak kumpulan anggota parlimen minoriti.

Dua tokoh UMNO, bagaimanapun memilih untuk kekal dalam dewan ketika tindakan itu dilakukan iaitu bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta bekas Menteri Luar Anifah Aman.

“Kita boleh mengemukakan bantahan ketika sesi perbahasan atau selepas upacara perasmian pembukaan esok. Bagi saya, adalah lebih baik jika kita hormmati upacara ini dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan imej Barisan sebagai pembangkang yang boleh dipercayai,” kata Khairy.

Najib, yang kerajaannya tersingkir daripada kekuasaan pada 9 Mei dan telah didakwa sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan skandal kewangan 1MDB, telah melepaskan jawatan sebagai pemimpin UMNO dan Barisan namun mengekalkan kerusi parlimen beliau yang mewakili Pekan di negeri Pahang.

Pada Isnin, bekas PM itu duduk di pihak pembangkang di sebelah presiden baharu UMNO Zahid Hamidi, yang sebelum ini menjadi timbalannya. Zahid menyertai Najib dalam tindakan keluar dewan itu.

“Itu adalah keputusan parti, jadi saya menyerahkan perkara itu kepada parti,” kata Najib ketika disoaal mengapa beliau bertindak keluar dewan.

“Mungkin parti harus menjelaskan mengapa mereka mengambil tindakan itu.”

Sejumlah 221 anggota parlimen telah mengangkat sumpah di hadapan Ariff yang sebelum ini menjadi Hakim Mahkamah Rayuan sebelum bersara pada 2015.

Tidak hadir pada sesi itu ialah Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, yang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pancreas baru-baru ini, menurut setiausaha akhbar beliau.

Sesi persidangan memberi tumpuan kepada akta cukai, berita tidak benar


Menteri Hal Ehwal Parlimen Liew Vui Keong berkata, Ahli-ahli Parlimen telah mengemukakan lebih daripada 1,500 soalan mengenai isu-isu berkaitan ekonomi, perubahan undang-undang, kebebasan kehakiman dan cabang lain kerajaan untuk dijawab pada persidangan itu.

Antara topik yang menarik perhatian ialah pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikritik serta pemansuhan akta berita tidak benar yang diluluskan pada Mac lalu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kadar SST akan ditetapkan pada 10 peratus untuk jualan dan 6 peratus untuk perkhidmatan. Rang undang-undang cukai itu dijangka akan diluluskan bulan depan dan dijangka menjana RM4 bilion (AS$1 bilion) untuk kerajaan Persekutuan.

Najib melaksanakan GST pada 2015 bagi menggantikan SST.

Lihat Laman Penuh