Parlimen Lulus RMK-12 Tanpa Bantahan, Kejayaan Pertama Uji Kepimpinan Ismail Sabri

Testimoni terhadap memorandum persefahaman luar biasa antara Ismail Sabri dan gabungan pembangkang Pakatan Harapan.
Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-10-07
Share
Parlimen Lulus RMK-12 Tanpa Bantahan, Kejayaan Pertama Uji Kepimpinan Ismail Sabri Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob semasa bercakap pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 7 Oktober 2021.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Sidang Dewan Rakyat pada Rabu telah meluluskan usul pelan ekonomi lima tahun – Rancangan Malaysia Ke-12 – yang dibentangkan Perdana Menteri minggu lepas tanpa sebarang bantahan, sekaligus menyaksikan kejayaan pertama kepimpinan Ismail Sabri Yaakob diuji di Parlimen Malaysia, dan pembangkang menepati janji mereka.

Kejayaan Ismail Sabri itu dilihat sebagai kayu pengukur penting terhadap pentadbiran 48 hari perdana menteri dengan menerima sokongan kesemua 220 Anggota Parlimen, yang dibuat melalui undian secara suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada 106 penggubal undang-undang blok pembangkang di Dewan Rakyat itu.

"Lebih suara yang bersetuju, maka usul diluluskan," kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Rang undang-undang Rancangan Malaysia Ke-12 yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM400 bilion itu dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 27 September lepas telah melalui perdebatan oleh seramai 106 wakil rakyat dalam tempoh hampir seminggu, sebelum akhirnya diluluskan pada petang Khamis.

Kepimpinan Ismail Sabri tidak pernah diuji dan tiada sesi undi percaya dibuat di Parlimen sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9 pada 21 Ogos lalu, menggantikan Muhyiddin Yassin.

Undian bagi kelulusan di sidang Parlimen pada Khamis itu juga merupakan satu bentuk testimoni terhadap memorandum persefahaman luar biasa yang ditandatangani antara Ismail Sabri dengan gabungan pembangkang Pakatan Harapan [PH], iaitu usaha ke arah cuba meredakan ketegangan politik di Malaysia pada 13 September lepas.

Bagaimanapun, pada hari yang sama Muyhiddin yang pernah memimpin Putrajaya selama 17 bulan dilihat cuba merisikokan hubungan baik pentadbiran Ismail Sabri dengan pembangkang apabila Perikatan Nasional pimpinannya membuat satu keputusan menghalang rancangan kerajaan memperkenalkan jawatan ketiga timbalan speaker Dewan Rakyat yang mengikut rancangan akan diberikan kepada calon pembangkang.

"Majlis Tertinggi Perikatan Nasional [PN] telah membuat pendirian bahawa tidak ada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini.

"Kewujudan dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sepertimana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tindakan PN itu berkemungkinan boleh menggagalkan keseluruhan usaha persefahaman kerajaan dengan pembangkang, kerana ia memerlukan pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan, dan perkara itu hanya dapat diluluskan dengan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli Dewan Rakyat dari kedua-dua belah pihak.

Bekas perdana menteri itu menyatakan bahawa tiada keperluan untuk satu pindaan dibuat ke atas Perlembagaan kerana cadangan menambah jawatan timbalan speaker itu tidak termasuk dalam senarai perkara yang telah dipersetujui antara kerajaan dengan PH.

"Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut. Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya," kata Muhyiddin yang kehilangan jawatannya sebagai Perdana Menteri, tetapi pada masa yang sama masih mempunyai sokongan seramai 54 daripada 114 kerusi dimiliki kerajaan sekarang ini di Parlimen.

Cadangan menambah jawatan itu pertama kali diutarakan oleh Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sehari selepas perjanjian persefahaman dimeterai pada 13 September dengan beliau pada masa itu memberitahu Parlimen yang kerajaan akan mencadangkan supaya satu pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkan satu lagi jawatan timbalan speaker.

"Kita akan membuat satu undang-undang, yang mana salah satu daripada tiga jawatan timbalan speaker, apabila ia diluluskan nanti, akan dipegang oleh pembangkang tidak kira siapa yang menjadi kerajaan," kata Wan Junaidi.

Sabotaj

Sementara itu, ditanya sama ada tindakan Muhyiddin dan PN ini mampu menggagalkan perjanjian persefahaman tersebut, James Chin dari Universiti Tasmania berkata adalah jelas sekali usaha bekas perdana menteri itu untuk mensabotaj.

“Perjanjian itu barangkali dapat bertahan sehingga hujung tahun sahaja. Muhyiddin jelas cuba menggagalkannya kerana beliau tidak rugi apa-apa,” kata Chin kepada BenarNews.

Sebelum kehilangan jawatannya pada Ogos, Muhyiddin sendiri cuba untuk memetrai perjanjian serupa dengan PH untuk membolehkannya kekal sebagai perdana menteri namun ianya ditolak.

“Namun begitu Ismail Sabri juga mungkin cuba untuk melambat-lambatkan sebarang proses transformasi kerana beliau bukanlah seorang ‘reformer’ dan hanya mengambil kesempatan terhadap PH,” katanya lagi.

Muhyiddin dan PN sebelum ini juga dilaporkan telah menyekat pencalonan setiausaha agung UMNO, Ahmad Maslan yang dicalonkan Perdana Menteri itu sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat kedua setelah penyandangnya Azalina Othman Said melepaskan jawatan tersebut.

Menurut laporan portal The Malaysian Insight yang memetik sumber dalaman PN, tindakan tersebut adalah kerana Ahmad Maslan berhadapan kes mahkamah membabitkan skandal 1MDB dan dana daripada Najib Razak.

Ahmad walaubagaimanapun mengundur diri daripada pencalonan tersebut pada Khamis dengan berkata bahawa beliau mahu fokus terhadap tugas sebagai Setiausaha Agung UMNO.

“Sebab utama ialah saya mahu tumpukan perhatian kepada kerja saya sebagai setiausaha agung UMNO yang memerlukan begitu banyak masa lebih-lebih lagi dalam suasana politik yang mencabar pada saat dan ketika ini,” kata beliau dalam satu sidang media di bangunan Parlimen.

Tegas beliau, Perdana Menteri Ismail Sabri akan menamakan calon baharu “dalam sehari dua lagi” memandangkan pencalonan perlu dibuat 14 hari sebelum permulaan sidang parlimen seterusnya pada 25 Oktober.

Jaga kedudukan

Mengulas keputusan tersebut, Rabi’ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata ia pastinya satu keputusan untuk menjaga kedudukan UMNO.

“Besar kemungkinan beliau dinasihatkan untuk menarik diri oleh kepimpinan UMNO termasuk Ismail Sabri yang mahu menjaga nama baik UMNO serta hubungan UMNO dengan rakan sekutu dalam Perikatan Nasional,” kata Rabi’ah kepada BenarNews.

Ahmad dalam sidang medianya itu turut memaklumkan bahawa keputusannya itu dibuat setelah berbincang dengan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Mohamad Hassan, dan kesemua empat naib presiden parti itu termasuk Ismail Sabri.

“Ia juga mungkin satu usaha menyelamatkan parti daripada dikritik rakyat jika mereka terlalu mengetengahkan Ahmad Maslan,” tambah beliau.

Pada Khamis lalu Ahmad dilepaskan daripada dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sejumlah RM2 juta serta memberi kenyataan palsu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta.

Anggota Parlimen Pontian itu menyifatkan kompaun berkenaan bukan sebagai pengakuan salah sebaliknya cuma sekadar menyelesaikan kes dengan segera.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh